Cerita NatalSampel
Anak Daud
Bagaimanakah anda memberitahu tunang anda bahawa anda hamil dengan Penyelamat yang dijanjikan oleh Allah? Itu mungkinlah soalan yang difikirkan oleh Maria setelah menerima berita baik itu. Apabila Yusuf mendapat tahu, ia membuat keputusan untuk memutuskan hubungan mereka. Walau bagaimanapun, Allah ingin melibatkan Yusuf dalam cerita ini juga.
Dalam ayat Alkitab hari ini, Allah telah menghantar utusan kepada Yusuf, memberitahunya butiran keadaan itu. Utusan itu memanggil Yusuf "anak Daud," dan ini adalah aneh kerana nama bapa Yusuf bukanlah Daud.
Daud hidup beberapa ratus tahun sebelum Maria dan Yusuf. Daud juga berasal dari kota yang kecil, dan menjalankan hidup yang biasa sebagai seorang gembala. Namun, pada suatu hari Allah menghantar utusan-Nya ke Betlehem untuk memberitahu Daud bahawa ia telah dipilih untuk memerintah sebagai raja.
Kemudian, Allah berjanji bahawa seorang daripada keturunan Daud akan membangunkan sebuah kerajaan yang baru dan lebih baik yang akan memberkati seluruh dunia ini. Daud dan keturunannya bercela dan sering membuat keputusan yang mendatangkan keburukan, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan mereka. Umat pada ketika itu mengetahui bahawa jika mereka akan memiliki kerajaan baru yang lebih baik, mereka akan memerlukan Daud baru yang lebih baik. Maka, sepanjang beberapa generasi, mereka menantikan ketibaan "Anak Daud".
Ini membawa kita kembali kepada Yusuf, keturunan gembala yang telah menjadi raja. Yusuf tidak sempurna, seperti semua keturunan Daud sebelum itu, tetapi Anak Daud yang sebenar dan tidak bercela akan datang ke dalam dunia ini melalui Maria—yang menyertai keluarga Yusuf sebagai isterinya. Jadi, walaupun Yusuf bukan bapa kandung Yesus, ia mengasuh Yesus bersama dengan Maria—dan memberikan hubungan kekeluargaan kepada Daud.
Yusuf membawa Maria ke Betlehem, kampung Daud. Di sana, Maria melahirkan Yesus, Anak Daud yang sebenar. Siapakah orang pertama yang mendapat tahu tentang Anak Daud? Sudah tentunya para gembala.
Cerita Natal mengingatkan kita bahawa kita ialah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri kita. Sepanjang sejarah, Allah bekerja dengan manusia untuk menjadikan bumi ini lebih menyerupai syurga. Daud memainkan bahagian, demikian juga Yusuf. Walau bagaimanapun, cerita itu masih berterusan, kini giliran kita pula.
Jadi, bagaimanakah kita harus mengikut teladan mereka? Satu bayangan diperoleh dalam petikan hari ini. Lihatlah bagaimana Yusuf memberikan respons terhadap panggilan Allah. Anda akan mendapati Yusuf mendengar, mempercayai, dan berkorban untuk membantu orang lain. Apabila kita membuat pilihan yang serupa, kita akan meneruskan cerita Allah.
Doa: Ya Allah, terima kasih kerana Engkau menjemput kami untuk menyertai cerita-Mu. Saya sedar bahawa saya memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini lebih menyerupai syurga. Tolonglah saya untuk menyedari cara Engkau memanggil saya untuk menimbulkan perbezaan dalam hidup orang lain. Dalam nama Yesus, amin.
Perihal Pelan
Setiap cerita yang baik mempunyai pemutarbalikkan plot—sesuatu yang tidak dijangkakan yang mengubah segala sesuatu. Salah satu pemutarbalikkan plot yang terbesar dalam Alkitab ialah cerita Natal. Sepanjang lima hari yang seterusnya, kita akan membongkar bagaimana satu peristiwa ini telah mengubah dunia ini dan bagaimana ia boleh mengubah hidup anda hari ini.
More