Berita Baik: Dorongan untuk Dunia yang Menghadapi KrisisSampel

Good News: Encouragement for a World in Crisis

HARI 7 DARIPADA 7

 

Allah Memberikan Kita Keabadian

Terdapat satu pepatah lama yang dikatakan telah ditulis oleh Benjamin Franklin yang berbunyi hanya terdapat dua kepastian dalam kehidupan—kematian dan cukai. Antara semua orang yang pernah hidup atau akan hidup di bumi ini, 100% daripada mereka akan mati. Kalau-kalau anda tidak mahir dalam bidang matematik, itu bermaksud kita semua. 

Setiap orang akan menghabiskan keabadian mereka di suatu tempat. Namun, banyak orang tidak mempertimbangkan kebenaran ini semasa hidup. Terdapat orang yang berfikir bahawa kehidupan di sini dan sekarang ini juga adalah tujuan kewujudan kita. Mereka rasa ini ialah tempat tinggal mereka. Walau bagaimanapun, sebagai pengikut Yesus, kita sedar dunia ini bukanlah tempat tinggal kita. Rasul Paulus memberitahu kita bahawa "kewarganegaraan kita di syurga" (Filipi 3:20 BM). Kita tidak dicipta untuk dunia ini tetapi untuk tinggal sementara waktu di dunia ini demi kemuliaan Allah. 

Memang pelik untuk mengatakan bahawa kehidupan seseorang adalah suatu rangka masa sementara, bukan? Sudah tentu, seseorang yang telah hidup 80 atau 90 tahun di dunia ini telah menjalankan kehidupan panjang yang baik. Apabila anda membandingkan itu dengan keabadian, ia tidaklah panjang. Jadi, berapa panjang keabadian itu? Amat panjang. Ia sebenarnya melebihi pemahaman mental kita. Ia bagaikan infiniti dari segi nombor dan ia berterusan dan tidak pernah berhenti. Itulah keabadian. 

Bagi orang yang telah menerima Yesus sebagai Penyelamat dan menjadikan Dia Tuhan kehidupan mereka, keabadian di syurga bersama Allah merupakan kenyataan yang menimbulkan kekaguman dan dipenuhi harapan. Namun, meskipun dengan sukacita keabadian pada masa depan kita, tekanan dan kerisauan sekarang ini di dunia ini kerap memesongkan kita dan memakukan pandangan kita pada apa yang sedang berlaku di sini dan sekarang ini juga. Itulah sebab mengapa Paulus memberitahu kita dalam 2 Korintus 4:17 bahawa "kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak." Satu ayat kemudian, ia berkata bahawa kita harus "menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan," iaitu masa depan kita di syurga, kerana "apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya." Ini harus memenuhi kita dengan harapan! 

Salah satu him Kristian yang paling popular ialah Amazing Grace. Rangkap terakhir lagu itu menyatakan:

When we've been there ten thousand years, bright shining as the sun (Ketika kita telah berada di sana selama sepuluh ribu tahun, bersinar terang seperti mentari)
We've no less days to sing God's praise, than when we first begun (Kita tidak akan kekurangan hari untuk menyanyikan pujian Tuhan, seperti yang dulu pernah kita lakukan).

Bayangkan itu! Selepas 10,000 tahun dalam keabadian kita, kita belum pun menyentuh apa yang bakal datang. Sungguh sukar hendak dibayangkan! Apa yang sedang berlaku di sini dan sekarang ini cumalah sebahagian kecil daripada kehidupan kita yang tidak ketara selepas 10,000 tahun dalam keabadian kita. 

Marilah mengalihkan pandangan kita daripada pergelutan dunia kepada harapan syurga kerana apabila kita berbuat demikian, segala sesuatu akan menjadi kurang penting berbanding dengan apa yang disediakan oleh Allah untuk kita yang memanggil-Nya Tuhan kita.

Ingin berkongsi imej hari ini? Ketik di sini untuk memuat turun.

Hari 6

Perihal Pelan

Good News: Encouragement for a World in Crisis

Kita hidup dalam zaman yang tidak pernah berlaku dahulu kerana pandemik COVID-19. Di manakah kita menemui harapan dan "berita baik" di tengah-tengah hebahan berita buruk yang tidak henti-henti? Bagi pengikut Yesus, sentiasa adanya Berita Baik. Dalam Pelan 7 hari ini, kita akan meneliti beberapa janji yang ditemui dalam Allah kita yang baik dan iman yang diperlukan untuk berpaut pada janji tersebut.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.