Apabila Anda Tidak Memahami TuhanSampel
Mengapakah Tuhan tidak menjawab setiap doa?
Billy Graham berkata, “doa ialah perbualan dua hala antara kamu dan Tuhan.” Oleh itu, kita boleh mendekati Tuhan, Pencipta kita, pada bila-bila masa dan mengetahui bahawa Dia akan menemui kita di mana kita berada. Tidakkah menakjubkan bahawa Tuhan alam semesta mendengar kita?
Namun, kita tidak selalu memahami segala-galanya tentang doa dan sering berkata, “Tuhan tidak menjawab doa saya.” Sebenarnya, Tuhan memang menjawab setiap doa yang kita ucapkan. Kadang-kadang Dia berkata, “Ya,” kadang-kadang Dia berkata, “Tidak,” dan pada masa yang lain Dia berkata, “Tunggu.” Apabila kita menerima jawapan “tidak” atau “tunggu” bagi doa kita, kita menganggap bahawa “Dia tidak menjawab doa kita.” Marilah kita menyelami hal ini.
Apabila Tuhan Berkata Ya
Berita baiknya ialah Tuhan sering berkata ya! Memang benar. Apabila kita berdoa dan meminta keselamatan melalui Yesus, Dia menyelamatkan kita. Apabila kita mengakui dosa kita, Dia mengampunkan kita. Apabila kita meminta kebijaksanaan, Dia memberikannya. Dia juga mengatakan ya terhadap banyak permintaan lain yang kita buat—seperti memberikan kita ketenangan semasa kita rasa gementar, menyertai orang yang dikasihi sepanjang pembedahan, atau menyediakan keperluan kita apabila kita tidak mempunyai apa-apa lagi. Tuhan ingin memberi kita hadiah yang baik dan sempurna. Dia mahu yang terbaik untuk kita dan sering memberikan kita perkara yang kita ingini juga!
Apabila Tuhan Berkata Tidak
Apabila orang berkata Tuhan tidak menjawab doa mereka, apa yang sebenarnya berlaku ialah Tuhan berkata “tidak.” Kita meminta Tuhan untuk kerja, pasangan hidup, atau anak, dan Dia tidak mengabulkan permintaan kita. Itu memang sukar. Disebabkan kita tidak faham mengapa Tuhan tidak mengatakan “ya” terhadap pekerjaan yang baik, pasangan hidup yang mengagumkan, atau anak yang berharga. Ini tidak masuk akal, dan secara terus terang, ini menyakitkan. Namun, "tidak-Nya" sering membawa kepada pilihan yang lebih baik bagi kita.
Apabila Tuhan Berkata Tunggu
Kadang kala mendengar “tunggu” adalah lebih sukar daripada mendengar “tidak.” Kerapnya, kita tidak benar-benar mendengar Tuhan berkata “tunggu” dengan jelasnya, kita hanya menunggu dan menganggap Dia menangguhkan respons-Nya. Menunggu tidak menyeronokkan, dan kita pasti tidak suka menunggu Tuhan untuk mengabulkan permohonan kita. Hal yang kita harus faham ialah aturan masa adalah penting, dan Tuhan tidak pernah lewat. Dia tahu dengan tepat bila hendak berkata “ya” terhadap rayuan anda.
Walau apa pun jawapan yang kita terima terhadap doa kita, kita harus memahami bahawa setiap doa yang kita ucapkan kepada Tuhan, Dia mendengar dan menjawab. Semasa kita bertumbuh dalam iman kita dan hubungan kita dengan-Nya bertambah rapat, kita akan mula mempercayai jawapan “tunggu” dan “tidak” daripada-Nya kerana kita sedar bahawa Dia mempunyai rancangan yang terbaik di dunia ini. Selain itu, kita akan mula mengajukan soalan yang kita tahu akan sejajar dengan kebenaran-Nya dan kehendak-Nya.
Maka, carilah Tuhan melebihi segala-galanya, izinkan Dia untuk mengisi hati, fikiran, jiwa, dan roh anda, dan mintalah Dia untuk menggantikan keinginan anda dengan pemberian-Nya yang terbaik!
Perihal Pelan
Kita semua pernah tertanya-tanya tentang Tuhan—beberapa pertanyaan telah dijawab dan beberapa lagi belum. Kebenaran yang kita pelajari daripada Alkitab akan membantu kita mencari jawapan untuk banyak pertanyaan kita. Untuk jawapan yang tidak difahami atau pertanyaan yang masih belum terjawab, marilah kita menjadikannya dorongan untuk lebih mencari Tuhan.
More