Doa Bapa KamiSampel
Tujuan
Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga
Terdapat dua soalan yang besar dalam hidup. Soalan pertama bersifat peribadi: apakah tujuan kewujudan saya? Soalan yang kedua bersifat universal: apakah tujuan dunia ini? Ini merupakan soalan 'apa gunanya?' dan adalah penting. Banyak orang telah menyimpulkan dengan sedih dan berat hati bahawa hidup dan alam semesta ini tiada gunanya. Mempercayai bahawa kewujudan tiada gunanya sungguh menyedihkan; kepercayaan ini mengurangkan sebarang dorongan atau keazaman. Hal terbaik yang anda boleh lakukan ialah menghabiskan masa dengan sebaik mungkin.
Klausa dalam Doa Bapa Kami ini menyangkal idea tidak bererti ini dan sebaliknya menawarkan tujuan bagi kita dan dunia ini. Yesus merujuk kepada kerajaan dan diperhatikan bahawa kerajaan Allah dan kerajaan syurga adalah sama. Banyak pembaca Alkitab mendapati diri keliru kerana hanya ada beberapa rujukan kerajaan dalam Perjanjian Lama dan tidak banyak juga selepas kitab Matius, Markus dan Lukas. Walau bagaimanapun, kenyataannya ialah sementara Perjanjian Lama tidak bercakap panjang tentang kerajaan, banyak diperkatakan tentang Raja. Dalam Perjanjian Lama Allah ialah Raja seluruh dunia dan masalah bangsa manusia ialah mereka tidak menghiraukan pemerintahan-Nya; kita memberontak melawan Raja dan kerajaan-Nya.
Perjanjian Baru menyambung idea ini dan menjelaskan bahawa sekarang ini, dengan ketibaan Yesus, kerajaan terbuka kepada semua orang. Kerajaan ada di semua tempat – dan dalam mana-mana hidupan – yang berada di bawah kewibawaan Yesus; semua tempat di mana pemerintahan Allah diterima dalam hidup lelaki dan perempuan. Berada dalam kerajaan bermaksud menjadi seseorang atau berada di tempat di mana kewibawaan Allah diterima dan kehendak-Nya terlaksana. Pada ketika ini, ini hanya berlaku di syurga, tetapi suatu hari nanti kita dijanjikan bahawa pemberontakan manusia akan berakhir dan kewibawaan Allah akan ditaati di seluruh alam semesta.
Idea kerajaan ini adalah penting kerana manusia cenderung berfikir bahawa kita wujud bebas di kawasan berkecuali dari segi rohani. Sebenarnya, pendirian Alkitab ialah tiada keberkecualian: dunia ini ialah medan pertempuran di mana kuasa kejahatan dan iblis (yang kemudiannya) memiliki, atau mendakwa memiliki, kuasa tertinggi atas segala sesuatu. Apabila seseorang mempercayai Yesus dan menjadi orang Kristian, banyak perkara yang berlaku; satu perkara yang amat penting ialah mereka memindahkan kesetiaannya daripada dunia ini kepada kerajaan Allah yang mulia.
Maka, doa ini ialah agar kejahatan dikalahkan, agar suatu hari nanti – mungkin lebih awal daripada yang difikirkan – dunia ini akan menjadi tempat di mana hanya perkara yang baik, betul dan menggembirakan berlaku. Kebisingan dunia kita yang bercanggah akan menjadi keharmonian syurga yang sempurna.
Walaupun kita mesti sentiasa menumpukan perhatian pada masa depan jangka panjang alam semesta kita dan menantikan hari bila semuanya akan menjadi baik secara kekal, kita mesti hidup hari demi hari sekarang ini. Mendoakan bahagian Doa Bapa Kami ini bermaksud kita membuat keputusan dan mengambil tindakan peribadi untuk menyokong Raja dan kerajaan. Kita boleh berdoa untuk menyokong dan menentang sesuatu itu. Jadi, kita mesti berdoa untuk menyokong perkara yang menolong menerapkan nilai kerajaan: misalnya, perbuatan baik dan belas kasihan serta kata-kata yang benar dan berkasih kurnia. Kita juga boleh berdoa menentang perkara yang menentang kerajaan Allah: ketamakan, kebencian, hawa nafsu, dan sebagainya. Sudah tentu, kita mesti konsisten. Kita tidak boleh berdoa agar rakan kerja atau jiran kita menunjukkan nilai kerajaan sementara kita tidak cuba mengamalkan nilai kerajaan dalam hidup kita.
Mendoakan bahagian Doa Bapa Kami ini dengan penuh bermakna bermaksud menyelidiki seluruh hidup kita dan dunia kita lalu mengatakan, 'Tuhan, berkuasalah: semoga dunia ini menjadi lebih menyerupai syurga dan hidup kita indah!’
Perihal Pelan
Sertai J.John dalam kajian lapan hari tentang Doa Bapa Kami, ajaran yang amat mendalam dan berguna oleh Yesus tentang cara kita harus berdoa.
More