Apakah Itu Hari Paska?Sampel
Kita Memerlukan Penyelamat …
Keadaan menjadi semakin teruk. Walau bagaimanapun, Allah tetap menawarkan kasih-Nya kepada dunia ini. Dia tidak pernah putus asa dengan kita. Dia tahu kita memerlukan masa untuk memahami dan menjejaki kasih yang diukir-Nya sepanjang sejarah untuk membawa kita kembali kepada-Nya.
Dosa telah merosakkan dunia ciptaan Allah dengan teruk sekali. Dosa merosakkan hati lelaki dan perempuan di semua tempat. Perbalahan, kebencian, kecemburuan, pembohongan, penipuan, pencurian, dan banyak lagi dosa yang bertindan-tindih, menjadikan upah semua dosa itu semakin tinggi.
Walau bagaimanapun, Allah mempunyai rancangan. Tontonlah video ini untuk melihat apa yang telah dirancangkan oleh Allah untuk dunia ini. Bayangan: Dia merancangkan satu kemenangan yang besar—untuk anda!
Adakah anda mendengar bahagian video ini yang mengatakan, "Sin is expensive" ("Dosa itu mahal")? Apakah maksudnya?
Beberapa ribu tahun yang lalu, dosa memanglah mahal bagi sesebuah keluarga kerana Allah meminta umat untuk mengorbankan binatang yang sihat dan kuat sebagai korban untuk dosa mereka. Itu merupakan cara untuk mendapatkan perhatian orang. Itu memakan belanja. Barangkali Allah tahu bahawa ini membantu mereka untuk berhenti, memperlahankan diri, dan mempertimbangkan kesan dosa mereka terhadap dunia di sekeliling mereka. Dosa menyebabkan kematian, dan kematian adalah upah dosa.
Walau bagaimanapun, korban tersebut tidak berkekalan. Dosa terus berlaku. Hanya terdapat satu cara untuk membayar upah yang dikenakan oleh dosa terhadap ciptaan Allah yang indah, dan kita tidak dapat membayarnya. Kita tidak mungkin sempurna. Hanya Allah itu sempurna. Maka, Allah merupakan satu-satunya yang dapat membayar upah dosa dunia. Dia mula menyebarkan berita bahawa Dia akan melakukan itu. Dia akan mengutus seorang penyelamat. Seseorang untuk membayar kos itu sekali untuk selama-lamanya.
Hari ini, anda akan membaca beberapa ramalan dalam kitab Yesaya, yang telah ditulis kira-kira 700 tahun sebelum Yesus dilahirkan. Ramalan itu menceritakan tentang seorang lelaki yang dibenci dan ditolak, dilayan dengan kasar, dibunuh, dan ditempatkan dalam kubur seorang yang kaya. Namun, ramalan itu juga menyatakan bahawa Dia akan menanggung hukuman dosa! Dapatkah anda teka siapa yang diceritakan itu? Dia ialah penyelamat dunia! Yesus!
Memanglah aneh untuk dibaca kerana banyak daripadanya dituliskan dalam kala lampau, tetapi sebenarnya bercakap tentang perkara yang belum berlaku lagi. Ini disebabkan dalam bahawa Ibrani kuno yang digunakan untuk menulis kitab ini, tiada cara untuk bercakap dalam kala depan. Bahasa itu tidak seperti bahasa Inggeris yang mempunyai kala benar (true tenses). Petikan yang anda akan baca hari ini telah ditulis dalam kala yang kerap dipanggil "kala ramalan" sekarang ini. Kala ini kerap digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang pasti akan berlaku, seolah-olah sesuatu itu sudah berlaku. Orang yang membacanya ketika petikan itu ditulis sedar bahawa hal itu belum berlaku lagi tetapi berdasarkan konteks juga. Mereka sedar bahawa petikan itu menunjukkan penyelamat yang akan datang kerana ketika petikan itu dituliskan, belum ada lagi penyelamat yang menanggung dosa umat Allah. Itu merupakan berita baik. Walau bagaimanapun, kedatangan penyelamat ini akan memakan masa yang panjang.
Hari Paska belum tiba lagi, tetapi kita mula mendengar tentang kedatangan hari itu!
Tanyalah diri: Mengapakah ada kalanya sukar untuk mempercayai bahawa kasih kurnia Allah adalah percuma? Apabila tiba masanya untuk memaafkan seseorang, adakah perbuatan ini mudah bagi saya ataupun adakah saya mahu mereka rasa bersalah dahulu sebelum saya memaafkan mereka?
Doa: Allah, terima kasih kerana Engkau cukup mengasihi kami untuk membayar upah dosa kami. Kami tidak mungkin membayarnya. Terima kasih kerana Engkau bermurah hati terhadap kami. Kasih kurnia-Mu amat menakjubkan. Dalam nama Yesus, amin.
Perihal Pelan
Pernah seorang lelaki meramalkan kematian-Nya. Dia juga meramalkan bahawa Dia akan mati selama tiga hari sahaja. Ramalan-Nya tepat sekali! Kematian Yesus dan kebangkitan-Nya daripada kematian merupakan kebenaran kisah hari Paska yang mengagumkan. Orang Kristian masih meraikan hari ini. Walau bagaimanapun, apakah maksud hari ini buat anda? Pelan Alkitab ini akan membantu anda memahami misteri dan keindahan hari Paska!
More