Matlamat HubunganSampel

Relationship Goals

HARI 4 DARIPADA 7

Menghumbankan Iblis Keluar

Daripada Cindy, berkahwin dengan Chris selama lebih 26 daripada tahun

Biarlah saya memulakan dengan ini: Pasangan anda bukanlah musuh anda. Petrus menggambarkan musuh sebenar anda sebagai Iblis, yang merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa. 

Walau bagaimanapun, yang hairannya memang mudah untuk bersikap mempertahankan diri atau bertindak dengan marah apabila orang yang paling dikasihi tidak bersetuju dengan kita, bukan? Banyak sekali isu yang boleh menyusahkan diri. Kita boleh menghadapi konflik dalam perbualan tentang wang, pekerjaan, atau keutamaan. Kita naik berang. Sedar-sedar kita sudah mempercayai bahawa orang yang paling dikasihi itu ialah musuh kita. 

Semasa Chris dan saya masih muda, itulah set minda kami apabila kami bertengkar. Wah, kami banyak bertengkar. Kami terlalu asyik dengan keinginan sendiri sehinggakan kami lupa akan kenyataan bahawa kami seharusnya menentang musuh kami yang sama, bukan menentang satu sama lain.   

Di manakah wujudnya pembahagian tetap dalam hubungan anda? Pembahagian itu sebenarnya satu sifat musuh rohani kita. Ini tidak bermakna setiap kali anda bertengkar dengan pasangan anda, anda mengalami serangan rohani daripada Iblis. Namun, musuh itu memang suka anda melihat pasangan anda sebagai musuh anda. Janganlah terpedaya.

Cara terbaik untuk menghumbankan iblis keluar daripada hubungan anda adalah menempatkan Yesus di tengah-tengah hubungan, bersama-sama. Berikut adalah tiga idea untuk bergerak dalam hala tuju itu.

Idea 1: Berdoa bersama-sama. 

Setiap hari. Bukan sahaja untuk satu sama lain malah bersama satu sama lain. Ya betul. Luangkan masa, berpegang tangan jika anda mahu, dan berdoa sebagai pasangan.

Idea 2: Melabur dalam satu sama lain. 

Jika anda sudah berkahwin sekian lama, anda sedar memanglah mudah untuk lupa akan hal ini dengan berlalunya tahun demi tahun. Walau bagaimanapun, kita perlu melabur dalam pasangan kita pada tahun ke-25 sebanyak mana yang dilaburkan pada tahun pertama berpacaran kita. Apakah yang dia lihat sebagai pelaburan? Laksanakanlah itu. Tetapkan peringatan dalam telefon anda atau tuliskan nota kecil yang jelas kelihatan. Apa jua yang anda perlu lakukan untuk menunjukkan kepadanya bahawa anda melihatnya dan menghargainya—laksanakanlah itu. 

Idea 3: Berkumpul

Perkara yang membezakan pasangan yang sihat adalah keinginan mereka akan kesatuan. Perkahwinan terdiri daripada dua orang yang Allah panggil satu. Jadi, kita harus bertindak sedemikian. Ada kalanya, kita terlalu tertumpu pada keperluan diri sehinggakan kita lupa akan pasangan kita. Saya dan Chris cuba memulakan setiap hari dengan mengatakan, “Saya memilih kita.”

Akhirnya, walau apa pun yang dilemparkan oleh musuh itu kepada anda, dia melibatkan diri dalam perjuangan yang sia-sia. Kristus telah mengalahkan iblis sekali dan untuk selama-lamanya, dan asalkan anda dan pasangan anda terus berusaha ke arah membina hubungan yang kuat dan berpusatkan Kristus, iblis tidak akan berjaya mencapai matlamatnya. Maka, berdoalah bersama-sama, melabur dalam satu sama lain, dan berkumpul, menyedari bahawa masa depan anda terjamin.

Pertimbangkan: Dalam lingkungan yang manakah anda saling bertentangan dan bukannya berjalan di sisi satu sama lain? Apakah perbezaan yang akan diperhatikan jika anda melakukan ini dengan cara yang berbeza? 

Hari 3Hari 5

Perihal Pelan

Relationship Goals

Hubungan sempurna yang anda kagumi, tidaklah begitu menarik jika diperhatikan gambar demi gambar. Betul? Jadi, bentuk matlamat hubungan yang manakah yang betul-betul berhasil? Pelan Alkitab Life.Church ini, yang ditulis oleh mereka yang telah lama berkahwin, yang masih bujang, dan yang baru berkahwin, akan menunjukkan bentuk kasih yang boleh diberikan oleh Allah bagi semua hubungan kita.

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Life.Church kerana membekalkan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.life.church/