HadiahSampel
Menyembah dengan Penuh Kekaguman
Selama beratus-ratus tahun, kita menunggu Yesus. Jadi, pada Krismas ini, sekiranya anda mendapati diri dalam musim menunggu—anda tidak bersendirian. Menunggu boleh menjadi peringatan yang kuat tentang Dia yang kita sembah.
Allah dapat menyelamatkan kita dengan mudah, tetapi Dia memilih untuk mengutus anak-Nya kepada kita. Anak yang datang untuk hidup di kalangan kita, menderita di kalangan kita, dan mati demi kita sebagai hadiah sempurna yang tidak mungkin kita peroleh atau patut terima.
Kadang kala kita mendapati diri kita terlalu sibuk semasa musim cuti, melakukan pelbagai kerja untuk Allah sehinggakan kita terlupa bahawa hadiah-Nya adalah menyertai kita. Rasa geram kita bertambah kerana kita melakukan sesuatu yang betul dengan hati yang salah. Memanglah mudah untuk lupa bahawa hadiah Yesus bukanlah tentang kita atau usaha kita, sebaliknya tentang Allah dan rahmat-Nya.
Namun, pada Krismas ini, kita tidak perlu tergopoh-gapah sepanjang musim cuti. Kita boleh berhenti sejenak untuk merenungkan dan mengingati hadiah rahmat. Hadiah yang bermaksud kita boleh berhenti bertungkus-lumus, berhenti rasa tertekan, dan berhenti cuba mencari jalan untuk medekati Allah—sebaliknya, menerima apa yang Yesus datang untuk berikan kepada kita.
Ahli kaji bintang itu tidak memberikan hadiah demi memperoleh jalan kepada Allah. Hadiah itu tidak dipersembahkan dengan agenda atau jangkaan akan berkat. Sebaliknya, mereka mempersembahkan hadiah itu sebagai limpahan penyembahan dan penerusan kekaguman mereka.
Semoga kita mengikut teladan mereka. Semoga kita tidak menawarkan kepatuhan kerana kewajipan, sebaliknya kerana limpahan keghairahan terhadap Dia yang telah diutus kepada kita sebagai hadiah yang terutama.
Hadiah yang dipersembahkan oleh ahli kaji bintang itu adalah sumber harapan kepada kita hari ini kerana hadiah itu mengingatkan kita tentang siapa yang kita sembah. Allah yang mengutus Anak-Nya sebagai Raja kita, Penyembuh kita, dan Penyelamat kita.
Berhenti tergesa-gesa sepanjang masa cuti ini dan mula mengalu-alukan rentak kekaguman apabila kita mengingati kelahiran Yesus—Raja kita yang telah bangkit.
Doa: Allah, terima kasih kerana mengutuskan hadiah yang terutama kepada kami melalui Anak-Mu, Yesus. Tumpukan seluruh hati saya pada apa yang telah Engkau lakukan untuk saya, dan tolonglah saya untuk menerima sepenuhnya hadiah rahmat. Tolonglah saya untuk berhenti tergesa-gesa dan mula menyembah dengan kagum akan siapa Engkau dan apa yang telah Engkau lakukan. Dalam nama Yesus, amin.
Latihan: Luangkan masa untuk bertenang hari ini, memperlahankan diri untuk mendengar Allah dan menyembah-Nya kerana siapa Dia.
Perihal Pelan
Ini merupakan masa yang paling menakjubkan setiap tahun, namun kita sering mendapati diri terburu-buru sepanjang masa cuti. Hari Krismas ini, bagaimana kalau kita menuntut balik ketakjuban itu? Dalam pelan Alkitab 5 hari ini, mengiringi siri Pastor Craig Groeschel, The Gift, kita akan mendapat tahu bagaimana tiga hadiah yang dipersembahkan oleh tiga orang ahli kaji bintang kepada Yesus boleh membimbing kita ke tempat yang mengagumkan dan persembahan pada hari ini.
More