Segalanya Tenang: Menerima Rehat Yesus Pada Hari Natal Ini Sampel
Hari Ketiga: Menyatakan Kekurangan Anda:
"Terima kasih, tetapi saya dapat melakukannya."
Pernahkah anda menolak bantuan, meskipun anda betul-betul memerlukannya?
Ada kalanya memang sukar untuk mengakui bahawa kita tidak dapat melakukan segala sesuatu sendiri. Semasa semua persediaan hari Natal kita, ia kadang-kadang menyebabkan keletihan dan menjadikan kita perengus. Namun, sifat mampu diri yang sama ini boleh membahayakan kehidupan rohani kita.
Kebenarannya adalah kita memerlukan Yesus. Walau bagaimanapun, kita kerap menjalankan kehidupan seolah-olah kita mampu mengendalikannya. Sesudah kita mengambil masa untuk merenungkan keindahan Tuhan—kekudusan-Nya, kasih-Nya dan kebaikan-Nya, korban penebusan-Nya—barulah kita akan menyedari betapa terdesaknya kita memerlukan-Nya. Kita mudah dikecam apabila kita mengakui keperluan kita, tetapi Yesus berjanji bahawa orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, orang yang rendah hati, dan orang yang haus akan kebenaran, akan menikmati Pemerintahan Allah.
Ternyata menyatakan kekurangan kita adalah satu-satunya cara untuk menerima kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah melalui Kristus Yesus.
Pemazmur memanggil umat Tuhan untuk bersujud dan menyembah Dia; berlutut di hadapan pencipta kita. Perkataan Ibrani untuk menyembah bermaksud meniarapkan diri atau tunduk. Dari segi fizikal, ini bermaksud melutut mengakui ketuanan Yesus; dari segi rohani, ia bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Dia.
Penjajaran semula perspektif dan keutamaan ini hanyalah mungkin apabila kita meluangkan masa terlebih dahulu untuk mengakui kebesaran Tuhan; penyembahan menggerakkan kita ke pandangan Tuhan yang betul, yang menggerakkan kita untuk mengakui dosa dan bertaubat.
Yesus menggambarkan hujah yang sama ini semasa Dia menggelar diri-Nya sebagai pokok anggur, dan murid-murid-Nya sebagai carang-carang. "Tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa," kata-Nya kepada mereka. "Jika kamu tetap bersatu dengan Aku...kamu akan berbuah lebat." Dengan tidak disangka-sangka, Yesus tidak memanggil kita untuk berusaha lebih keras untuk menjadi lebih berbuah; sebaliknya, Dia memanggil kita untuk tetap bersatu dengan-Nya, untuk berharap kepada-Nya. Mereka yang tetap berhubungan dengan-Nya akan berbuah lebat, kerana Roh-Nya adalah Dia yang menghasilkan buah.
Benarkan keperluan anda akan Yesus untuk membawakan rehat dan ketenangan pada hari Natal ini. Tekanan telah dialihkan. Anda tidak perlu melakukan segala sesuatu sendiri. Sebenarnya, anda hanya perlu berehat.
Soalan Renungan: Bagaimanakah gambaran Yesus sebagai pokok anggur mempengaruhi anda? Apakah gelaran Yesus yang lain, yang membuat anda menyedari keperluan anda akan-Nya? Apakah satu cara di mana anda boleh menyatakan kekurangan anda dan berehat dalam-Nya pada hari ini?
Perihal Pelan
Ini adalah musim untuk bergirang, tetapi juga amat sibuk. Luangkanlah masa untuk berehat dan untuk penyembahan yang akan memelihara anda sepanjang kerja yang menggembirakan pada musim ini. Berdasarkan buku Unwrapping the Names of Jesus: An Advent Devotional, pelan renungan 5 hari ini akan memimpin anda untuk menerima rehat Yesus pada hari Natal ini dengan mengambil masa untuk mengingati kebaikan-Nya, menyatakan kekurangan anda, mencari ketenangan-Nya, dan mempercayai kesetiaan-Nya.
More