Rut: Cerita tentang Kasih Penebusan AllahSampel
Banyak cerita yang menyeronokkan berakhir dengan, "Mereka hidup bahagia selama-lamanya." Bukan Rut. Cerita ini melewati "bahagia selama-lamanya" kepada keturunan Kristus. Enam ayat terakhir dalam kitab Rut merupakan ayat yang paling penting dalam kitab itu kerana ayat tersebut menunjukkan, sekali lagi, bagaimana Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia (Roma 8:28). Sepanjang kitab Rut, kita melihat bagaimana Allah menggunakan warna-warni kehidupan manusia untuk memenuhi rancangan-Nya. Ayat penutup menggambarkan bahawa kehendak sempurna Allah dicapai meskipun kita membuat keputusan yang tidak sempurna dan tersekat-sekat sepanjang hidup ini.
Kehendak Allah yang sempurna meliputi kita tetapi tidak tertumpu pada kita. Dalam bukunya Faithful God: An Exposition on the Book of Ruth, Sinclair Ferguson berkata, "Kepentingan lebih besar apa yang sedang dilakukan oleh Allah melewati jangka hayat watak utamanya." Semua orang percaya memainkan peranan yang lebih besar daripada apa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari mereka. Ini ternyata dalam kenyataan bahawa tiga watak utama kitab ini beransur hilang dalam enam ayat terakhir, kerana tujuan mereka bukanlah cerita utama. Walau bagaimanapun, watak tersebut memainkan peranan yang penting dalam cerita keselamatan. Kebaikan yang ditunjukkan oleh Rut dan Boas menggerakkan keselamatan yang menjangkau seluruh dunia.
Memanglah jelas daripada beberapa ayat terakhir kitab Rut ini bahawa sebab utama Allah untuk segala sesuatu yang berlaku dalam cerita ini ialah demi mencapai satu tujuan yang khusus: kelahiran Yesus Kristus. Ini termasuk pemindahan Naomi ke Moab, kemandulan awal Rut, kematian suami dan anak lelaki Naomi, Rut yang tinggal di sisi Naomi, Rut yang memungut bijirin di ladang Boas, rancangan berisiko Naomi (yang berhasil), penolakan kerabat yang seorang lagi, dan kelahiran Obed kepada Boas dan Rut.
Kejadian 3:15 dikenali sebagai protoevangelium kerana ayat ini merupakan pengkhabaran injil (euangelion) yang pertama (proto). Allah berjanji untuk mengalahkan Iblis melalui keturunan Hawa. Apabila Allah merujuk kepada keturunan Hawa, Dia memaksudkan Yesus Kristus, Anak tunggal-Nya, yang akan mengalahkan Iblis apabila Dia mati di salib. Selepas tiga bab sejak permulaan Alkitab, ayat ini menggerakkan cerita Yesus, yang diteruskan melalui Rut dan selebihnya Alkitab. Janji Kejadian 3:15 digenapi kerana pemeliharaan berdaulat Allah dalam sebuah keluarga kecil yang nampaknya tidak penting di Betlehem.
Geneaologi ini mengangkat cerita Rut daripada cerita kota yang kecil kepada cerita kebangsaan dan berkepentingan abadi. Pada zaman kelam hakim-hakim, asas telah disediakan untuk keturunan yang akan melahirkan Penyelamat, Mesias, dan Penebus bangsa manusia yang sesat dan papa. Keturunan perempuan itu akan dinyatakan melalui Boas dan Rut, Daud dan Batsyeba, dan Yusuf dan Maria. Dalam Mazmur 132:12, Allah berjanji bahawa salah seorang anak lelaki Daud, seorang yang lebih agung daripada Daud, akan memerintah selama-lamanya. Sesungguhnya, Allah mengendalikan segala hal selama beberapa ratus tahun sehinggakan menghasilkan kebaikan yang dirancang-Nya untuk orang yang mempercayai-Nya.
Di tengah-tengah cerita Rut ialah empat kebenaran teologi yang penting:
1. Pemeliharaan Allah ialah sesuatu yang boleh diharap. Kita mungkin tidak selalu dapat melihat atau memahami tindakan Allah, tetapi kita boleh yakin bahawa Dia berkuasa dan tidak akan meninggalkan anak-anak-Nya.
2. Kita harus menunjukkan kebaikan terhadap orang lain sebagaimana Allah baik terhadap kita.
3. Allah membalas doa umat-Nya, dan berkat-Nya melewati perspektif sepanjang hidup kita yang terbatas kepada generasi akan datang.
4. Kita memerlukan Kerabat yang amat mengasihi kita sehinggakan Dia mati demi mendamaikan kita dengan Allah. Tiada orang yang tidak dapat dijangkau oleh kasih kurnia Allah, dan "yang paling kecil" – orang yang berdosa, orang bukan Yahudi, dan orang terbuang sosial – masih ditebus.
Perihal Pelan
Berkemungkinan salah satu cerita pendek yang paling menakjubkan sepanjang zaman, kitab Rut merupakan catatan tentang kasih penebusan Allah. Kitab Rut ialah cerita tentang cara Allah menggunakan kehidupan orang biasa untuk mengerjakan kehendak berdaulat-Nya. Dengan alegori kasih Kristus dan pengorbanan-Nya untuk umat-Nya yang indah, kita ditunjukkan tahap sanggup Allah untuk menebus anak-anak-Nya.
More