Lebih Baik BersamaSampel
Bagaimanakah Allah Memberikan Respons Terhadap Kemurahan Hati Anda?
Saya dengar tentang cerita seorang lelaki yang membawa anak lelakinya ke McDonalds dan membelikannya kentang jejari bersaiz besar. Dalam perjalanan pulang, kentang itu berbau enak, dan dia mengambil satu kentang kecil dari karton anaknya itu dan memakannya. Anaknya menjadi marah dan berkata, “Ayah, kamu tidak boleh memakannya. Ini adalah kentang jejari saya!” Pada masa itu, bapa itu mempunyai tiga fikiran:
“Pertama, anak saya terlupa bahawa sayalah sumber semua kentang jejari ini. Sayalah yang membawanya ke McDonalds, membuat tempahan, membayar, menyerahkan kentang jejari itu kepadanya, dan sayalah yang sedang membawanya pulang. Satu-satunya sebab dia mendapat kentang jejari adalah kerana saya, Pemberi Kentang yang Hebat!
“Kedua, anak saya tidak menyedari bahawa saya boleh mengambil balik kentang jejari itu jika saya mahu. Ataupun, sebaliknya, saya boleh membelikannya sebuah trak penuh kentang jejari jika saya mahu, kerana saya berkuasa melakukan kedua-dua itu.
“Ketiga, saya tidak memerlukan kentang jejarinya. Saya boleh membeli kentang jejari sendiri dengan mudah. Saya boleh membeli beberapa ratus karton kentang jejari jika saya mahu. Saya cuma mahu dia belajar menjadi tidak mementingkan diri.”
Tiga pengajaran itu adalah sama dengan apa yang Allah mahu anda belajar supaya anda boleh menjadi murah hati terhadap orang lain. Pertama, Allah mahu anda untuk ingat bahawa Dialah sumber segala sesuatu yang anda miliki. Anda tidak akan memiliki apa-apa — anda tidak mungkin hidup juga! — jika tiada Allah. Dia memilih untuk mencipta anda dan memberikan anda semua benda yang anda miliki. Kedua, Allah boleh menarik balik semuanya daripada anda dengan sekelip mata, ataupun Dia boleh menggandakannya, kerana Dia berkuasa. Ketiga, Allah tidak memerlukan wang anda. Dia cuma mahu anda belajar menjadi tidak mementingkan diri dan murah hati. Dia mahu membina iman anda.
Apakah yang berlaku apabila anda mula menjadi seorang yang lebih murah hati? Alkitab menyatakan dalam 2 Korintus 9:8, “Allah berkuasa memberkati kamu dengan berlimpah-limpah, sehingga kamu mempunyai apa yang kamu perlukan. Bahkan kamu akan mempunyai lebih daripada cukup untuk mengamalkan perbuatan baik.”
Allah berkata jika anda mengamalkan kemurahan hati, Dia akan memberikan anda segala sesuatu yang anda perlukan bahkan lebih lagi supaya anda boleh berkongsi dengan orang lain. Dia mencari saluran seperti straw, dan apabila Dia menemuinya — seseorang yang sanggup mengatakan, “Allah, gunakan saya untuk menjadi berkat kepada orang lain” — Dia mula mencurahkan berkat melaluinya.
Jika anda belajar menjadi murah hati, Allah akan memberkati anda lebih daripada yang dapat anda bayangkan!
Kitab
Perihal Pelan
Kita tidak mungkin menjadi apa yang diinginkan Allah dan memenuhi tujuan kita di bumi ini tanpa sebarang bantuan. Kita memerlukan satu sama lain, dan kita tergolong dalam Tubuh Kristus! Dalam siri ini, Pastor Rick menjelaskan bagaimana menjalankan kehidupan berhubungan dengan orang lain.
More