7 Hari Cerita Krismas: Renungan Adven SekeluargaSampel

7 Days of the Christmas Story: An Advent Family Devotional

HARI 2 DARIPADA 7

Hari 2: Maria

Maria ialah ibu Yesus. Menakjubkan bukan? Pada pendapat anda, mengapakah Allah memilih Maria untuk sesuatu yang sepenting ini? Adakah Maria itu seorang puteri? Atau, mungkinkah Maria itu kaya? Adakah Maria terkenal? 

Maria bukanlah semua itu. Maria muda dan miskin. Banyak guru Alkitab mempercayai bahawa Maria berumur kira-kira 14 tahun semasa dia mengandungkan Yesus kerana itu ialah umur biasa bagi anak perempuan berkahwin. Maria juga tinggal di sebuah kampung kecil yang tidak penting. Lebih daripada itu, Maria ialah anak dara, maksudnya dia tidak mungkin hamil. Muda. Miskin. Tidak terkenal. Tidak mungkin hamil. Adakah ini kedengaran seperti seseorang yang akan dipilih untuk menjadi ibu Yesus? Mungkin tidak. Tetapi Maria bersikap rendah hati.

Alkitab menyatakan bahawa Allah merahmati orang yang rendah hati, orang yang mengutamakan Allah walaupun itu mungkin merugikan mereka. Bersikap rendah hati juga bermakna tidak memegahkan diri dan melayani orang lain tanpa mengharapkan sebarang pujian. Seseorang yang rendah hati berkelakuan seolah-olah Allah sedang memerhatikannya. Allah telah memilih Maria, perempuan muda yang tidak penting pada pandangan dunia, untuk menjadi ibu Penyelamat dunia. Mengapa? Kerana hati Maria yang rendah diri adalah jelas semasa dia menjawab malaikat Gabriel dan berkata, "Saya mengasihi Allah. Saya akan melakukan apa sahaja yang diminta-Nya."

Aktiviti Keluarga: Kumpulkan lampu suluh, tanglung elektrik, atau lampu kecil. Letakkan semuanya di atas meja. Hidupkan semuanya. Bincangkan perbezaan antara setiap satunya. Berjalan mengelilingi rumah dan berbincang bagaimana semua lampu ini berbeza daripada lampu lantai dan lampu meja. Tanya, "Lampu suluh yang manakah ialah kegemaran semua orang?" dan "Adakah lampu yang tidak digunakan kerana kelihatan hodoh?" Pilih lampu yang kelihatan paling hodoh. Kemudian baca 1 Samuel 16:7 bersama-sama. Bincangkan bagaimana walau apa pun rupa lampu itu, hal yang paling penting ialah cahaya yang disinarkan. Demikian juga, walau betapa popular, cantik, berbakat, atau kaya pun seseorang itu pada zahirnya, Allah memandang cahaya yang bersinar dari hatinya. Hati Maria ialah cahaya yang terang pada pandangan Allah!

Soalan Perbincangan Keluarga: 

• Apakah satu perkara yang anda ingin lakukan untuk orang lain demi menunjukkan kasih Allah tetapi belum dilakukan lagi?

• Adakah anda akan melakukannya meskipun tidak dilihat oleh orang lain dan anda tidak akan menerima sebarang pujian?

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

7 Days of the Christmas Story: An Advent Family Devotional

Nampaknya kita semua memerlukan dakapan, hubungan yang sebenar, dan sesuatu yang menyeronokkan untuk diraikan sekarang ini. Doa kami ialah agar renungan Adven ini memberikan anda dan keluarga anda cara untuk berhubungan, mendapat tahu tentang cerita Krismas yang sebenar, dan meraikan kelahiran Yesus dengan tradisi yang baru, cerita waktu makan malam, perbualan waktu tidur dan aktiviti keluarga. Kami berharap "dakapan" Krismas ini membawa memori yang indah ke rumah anda pada musim Adven ini!

More

Kami berterima kasih kepada B&H Publishing kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.bhpublishinggroup.com/25-days-of-the-christmas-story/