Apabila Anda Tidak Memahami TuhanSampel

When You Don't Understand God

HARI 2 DARIPADA 5

Jika Tuhan itu baik dan penyayang, mengapakah begitu banyak kejahatan wujud di dunia ini?

Ini merupakan soalan yang telah lama ditanya selama berabad-abad, dan mungkin akan terus ditanya. Jawapannya kelihatan di luar jangkauan minda kita. Walau berapa banyak pun yang kita diberitahu atau betapa banyak pun yang kita belajar, kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang kita terima—terutamanya apabila krisis dan kejahatan baharu muncul setiap hari. 

Kejadian 1 menceritakan kisah Penciptaan dunia. Tuhan mencipta dunia kita dengan sempurna, termasuk mencipta manusia. Tuhan menempatkan Adam di Taman Eden dan memberikan arahan ini dalam Kejadian 2:16-17: jangan makan buah pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Tuhan memberikan pilihan untuk mentaati-Nya atau tidak. Apabila kita memilih untuk mengingkari Tuhan, pilihan kita membawa kejahatan. Tuhan tidak mencipta kejahatan—kejahatan ialah hasil pilihan berdosa kita.

Itu nampaknya tidak menjawab soalan kita. Ya, kita memiliki kebebasan yang membolehkan kita membuat pilihan, tetapi mengapakah Tuhan kita yang baik dan penyayang membenarkannya? Tidakkah Dia tahu bahawa beberapa pilihan kita akan membawa akibat yang jahat? Tidakkah Dia tahu betapa menderitanya kita kerana tindakan orang lain terhadap kita? Ya. Disebabkan Dia maha mengetahui, Dia memang tahu dan sentiasa tahu. Situasi ini berbalik kepada soalan asal kita: “Jika Tuhan itu baik dan penyayang, mengapakah begitu banyak kejahatan wujud di dunia ini?”

Kejahatan memang wujud. Namun, mungkin kita melihat dan mendengar begitu banyak kejahatan kerana itulah yang menarik perhatian kita. Malangnya, setiap kali kita menonton atau membaca berita, kebanyakannya adalah buruk. Sering kali, pada penghujung siaran berita, kita mendengar berita yang membangkitkan semangat yang menceriakan kita sedikit, bukan? Kita mendapati diri inginkan lebih banyak berita seperti itu.

Selagi manusia yang tidak sempurna dan terbatas mendiami dunia kita, akan selalu ada kejahatan, jadi kita mungkin tidak akan mendapat jawapan yang memuaskan kita. Bagaimana jika kita mengalihkan tumpuan kita daripada kejahatan di dunia ini dan bukan sahaja mencari kebaikan, malah memainkan peranan kita untuk membawa harapan dan pemulihan sebagai pengikut Yesus? Bagaimana jika kita menghabiskan lebih sedikit masa untuk menyoal tentang sebab kejahatan berlaku dan lebih banyak masa menawarkan harapan dan bantuan kepada mereka yang bergelut dalam penderitaan mereka? Bagaimana jika daripada cuba memahami perkara yang tidak dapat dijelaskan seperti kejahatan, kita memainkan peranan kita untuk membuat perbezaan dalam kehidupan orang lain dengan melayani mereka dan berkongsi Yesus dengan mereka? 

Panggilan kita ialah memainkan peranan yang mencari kebaikan dan berusaha untuk berbuat baik di dunia kita dan kepada orang yang tinggal di dalamnya. Apa yang kita cari, kita akan temui. Jadi, marilah kita cari kebaikan.

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

When You Don't Understand God

Kita semua pernah tertanya-tanya tentang Tuhan—beberapa pertanyaan telah dijawab dan beberapa lagi belum. Kebenaran yang kita pelajari daripada Alkitab akan membantu kita mencari jawapan untuk banyak pertanyaan kita. Untuk jawapan yang tidak difahami atau pertanyaan yang masih belum terjawab, marilah kita menjadikannya dorongan untuk lebih mencari Tuhan.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.