Bagi Kita: Meraikan Ketibaan YesusSampel
Allah yang Perkasa
Ada kalanya, kita rasa lemah dan tidak berdaya untuk menghadapi situasi yang melanda kita. Berita baiknya adalah ada Seorang yang lebih kuat dan lebih berkuasa daripada apa jua yang kita hadapi.
Dalam Yesaya 9:6, kita melihat bahawa Yesus ialah Allah yang Perkasa. Bahasa Ibrani mendefinisikannya sedemikian:
Allah — 'el
Satu-satunya Allah yang benar; Yahweh
Perkasa — gibbowr
Kuat, perkasa; orang yang kuat, orang yang berani, orang yang perkasa
Menggabungkan dua definisi ini akan memberikan kita apa yang dimaksudkan oleh gelaran itu—Allah yang Perkasa. Yesus Kristus ialah satu-satunya Allah yang benar, dan Dia memiliki segala kemampuan, kuasa, dan kekuatan. Kemampuan-Nya tidak ada bandingannya, tidak ada tolok bandingnya, dan tidak ada tandingan. Tidak ada yang sama dengan-Nya, dan tiada yang sekuat-Nya. Yesus bukan sahaja memiliki kuasa Allah, Dia ialah Allah yang amat berkuasa!
Semasa Yesus berada di bumi ini, kuasa-Nya ditunjukkan melalui penguasaan penyakit, dosa, iblis, dan alam semula jadi. Walau bagaimanapun, ketika Dia menguasai kematian dengan bangkit semula daripada kematianlah kita melihat kuasa-Nya dinyatakan kepada semua orang dengan jelas. Intipati Allah kita yang Perkasa adalah kuasa-Nya bukan sahaja dinyatakan dalam kehidupan kita semasa kita lemah, tetapi Dia mampu mencipta daripada tiada kepada ada. Dalam kemanusiaan kita, kita menghasilkan banyak benda daripada pelbagai bahan yang dimiliki. Namun, kekuatan kudus Yesuslah yang betul-betul mencipta.
Walau bagaimanapun, dalam kerelaan Kristus untuk mengorbankan nyawa-Nya dan dipersembahkan untuk menyelamatkan kita, Dia mengosongkan diri-Nya. Dia cukup kuat dan cukup perkasa untuk melepaskan kekuatan sempurna-Nya untuk semua orang. Meskipun manusia tidak mengenali-Nya sebagai Allah yang kuat, mereka akan berlutut menghadap-Nya dan mengakui ketuhanan-Nya kelak, kerana "semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan" (Filipi 2:10-11 BM).
Kuasa luar biasa yang tidak terkatakan dan yang tidak dapat difahami yang dimiliki oleh Kristus ini tersedia bagi kita. Dia memberikan kita kuasa untuk menghadapi segala macam keadaan (Filipi 4:13). Kuasa-Nya nyata sekali pada masa kita lemah (2 Korintus 12:9). Dia berupaya melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita fikirkan, minta, atau bayangkan (Efesus 3:20). Tugas kita cumalah mempercayai-Nya dan bersandar pada kuasa-Nya supaya kita boleh memperoleh kekuatan yang diperlukan.
Allah kita yang Perkasa bukan sahaja berkuasa, malah Dia memang bersedia dan rela untuk menggunakan kehidupan kita sebagai penyataan kuasa-Nya. Dia tiada taranya. Luangkan masa untuk menghargai kebesaran Penyelamat dan Allah kita yang Perkasa, Yesus Kristus. Memang tidak dipersoalkan lagi bahawa Dia patut disanjung.
Perihal Pelan
Dalam Yesaya 9:6, kita melihat bahawa Yesus ialah Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, dan Raja Damai. Dalam Pelan 5 hari ini, kita akan meraikan ketibaan Yesus dengan mempelajari tentang nama-Nya yang berbeza, dan bagaimana menerapkannya dalam kehidupan kita sekarang ini.
More