Lebih Baik BersamaSampel
Bagaimana Berdoa untuk Pertumbuhan Rohani
Paulus menulis tentang seorang pahlawan doa dalam Kolose 4:12: “Epafras ... sentiasa berdoa dengan tekun bagi kamu. Dia memohon kepada Allah supaya iman kamu teguh, dan kamu betul-betul matang”.
Epafras merupakan seorang wira kepada saya. Saya tidak tahu tentang anda, tetapi doa adalah sukar bagi saya. Anda rasa ia harus berlaku secara semula jadi, tetapi ia bukan demikian bagi saya. Ia mengagumkan saya bahawa Epafras mempunyai disiplin untuk sentiasa meluangkan masa untuk berdoa untuk orang lain.
Walau bagaimanapun, saya juga menyukai kenyataan bahawa dia berdoa untuk pertumbuhan rohani orang lain. Biasanya kita berdoa untuk keperluan orang lain — kesihatan, kewangan dan hubungan — tetapi kita tidak menghabiskan masa yang sebanyak itu untuk pertumbuhan rohani mereka. Kita tidak berdoa agar Allah mengubah sifat kita untuk menjadi seperti-Nya. Saya fikir salah satu sebabnya adalah kita tidak tahu apa yang harus didoakan.
Mujurlah Alkitab dipenuhi ayat tentang cara berdoa untuk seseorang agar bertumbuh secara rohani.
“Dengan demikian kamu ... dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus; Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah” (Efesus 3:19). Siapakah yang anda tahu sedang bergumul dan memerlukan kasih Allah dalam hidup mereka sekarang? Fikirlah tentang mereka dan berkata, “Allah, sedarkan mereka tentang betapa Engkau betul-betul mengasihi mereka.”
“Semoga Allah sumber kesejahteraan itu melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang kamu perlukan untuk melakukan kehendak-Nya” (Ibrani 13:21). Ibu bapa, tidakkah anda berdoa untuk anak anda, supaya mereka bukan sahaja melakukan perkara yang betul malah berhasrat benar hendak melakukan perkara yang betul? Berdoalah untuk mereka sekarang: “Allah, berikan mereka integriti."
“Semoga Allah yang memberi kamu harapan, memenuhkan hati kamu dengan kegembiraan dan kedamaian kerana kamu percaya kepada-Nya” (Roma 15:13a). Siapakah yang tidak memerlukan lebih banyak harapan atau sukacita atau kedamaian dalam hidup mereka? Doakan, “Allah, saya kenal seseorang yang memerlukan lebih banyak harapan. Bantulah dia untuk mempercayai-Mu pada waktu yang sukar ini.”
“Aku memohon supaya Allah Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang mulia ... akan menjadikan kamu bijaksana dan akan menunjukkan Allah kepada kamu sehingga kamu mengenal Dia” (Efesus 1:17). Siapakah yang anda kenali yang perlu membuat keputusan? Mintalah Allah untuk memberikannya kebijaksanaan.
“Semoga Tuhan memimpin kamu untuk lebih memahami kasih Allah dan ketabahan yang diberikan oleh Kristus” (2 Tesalonika 3:5). Ada sesiapa yang sudah mencapai itu? Kita belum mencapainya lagi. Namun, kita boleh berdoa untuk satu sama lain, agar kita akan bertumbuh sepanjang hidup kita untuk lebih mendekati matlamat itu. Doakanlah ayat itu untuk seseorang.
“Aku berdoa kepada Allah supaya ... Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya” (Efesus 3:16b). Siapakah yang anda kenali yang rasa ditenggelami kehidupan atau rasa seolah-olah mereka perlu melakukan segala sesuatu dengan kuasa sendiri? Doakan ini untuk mereka. Katakan, “Allah, bantulah mereka untuk menyedari bahawa mereka tidak bersendirian. Berikan mereka kekuatan dan kuasa."
Perihal Pelan
Kita tidak mungkin menjadi apa yang diinginkan Allah dan memenuhi tujuan kita di bumi ini tanpa sebarang bantuan. Kita memerlukan satu sama lain, dan kita tergolong dalam Tubuh Kristus! Dalam siri ini, Pastor Rick menjelaskan bagaimana menjalankan kehidupan berhubungan dengan orang lain.
More