Apabila Anda Tidak Memahami TuhanSampel

When You Don't Understand God

HARI 5 DARIPADA 5

Mencari Kedamaian dalam Ketegangan

Perkataan kedamaian dan ketegangan rasa bertentangan, bukan? Memang sukar untuk mengalami kedamaian apabila suasana adalah tegang. Sebagai pengikut Yesus, kita boleh memiliki kedamaian walaupun keadaan di sekeliling kita rasa tidak dapat dikawal, kerana kehadiran-Nya membawa kedamaian kepada kita...meskipun soalan kita tidak dijawab.

Berita kilat: kita akan sentiasa mempunyai soalan untuk Tuhan. Dia ialah Pencipta alam semesta yang maha mengetahui, maha berkuasa, dan sentiasa hadir. Akan sentiasa ada beberapa misteri tentang Tuhan kita. Bukan itukah yang kita inginkan? Adakah kita benar-benar mahu mengetahui, mengerti, dan memahami sepenuhnya tentang Dia dan jalan-Nya? Tidakkah kita mahu mengikuti Tuhan yang lebih besar, lebih bijak, lebih arif, dan lebih cerdik daripada kita atau adakah kita lebih suka mengetahui segala-galanya yang diketahui-Nya? Sebenarnya jika kita memiliki semua jawapan, kita tidak memerlukan Dia. 

Jika kita berfikir tentangnya, mempersoalkan Tuhan menunjukkan sedikit kesombongan bagi pihak kita. Manusia yang berfikir bahawa mereka sebenarnya mengetahui hal yang terbaik atau mengetahui lebih banyak daripada Pencipta alam semesta itu adalah agak mustahil. Memang, kadang-kadang kita hanya mempersoalkan-Nya kerana kita terluka dan kita berfikir rancangan kita adalah cukup baik. Kita ingin orang yang kita kasihi disembuhkan, penyakit dibasmi, atau bencana alam tidak berlaku lagi. Semua itu masuk akal bagi kita, namun, mengapa semua itu tidak masuk akal bagi Tuhan?

Wujudnya ketegangan. Dapat dirasakan, bukan? Kadang-kadang, ketegangan itu tidak akan hilang dan kita harus memilih untuk mengalami kedamaian yang dibawa oleh Yesus walaupun beberapa soalan kita tidak mungkin mendapat jawapan. Ini merupakan sebahagian daripada perjalanan Kristian, pada ketika ini iman kita mencapai tahap krisis. Kita sama ada memilih untuk lebih mendekati Tuhan dan mempercayai Dia ataupun kita membelakangi Dia dalam kemarahan dan meninggalkan iman kita. Meninggalkan Dia akan membawa penderitaan berganda kepada kita. Tidakkah lebih baik untuk mengalami kedamaian Tuhan di tengah-tengah penderitaan dan soalan anda daripada masih memiliki soalan tanpa kedamaian-Nya? 

Daripada mempersoalkan Tuhan, mungkin kita harus lebih banyak mempersoalkan cara dunia ini? Kita sering terlalu cepat untuk mempercayai keraguan yang kita dengar daripada orang lain dan juga diri sendiri, namun, Dia yang telah mencipta dunialah orang yang kita persoalkan. Mengapa kita tidak mempersoalkan apa yang dikatakan oleh orang lain atau bicara diri kita daripada selalu mempersoalkan Tuhan kita? Apa yang kita dengar dan percaya membuat kita mempersoalkan Tuhan atau berlari kepada-Nya. 

Oleh itu, berlarilah kepada-Nya dengan soalan, ketakutan, keraguan, dan kebimbangan anda. Dia dapat mengendalikannya dan apabila anda berbuat demikian, anda akan mengalami kedamaian-Nya sementara anda menangani keraguan anda dan lebih mempercayai-Nya. Pada penghujung hari, mintalah Tuhan untuk menyatakan diri-Nya kepada anda dan membenarkan kedamaian-Nya yang sempurna untuk memperbaharui fikiran anda di tengah-tengah ketegangan soalan yang tidak terjawab.

Hari 4

Perihal Pelan

When You Don't Understand God

Kita semua pernah tertanya-tanya tentang Tuhan—beberapa pertanyaan telah dijawab dan beberapa lagi belum. Kebenaran yang kita pelajari daripada Alkitab akan membantu kita mencari jawapan untuk banyak pertanyaan kita. Untuk jawapan yang tidak difahami atau pertanyaan yang masih belum terjawab, marilah kita menjadikannya dorongan untuk lebih mencari Tuhan.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.