Pengurusan Masa yang KudusSampel
Mengasihi Allah dengan Masa Anda
Allah ialah bapa yang baik dan Dia memberikan kita garis panduan yang jelas dalam Alkitab. Namun, Dia tidak mahu memberikan kita buku panduan kehidupan sahaja, menghukum kita jika kita membuat kesilapan, kemudian berjumpa dengan kita di syurga. Allah ingin sangat menyertai setiap langkah kita. Oleh itu, salah satu penggunaan masa kita yang tertinggi ialah mengasihi Allah.
Seperti yang dinyatakan dalam Matius 22:37-38 (BM): “Yesus menjawab, ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting!'”
Apakah sebenarnya rupa mengasihi Allah dengan masa kita? Terdapat banyak cara. Berikut ialah beberapa cara yang utama: Penyembahan, Firman, dan Doa.
Apabila kita meluangkan masa untuk menyembah sama ada secara berkumpulan, seperti di gereja, ataupun secara bersendirian, seperti mendengar lagu pujian semasa berjalan dalam hutan, kita mengingatkan diri tentang siapa Allah itu dan siapa kita ini berhubung dengan Dia. Kita mengingati kuasa-Nya yang hebat dan kebaikan-Nya dan diingatkan tentang betapa besarnya kasih Dia terhadap kita. Pemupukan rasa hormat dan kasih memberkati hati kita dan hati Allah.
Seperti yang dinyatakan dalam Mazmur 27:4 (BM): “Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN; hanya satu sahaja yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.”
Kita juga boleh menunjukkan kasih kita terhadap Allah dengan menghabiskan masa dengan Firman-Nya. Apabila kita membaca Alkitab, kita memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang siapa Allah itu dan apa yang Dia mahu daripada kita. Memanglah penting untuk menyedari apa yang Allah mahu daripada kita kerana sebahagian daripada cara kita menunjukkan kasih kita terhadap-Nya dengan masa kita ialah melalui mentaati Dia.
Seperti yang dinyatakan dalam 1 Yohanes 5:2-3 (BM): “Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita.”
Cara ketiga kita boleh mengasihi Allah melalui masa kita ialah menghabiskan masa untuk berdoa. Berdoa ialah kegiatan kegemaran saya, jadi, saya berdoa dalam pelbagai cara. Contohnya, pada waktu pagi, saya mencatatkan fikiran saya, menyenaraikan pemikiran saya, hal yang membimbangkan saya, dan langkah seterusnya yang ingin dibincangkan dengan Allah. Saya juga mempunyai senarai doa harian bagi orang yang ingin didoakan. Akhirnya, saya bercakap dengan Allah tentang segala sesuatu sepanjang hari, daripada bagaimana saya harus mendekati situasi yang sukar di tempat kerja kepada memuji-Nya kerana sesuatu yang berjalan dengan lancar.
Apabila kita mengasihi Allah dengan masa kita, kita mengalami balasan kasih-Nya yang amat sangat.
Perihal Pelan
Pengurusan masa tradisional boleh menimbulkan tekanan apabila matlamatnya ialah "mengawal" hidup dengan kekuatan diri dan disiplin diri. Walau bagaimanapun, Alkitab memberitahu kita bahawa kita menerima kedamaian dan rehat apabila kita mempercayai Allah dengan masa kita. Dalam pelan 6 hari ini, anda akan belajar bagaimana pendekatan pengurusan masa yang berpusatkan Allah membawa kepada penerimaan semua kebaikan yang telah disediakan oleh-Nya bagi anda, termasuk sukacita dan kedamaian-Nya.
More