Doa Bapa KamiSampel
Keistimewaan
Ya Bapa kami yang di syurga
Rahsia banyak hal – barangkali semua perkara – dalam hidup ialah keseimbangan; memegang dua atau lebih perkara secara tegang. Contohnya, pengilang pintar yang ingin menghasilkan produk yang mempunyai harga yang betul dan kualiti yang betul; ibu bapa bijak yang ingin mengimbangi kasih dan disiplin, dan sebagainya. Dengan keringkasan yang indah, Doa Bapa Kami mencapai ini dengan kata-kata Ya Bapa kami yang di syurga.
Pertama, kita diingatkan bahawa Allah ialah Bapa. Pada waktu ini saya perlu mengatakan dengan cepat jika, seperti banyak orang sekarang ini, jika pengalaman anda tentang bapa adalah negatif, sehinggakan setiap kali anda mendengar gelaran itu tekanan darah anda meningkat, anda perlu berusaha melakukan sesuatu. Anda perlu mengingatkan diri secara tetap dan tegas bahawa Allah ialah bapa yang ideal yang tidak pernah anda kenali, ataupun memandang Dia dari segi 'bapa yang sempurna'; seorang yang pengasih dan bijak yang mengambil berat tentang perkembangan anda untuk menjadi anda yang sepatutnya. Masalah dengan perkataan bapa tidak harus menjejaskan kebenaran luar biasa bahawa kita boleh mengenali Allah sebagai bapa yang penyayang. Kita boleh menghapuskan idea bahawa Allah ialah superkomputer cakerawala yang dingin dan licik atau menghilangkan fikiran bahawa Dia ialah Ketua Pegawai Eksekutif alam semesta. Doa, kata Yesus, boleh dan harus merangkumi hubungan dengan Allah. Implikasi di sini ialah, demi menjalin hubungan yang berharga itu, kita perlu mempercayai Yesus dan, dengan berbuat demikian, menjadi saudara dan saudari-Nya. Terdapat logik yang indah di sini: menempatkan kepercayaan anda dalam Kristus bermaksud diambil sebagai anak angkat dalam keluarga Allah lalu, menurut definisi, berhubungan dengan Allah sebagai anak lelaki atau anak perempuan-Nya. Kita 'berhubung kait' dalam hubungan yang baru di syurga dan di bumi dengan orang percaya yang lain.
Kebenaran yang menakjubkan ini diimbangi dengan peringatan bahawa Allah berada di syurga. Dia maha berkuasa, benar-benar suci dan melewati pemahaman kita. Dia memahami semua perkara, mengetahui segala hal, mencipta segala sesuatu dan memelihara segala-galanya. Kita memerlukan ini. Memanglah terlalu mudah untuk membentuk Allah bersaiz poket mengikut gambaran kita tetapi Allah yang berada di syurga ini: lebih besar dan lebih agung daripada apa-apa yang dapat kita bayangkan.
Maka, ini merupakan keseimbangan yang sempurna; kita harus memiliki sesuatu yang dipanggil kekaguman akrab atau kesetiaan yang penuh sukacita – walau apa pun anda memanggilnya – penyatuan dua kebenaran yang menakjubkan. Ini adalah penting kerana banyak orang percaya, mungkin kita semua, memiliki kehidupan doa yang kerap tidak seimbang. Oleh itu, kita boleh mengabaikan kuasa kosmos Allah dan melayan Dia seperti kawan akrab di atas yang tidak mempedulikan apa yang kita lakukan. Ataupun, kita boleh mengabaikan kasih kebapaan Allah terhadap kita dan memandang Dia sebagai tuan alam semesta yang jauh dan berkecuali. Di sini, Yesus mengajar bahawa kita memiliki keistimewaan yang menakjubkan: jika kita mempercayai Kristus, kita boleh mengenali Allah syurga dalam segala kekuasaan dan kemuliaan-Nya sebagai bapa yang penyayang, mengambil berat, sempurna. Menakjubkan!
Semasa kita menggunakan doa ini, marilah kita berhenti sejenak dengan kata-kata permulaan Ya Bapa kami yang di syurga; kekalkanlah keseimbangannya.
Perihal Pelan
Sertai J.John dalam kajian lapan hari tentang Doa Bapa Kami, ajaran yang amat mendalam dan berguna oleh Yesus tentang cara kita harus berdoa.
More