HadiahSampel
Menyembah Yesus Kerana Siapa Dia—Raja Kita
Pernahkah anda bergumul untuk mencari hadiah yang terbaik untuk seseorang yang anda sayangi? Anda mahu hadiah itu bermakna kepada mereka supaya mereka melihat betapa bermaknanya mereka itu kepada anda.
Nilai lahir hadiah yang diberikan oleh ahli kaji bintang itu kepada Yesus kelihatan agak aneh, tetapi sebenarnya memberikan satu gambaran yang indah tentang siapa Yesus. Mereka menghadiahkan-Nya emas, kemenyan, dan mur. Memanglah mudah untuk terlepas pandang, tetapi hadiah tersebut mempunyai kepentingan yang boleh membantu memusatkan hati kita pada Krismas ini.
Bersama-sama, hadiah tersebut menunjukkan kepada kita siapa itu Yesus. Allah yang berdaulat tetapi sanggup menderita untuk menyelamatkan kita.
Terdapat banyak sebab ahli kaji bintang itu memilih untuk membawa emas sebagai salah satu hadiah kepada Yesus. Pertama, emas adalah sesuatu yang anda berikan kepada raja. Namun, pertimbangkan iman mereka sehinggakan mereka menghadiahkan emas kepada seorang anak kecil. Semua orang menjangkakan Allah untuk menghantar seorang raja. Sebenarnya, orang pada zaman Yesus mengharapkan seseorang yang akan memerintah negara mereka—tidak semestinya memerintah hati mereka. Sebaliknya, Allah menghantar seorang anak kecil yang akan membesar, mengajar kita cara untuk menjalankan kehidupan, dan mati di tempat kita kerana dosa kita.
Maka, anak kecil bukanlah orang yang dijangkakan oleh sesiapa pun. Walau bagaimanapun, ahli kaji bintang itu tetap mempersembahkan emas, menunjukkan bahawa Yesus ialah Raja kita dan patut menerima pujian, korban, dan kemuliaan.
Emas jugalah penting dalam Perjanjian Lama. Sebenarnya, dalam kitab 1 Raja-raja, kita melihat bagaimana Salomo menggunakan emas semasa membina bait Allah. Ia mempunyai arahan yang amat terperinci untuk pembinaan bait Allah, kerana inilah tempat kediaman Allah.
Di dalam bait Allah terdapat beberapa kawasan, dan kawasan terdalam disebut tempat yang maha kudus, ataupun Bilik Maha Suci. Di tempat itu, imam mengalami hadirat Allah dan mempersembahkan korban bagi pihak umat. Dinding dan mazbah di dalam tempat kudus itu diperbuat daripada emas.
Maka, ketika ahli kaji bintang itu mempersembahkan emas kepada Yesus, tindakan ini membayangkan bahawa Yesus akan dijadikan korban yang terutama demi kita dengan mati di atas salib dan bangkit daripada kematian tiga hari kemudian supaya kita boleh memilih untuk menjalin hubungan dengan Allah.
Sementara ahli kaji bintang memberikan emas kepada Yesus, Yesus memberikan kita hadiah yang jauh lebih berharga. Ahli kaji bintang itu tidak membayar untuk menghampiri Allah. Tiada manusia, walau berapa penting atau kaya pun, mampu berbuat demikian. Yesus sendiri sanggup membayar harga yang tidak mungkin dibayar oleh kita untuk membuka jalan untuk hubungan peribadi antara kita dan Allah. Ahli kaji bintang itu telah memberikan emas kepada Yesus—tetapi Yesus telah memberikan kita hubungan dengan Allah.
Satu-satunya respons yang munasabah daripada ahli kaji bintang itu adalah memberikan apa yang mereka miliki sebagai tindakan penyembahan yang berlebih-lebihan kepada Yesus. Semoga kita mengikut pengorbanan mereka, dan biarlah kita mengingati bahawa Yesus ialah Raja kita. Semasa musim yang kerap dikaitkan dengan ketergesa-gesaan ini, marilah kita berhenti sejenak untuk mengenangkan betapa suci dan mengagumkannya bahawa Allah memilih untuk mengutus Yesus untuk menyertai kita.
Doa: Allah, terima kasih kerana Engkau telah mengutus Yesus untuk menjadi korban kita yang terutama. Terima kasih kerana Engkaulah Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung. Ingatkan saya tentang kemuliaan-Mu hari ini. Dalam nama Yesus, amin.
Latihan: Ketika anda berdoa hari ini, cari sebuah tempat untuk bertelut dan mengingati bahawa Yesus ialah Raja.
Perihal Pelan
Ini merupakan masa yang paling menakjubkan setiap tahun, namun kita sering mendapati diri terburu-buru sepanjang masa cuti. Hari Krismas ini, bagaimana kalau kita menuntut balik ketakjuban itu? Dalam pelan Alkitab 5 hari ini, mengiringi siri Pastor Craig Groeschel, The Gift, kita akan mendapat tahu bagaimana tiga hadiah yang dipersembahkan oleh tiga orang ahli kaji bintang kepada Yesus boleh membimbing kita ke tempat yang mengagumkan dan persembahan pada hari ini.
More