Bernyala: Panduan Mudah Doa yang BeraniSampel
Mendengar Daripada Allah
Tidak ada yang setanding mendengar suara Allah. Satu cara untuk mendengar Dia ialah melalui Firman-Nya. Roma 10:17 memberitahu kita, iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda Kristus (AVB). Walau bagaimanapun, jika kita ingin hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan, jika kita ingin mendengar Firman Allah dan melihat janji Allah digenapi, maka kita mesti terus berdoa dan mempercayai bahawa Allah mempunyai banyak lagi yang ingin dikongsikan. Yang berikut ialah beberapa kunci untuk menolong anda:
1. Bersemangat, Meskipun dalam Penantian
1 Samuel 3 mencatatkan kisah Samuel yang belajar mendengar suara Allah. Apakah maksudnya bagi kita? Seperti Samuel, kita mungkin tidak mengenal suara Allah pada mulanya. Ini mungkin memakan masa, memerlukan kesabaran, dan nasihat orang lain untuk menolong kita menanggap apa yang didengar itu. Dengarlah Dia dengan keinginan yang keras.
2. Tetapkan Tempat untuk Berdoa
Sepanjang Injil, kita melihat Yesus berundur daripada murid-murid-Nya dan orang ramai untuk mencari tempat yang sunyi untuk berdoa. Dia melakukan ini kerana, walaupun Dia ialah Anak Allah, Dia jugalah manusia sepenuhnya. Dia menghadapi pergelutan dan gangguan yang sama seperti kita, oleh itu Dia menjadi teladan betapa pentingnya bersendirian untuk berdoa. Demikian juga, di mana yang mungkin, bagaimana jua, luangkan masa untuk menenangkan fikiran dan berdoa.
3. Bertabah Melaksanakannya
Jika anda mula berdoa secara tetap setiap hari dan mendapati susah untuk mendengar suara Allah, jangan berputus asa. Teruskan. Tetap percaya. Terus berdoa. Terus mengkaji Firman Allah supaya semasa Dia berbicara, anda akan menyedari bahawa Dialah yang berbicara! Dalam Yeremia 33:3, Allah berjanji, “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui” (BM). Itu merupakan janji yang berbaloi diingati dan memerlukan ketekunan untuk menyaksikan penggenapannya!
Doa:
Allah, saya memuji-Mu kerana Engkau baik dan patut dipuji. Daripada generasi kepada generasi dan zaman kepada zaman, Engkau tidak berubah. Engkau setia terhadap janji-Mu. Kasih-Mu kekal selama-lamanya. Firman-Mu boleh dipercayai. Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar. Amin!
Perihal Pelan
Doa merupakan suatu hadiah, peluang yang menakjubkan untuk berhubungan dengan Bapa syurgawi kita. Dalam pelan 6 hari ini, kita akan mendapat tahu tentang perkara yang diajar oleh Yesus berkenaan doa dan diilhami untuk berdoa secara tetap serta dengan berani.
More