Apabila Anda Tidak Memahami TuhanSampel
Mengapakah perkara buruk berlaku kepada orang yang baik?
Mungkin pertanyaan yang paling biasa, dan sering diajukan tentang Tuhan ialah, "Mengapakah perkara buruk berlaku kepada orang yang baik?" Kita cenderung mengajukan soalan ini apabila seseorang yang baik meninggal dunia sebelum masanya, atau apabila seseorang yang jujur disalah tuduh melakukan suatu jenayah. Nampaknya soalan ini berpunca daripada perkara yang adil dan tidak adil.
Perkara yang buruk berlaku. Malangnya, tidak ada satu hari pun tanpa perkara buruk yang berlaku kepada seseorang di bumi ini. Salah satu sebab perkara yang buruk berlaku ialah sekarang ini terdapat kira-kira lapan bilion orang yang hidup di bumi ini, dan setiap orang boleh membuat pilihan sendiri. Setiap orang mempunyai pelbagai pandangan dan sistem kepercayaan yang memimpin seseorang itu untuk membuat pilihan tersendiri. Jika pandangan dunia itu tidak alkitabiah, maka pilihan itu tidak selaras dengan standard Tuhan dan biasanya membawa kepada dosa. Dengan setiap dosa, terhasillah akibat yang boleh membawa banyak kemusnahan di bumi kita dan dalam kehidupan kita.
Memandangkan kita cenderung mempersoalkan Tuhan apabila perkara buruk berlaku kepada orang yang baik sahaja, marilah kita pertimbangkan pilihan yang lain. Jika Tuhan ialah satu-satunya peribadi yang baik di dunia ini, bukan kita, maka marilah kita bertanya, "Mengapakah perkara yang baik berlaku kepada orang yang jahat?" Sebabnya kita semua dapat menghitung perkara baik dalam hidup kita yang berpunca daripada tangan Tuhan. Sudah tentu, kita mengalami musim yang sukar dalam hidup, tetapi kita juga mempunyai banyak berkat. Bagaimana jika kita mengakui bahawa setiap perkara yang baik dalam hidup kita ialah anugerah dan bukannya sesuatu yang kita patut terima? Bagaimana jika daripada mempunyai sikap berhak bahawa kita sepatutnya menerima apa yang kita minta daripada Tuhan, seolah-olah Dia ialah jin peribadi kita, kita memilih untuk berjalan dengan rasa syukur dan mengakui bahawa Tuhan memberikan kita jauh lebih banyak berkat daripada yang tidak Dia berikan?
Akhirnya, Tuhan berdaulat, dan Dia mempunyai rancangan. Kita tidak berada di bumi ini supaya Tuhan dapat memenuhi rancangan kita, tetapi kitalah yang harus memenuhi rancangan-Nya. Namun, kita kerap keliru apabila penderitaan menguasai hidup kita kerana kita tidak menerima keinginan kita. Walaupun Tuhan sentiasa menyertai kita, ada dekat dengan kita, dan bagi kita, Dia tidak mencipta dunia dan rancangan-Nya dengan memikirkan kita sahaja. Tuhan sangat mengasihi...dunia. Rancangan dan tujuan-Nya jauh melewati kita.
Terdapat lebih banyak soalan dan keraguan berbanding dengan jawapan semasa anda menjalani hidup anda. Walau bagaimanapun, semasa anda menangani soalan demi soalan, anda mungkin tidak mempunyai semua jawapannya, tetapi anda akan lebih mengenal Tuhan kita yang besar.
Perihal Pelan
Kita semua pernah tertanya-tanya tentang Tuhan—beberapa pertanyaan telah dijawab dan beberapa lagi belum. Kebenaran yang kita pelajari daripada Alkitab akan membantu kita mencari jawapan untuk banyak pertanyaan kita. Untuk jawapan yang tidak difahami atau pertanyaan yang masih belum terjawab, marilah kita menjadikannya dorongan untuk lebih mencari Tuhan.
More