Mengejar Sesuatu yang Tidak Mungkin TercapaiSampel
Mengejar Keselesaan
Sama ada kita rasa tertekan, tersinggung, penat, sepi, ataupun bosan, ada kalanya kita mendapati diri mengejar keselesaan. Siapakah yang tidak pernah berbelanja berlebihan, makan terlalu banyak, kesiangan, mabuk, dan membuat jangkaan yang berlebihan tentang keupayaan sesuatu untuk benar-benar memberikan keselesaan yang kekal?
Perkataan "keselesaan" memiliki sejarah yang rumit. Ia berasal daripada dua bahagian perkataan Latin, com-, yang bermaksud "dengan," dan fortis, yang bermaksud "kuat atau kekuatan." Kemudian, perkataan Latin confortare membawa maksud "mengukuhkan." Lama-kelamaan, perkataan Perancis Kuno, conforter, menambahkan perkataan seperti "ketenangan" dan "bantuan" kepada definisi tersebut. Pada abad ke-14, satu lagi perkataan Perancis conforten didefinisikan sebagai "menghiburkan, menyenangkan." Akhir sekali, menjelang abad ke-17, terjemahan Bahasa Inggeris perkataan itu mula menandakan keselesaan fizikal yang difahami hari ini.
Mengapakah ini penting? Dalam kira-kira satu milenium, perkataan "keselesaan" berubah-ubah maksud daripada, "dengan-kekuatan," kepada "penghalang penderitaan."
Adakah anda melihat Allah sebagai kekuatan anda, menyertai anda di tengah-tengah penderitaan, atau sebagai penghalang anda daripada penderitaan?
Nabi Yesaya meramalkan bahawa seorang Mesias akan memasuki dunia kita untuk dilukai kerana dosa kita dan menderita demi penyembuhan kita. Jika sifat iman kita adalah mengikuti jejak Yesus, marilah kita mempertimbangkan respons-Nya terhadap penderitaan. Dalam 1 Petrus 2:21-25, kita melihat Penyelamat yang menanggung penderitaan secara diam meskipun Dia tidak melakukan apa-apa yang harus ditimpa penderitaan itu. Yesus tidak mengelakkan penderitaan atau mencari kambing hitam; Dia datang ke dunia kita dan menanggung penderitaan kita sebagai penderitaan-Nya.
Yesus adalah dengan-kekuatan. Kemudian, sebelum Dia balik kepada Bapa, Dia menjanjikan bahawa Roh Kudus —"Penghibur"—bukan sahaja menyertai kita, malah diam dalam kita! Sudah tentu ia sesuatu yang berbaloi untuk dikejar.
Maka, janganlah mengejar versi keselesaan duniawi—menonton lewah siri Netflix dengan kawan setia kita (aiskrim) Ben & Jerry. Sebaliknya, marilah mengejar keselesaan daripada Roh Kudus, menyedari bahawa ia tidak memaksudkan kehidupan yang bebas daripada penderitaan tetapi keselesaan di tengah-tengah penderitaan.
Doa: Allah, saya tidak suka akan ketidakselesaan, tetapi saya mengasihi-Mu. Ubahlah pemahaman saya akan keselesaan-Mu, dan bantulah saya untuk betul-betul mengalaminya. Roh Kudus, tunjukkan kepada saya bagaimana "dengan-kekuatan" Engkau menyertai saya dan diam dalam saya. Yesus, terima kasih kerana menanggung rasa malu saya pada salib. Amin.
Perihal Pelan
Kita semua mengejar sesuatu. Biasanya sesuatu yang tidak dapat dicapai—pekerjaan yang lebih baik, rumah yang lebih selesa, keluarga yang sempurna, penerimaan orang lain. Walau bagaimanapun, tidakkah ini memenatkan? Adakah terdapat cara yang lebih baik? Ketahui dalam Pelan Alkitab Life.Church yang baru ini, bersama-sama siri khutbah Pastor Craig Groeschel, Chasing Carrots.
More