Datanglah KerajaanSampel

Kingdom Come

HARI 13 DARIPADA 15

DOA:

Allah, saya ingin memberkati orang lain kerana Engkau telah memberkati saya. Tunjukkan bagaimana saya boleh berbuat demikian hari ini dan berikan saya keberanian untuk melaksanakannya.


BACAAN:

Bayangkan anda sedang menatal suapan media sosial anda dan ternampak hantaran yang membuat anda marah. Hantaran itu menunjukkan sesuatu yang tidak betul di dunia ini dan hati anda rasa terdorong untuk campur tangan dan melakukan sesuatu. Jadi, anda berkongsi hantaran itu, menambahkan beberapa patah perkataan untuk menyatakan kemarahan anda bahawa tiada orang yang cukup mengambil berat untuk melakukan sesuatu. Kemudian... anda meneruskan hidup dengan kelegaan kerana anda telah melibatkan diri. Anda tidak ke mana-mana. Anda tidak terlibat dalam perbualan yang sebenar dengan sesiapa pun. Sebenarnya, anda tidak melakukan apa-apa. Namun, anda rasa seolah-olah anda telah melakukan sesuatu. 


Kedengaran biasa? Penglibatan seperti ini mempunyai nama. Ini dipanggil “slacktivism” dan sudah dimasukkan secara rasmi ke dalam kamus Bahasa Inggeris. Ia merupakan jalan pintas—dan lintar pintas—untuk mencapai keinginan kita untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Ini tidak bermaksud bahawa berkongsi idea dan artikel yang penting tidak bermakna. Namun, perkongsian maklumat cumalah salah satu langkah dalam perjalanan yang besar. Sekiranya kita memuaskan keinginan kita untuk melibatkan diri sebelum kita betul-betul melibatkan diri, maka kita akan terlepas bahagian yang penting dalam kerja yang Allah ingin lakukan dalam kita dan melalui kita. Ini bagaikan pergi ke restoran Itali kegemaran anda dan kenyang memakan roti sebelum entree dihidangkan. Anda terlepas hidangan yang betul-betul diidamkan. 


Allah sedang memanggil kita untuk menjadi lebih daripada “slacktivists.” Dalam ayat di atas, daripada kitab Kejadian, Abram (akan dinamakan semula sebagai Abraham tidak lama lagi) diberitahu bahawa Allah akan memberkatinya, tetapi Allah segera mengatakan bahawa ia akan "menjadi berkat". Ini merupakan kurnia yang terikat dengan tujuan. Allah memberkati Abram, jadi ia akan memberkati orang lain. 


Ini jugalah tema yang berpanjangan dalam Perjanjian Baru. Paulus menyambung tema ini dalam 2 Korintus 1:3–7. Ia menulis bahawa Allah membawa penghiburan, sekurang-kurangnya sebahagiannya, supaya kita akan menghiburkan orang lain. Nampaknya, dalam budaya kita, kita mungkin tergoda untuk menulis semula kata-kata Paulus, menjadikan ia seakan-akannya mengatakan, "Anda telah dihiburkan oleh Allah supaya anda boleh berkongsi hantaran bahawa terdapat banyak orang di dunia ini yang memerlukan penghiburan dan menyatakan kesedihan anda bahawa banyak orang yang tidak mengambil berat tentang hal ini.”


Janganlah memakan umpan itu. Tidaklah mencukupi untuk menghantar semula "tweet" tentang kemarahan orang lain tentang hal yang salah. Allah memanggil kita untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya, yang lebih susah dan lebih rumit tetapi lebih memuaskan. 


Jika anda mempercayai Allah yang tidak teragak-agak untuk mengotorkan tangan, meskipun berdarah, untuk datang demi anda, maka memanglah munasabah bahawa kita dipanggil untuk melakukan hal yang sama bagi orang lain. 


Melalui Yesus, Allah telah memberikan banyak berkat kepada kita, tetapi Dia juga memberikan kita panggilan dan tujuan—untuk memberkati dunia ini. Kita telah dipanggil untuk bermurah hati dengan masa, sumber, dan tenaga kita untuk bekerjasama dengan Allah untuk membawa penyembuhan dan pembaharuan kepada dunia yang pecah-belah ini. Kita telah diberkati untuk menjadi berkat dan diubah untuk membawa perubahan.


RENUNGAN:

Sesungguhnya mungkin bahawa hidup anda ialah mesej Yesus yang memberikan hidup yang perlu didengar oleh seseorang. Apakah yang dinyatakan oleh hidup anda tentang hal yang penting bagi anda? Apakah yang dikomunikasikan oleh hidup anda tentang hal yang penting bagi Allah? 


Luangkan masa pada hari ini dan mencatatkan jurnal tentang soalan di atas. Apakah yang penting bagi anda? Mintalah Allah untuk menunjukkan lingkungan hati anda yang menghalang anda daripada mencerminkan apa yang betul-betul dihargai dalam hidup anda. 


Hari 12Hari 14

Perihal Pelan

Kingdom Come

Kita pernah dengar bahawa Yesus memberikan "hidup yang kelimpahan" dan kita mendambakan pengalaman itu. Kita inginkan hidup yang terubah. Namun, apakah perubahan yang kita perlukan? Bagaimanakah kita melaksanakan perubahan itu? Dalam pelan Datanglah Kerajaan ini, anda akan menerokai cara baru untuk menjalankan hidup yang tunggang-terbalik dan luar dalam yang menjadi undangan Allah.

More

Kami berterima kasih kepada North Point Community Church kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat baru, layari: http://northpoint.org