Doa Bapa KamiSampel
Pengampunan
Yang dahulu didahulukan: kesalahan (debts) di sini bermakna dosa dan mereka yang bersalah terhadap kami (debtors) ialah orang yang berlaku tidak adil terhadap kita. Walau bagaimanapun, disebabkan kita biasa dengan idea kukuh tentang keuntungan atau kerugian wang setiap hari, idea hutang (debt) membantu pemahaman kita. Dosa ialah hutang.
Terdapat tiga perkara penting yang tidak harus terlepas perhatian kita.
Pertama, Alkitab adalah jelas bahawa kita perlu diampunkan sepenuhnya. Sesetengah orang memandang ringan idea dosa, seolah-olah dosa ialah perkara remeh seperti debu pada jaket yang dapat ditanggalkan dengan mudah. Malangnya, gambaran alkitabiah tentang dosa kita adalah lebih luas, lebih dalam dan lebih universal.
- Dosa adalah lebih luas daripada yang kita fikir. Kita cenderung memikir dosa sebagai perkara yang menjadi tajuk berita seperti ketamakan yang melampau, rasuah besar-besaran, kecurangan dan pembunuhan. Kita juga cenderung memandang perkara yang tiada kena-mengena dengan kita sebagai dosa yang serius. Definisi dosa dalam Alkitab adalah lebih luas dan termasuk dosa yang tidak ketara dan sulit yang jarang diberikan tumpuan: iri hati, pengkhianatan, penghinaan, kemunafikan, keangkuhan, sifat pengecut, dsb. Sebenarnya, Yesus menyatakan bahawa dosa tidak melibatkan perbuatan sahaja, malah fikiran.
- Demikian juga dosa adalah lebih dalam daripada yang kita fikir. Dosa ialah jangkitan kronik yang mendalam yang menyerang setiap lingkungan manusia: tubuh, fikiran, roh. Lebih membimbangkan lagi ialah kenyataan bahawa dosa tidak berlaku antara dua individu sahaja, dosa juga berlaku antara kita dan Allah.
- Dosa juga bersifat lebih universal daripada pengakuan kita. Tiada orang yang terkecuali daripada dosa. Ini bukan sahaja dinyatakan dalam Alkitab; tetapi ditunjukkan dalam Kristus. Dalam hidup-Nya, seperti yang dilihat dalam injil, kita melihat standard kesempurnaan yang tidak mungkin dicapai oleh kita.
Kedua, ada kemungkinan pengampunan. Salah satu perkara yang paling kejam yang boleh dilakukan oleh mana-mana agama atau sistem kepercayaan ialah menyabitkan seseorang itu sebagai berdosa tanpa mengkhabarkan pengampunan pada masa yang sama. Melakukan ini bagaikan doktor yang memberitahu anda bahawa anda menghidap penyakit yang serius tanpa menawarkan sebarang ubat untuk penyakit itu. Sukacita keKristianan tertumpu pada pengampunan Allah; dengan Dia, kesalahan kita diampunkan. Sistem Perjanjian Lama berdasarkan idea korban binatang yang menghilangkan dosa orang percaya. Perjanjian Baru menjelaskan kenyataan mendalam bahawa korban tersebut mengarahkan kepada korban muktamad Yesus di salib. Hutang kita hanya dapat dijelaskan jika kita membenarkan Allah untuk membayarnya. Dosa kita boleh dihapuskan; dalam Kristus kita boleh dibebaskan daripada dosa kita.
Ketiga, sementara pengampunan percuma ini ialah berita yang terbaik, pengampunan ini melibatkan satu kewajipan. Orang yang diampunkan mesti memaafi. Ini adalah munasabah; jika ubat pengampunan diberikan untuk menyembuhkan dosa kita, maka, kita tidak boleh menahannya daripada orang yang bersalah terhadap kita. Prinsip ini kerap disalahfahami sehinggakan sesetengah orang menganggap bahawa pengampunan Allah bergantung pada tindakan kita memaafi dulu. Kenyataannya ialah Allah mengampunkan dahulu dan secara rela; tetapi ada tanggapan bahawa jika kita telah diampunkan, respons semula jadi kita seharusnya kelimpahan automatik pengampunan itu untuk memaafkan orang lain. Terdapat ikatan yang tidak dapat diputuskan antara diampunkan dan memaafi. Berterusan!
Saya tidak mempunyai sebarang salah tanggapan bahawa pengampunan adalah mudah. Memanglah mudah untuk mengatakan bahawa sesetengah tindakan jahat atau pengkhianatan 'sudah diampunkan'. Kenyataannya ialah sesetengah luka adalah amat dalam dan memakan masa dan bantuan Roh Kudus untuk sembuh.
Harus diingati juga, walaupun kita telah diampunkan di salib, kita perlu terus mendekati Allah untuk diampunkan. Hubungan baru kita dengan Allah sebagai bapa kita yang sempurna menghendaki kita untuk bersifat jelas tentang kesalahan kita semasa kita menemui Dia. Dosa yang tidak diakui dan tidak diampunkan menjadi halangan antara Dia dan kita lalu merosakkan hubungan kita. Sebagaimana kita meminta makanan hari ini, kita harus memohon pengampunan hari ini.
Perihal Pelan
Sertai J.John dalam kajian lapan hari tentang Doa Bapa Kami, ajaran yang amat mendalam dan berguna oleh Yesus tentang cara kita harus berdoa.
More