HadiahSampel
Menyembah Yesus Kerana Apa yang Dilakukan-Nya—Allah, Imam, dan Penyembuh Kita
Hadiah seterusnya yang dipersembahkan oleh ahli kaji bintang itu kepada Yesus ialah kemenyan. Sap.
Ya, kemenyan ialah sap kering daripada pokok. Khususnya pokok yang tumbuh di selatan semenanjung Arab dan kawasan di sekitarnya.
Pada mulanya, sebilah pisau khas menoreh retakan pada pokok Boswellia sacra di mana sap mula mengalir. Sap pertama tidak dikumpul, kerana aliran ini menyingkirkan bendasing.
Seterusnya, lebih banyak torehan dibuat pada pokok untuk merembeskan bendalir yang bertapis. Apabila sap itu menjadi kering, terbentuknya sesuatu yang dinamakan “air mata” dalam industri. Air mata tersebut dikumpulkan daripada pokok, dihancurkan jadi ketulan kecil, dan dijual sebagai kemenyan.
Kemenyan yang dihadiahkan kepada Yesus telah dibawa (berkemungkinan dengan unta) merentasi gurun Arab seperti yang dibayangkan dalam Yesaya 60:6. Pada waktu itu, kemenyan mungkin mempunyai nilai yang lebih mahal daripada emas yang seberatnya. Namun, dalam tujuan dan fungsi hadiah inilah kita betul-betul melihat nilainya. Kemenyan paling biasa dibakar sebagai sejenis dupa. Sebenarnya, sejarah perkataan ini menunjukkan sesuatu seperti dupa yang tulen ataupun yang berkualiti tinggi.
Sepanjang sejarah Perjanjian Lama, dupa tulen itu digunakan oleh imam di Rumah Tuhan sebagai sebahagian daripada adat persembahan dan pengorbanan yang dipersembahkan kepada Allah demi menutupi dosa. Kemenyan juga sering kali digunakan pada zaman purba sebagai agen penyembuhan.
Penyelidikan saintifik baru-baru ini mencadangkan bahawa kemenyan masih mempunyai kesan penyembuhan, terutamanya menentang penyakit barah tertentu. Ketika ditemu bual oleh BBC, ahli imunologi Mahmoud Suhail menerangkan, “Penyakit barah bermula apabila kod DNA di dalam nukleus sel menjadi rosak. Nampaknya, kemenyan mempunyai fungsi set semula. Kemenyan dapat memberitahu sel itu tentang kod DNA yang betul.”
Mengapakah ahli kaji bintang itu membawa kemenyan sebagai hadiah kepada Yesus yang masih kecil? Walau disedari atau tidak, barangkali mereka membawa satu-satunya bahan yang dapat memerikan kisah Yesus yang diramalkan dalam Yesaya 53:5 BM:
Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya.
Yesus telah melakukan ini, dan Dia masih melakukannya. Sebagaimana sebahagian daripada pokok Boswellia sacra dihancurkan untuk menghasilkan kemenyan, Yesus diremukkan supaya Dia boleh menjadi agen penyembuh kita—imam besar agung yang mempersembahkan nyawa-Nya sebagai korban terakhir yang sempurna demi dosa kita dan Dia masih berbuat demikian bagi pihak kita di hadapan Allah. Dialah fungsi set semula yang membetulkan segala-galanya. Dialah kedamaian kita.
Doa: Yesus, terima kasih kerana menjadi set semula yang mendamaikan kami dengan Allah. Terima kasih kerana Engkau terus menjadi pengantara kami dan kerana semua cara Engkau menyembuhkan kami, memulihkan kami, membawa kedamaian, dan menunjukkan bahawa Engkau menyertai kami. Amin.
Latihan: Bagaimanakah anda menyembah-Nya kerana apa yang telah dilakukan-Nya dan masih dilakukan-Nya sekarang ini? Bagaimanakah anda dapat berharap pada-Nya sebagai imam dan penyembuh anda?
Perihal Pelan
Ini merupakan masa yang paling menakjubkan setiap tahun, namun kita sering mendapati diri terburu-buru sepanjang masa cuti. Hari Krismas ini, bagaimana kalau kita menuntut balik ketakjuban itu? Dalam pelan Alkitab 5 hari ini, mengiringi siri Pastor Craig Groeschel, The Gift, kita akan mendapat tahu bagaimana tiga hadiah yang dipersembahkan oleh tiga orang ahli kaji bintang kepada Yesus boleh membimbing kita ke tempat yang mengagumkan dan persembahan pada hari ini.
More