Anda Belum Siap LagiSampel

You're Not Finished Yet

HARI 2 DARIPADA 5

Anda Telah Dicipta untuk Mara

Jata Australia menggambarkan imej yang amat berwawasan, yang berharga kepada saya memandangkan saya dilahirkan dan dibesarkan di Australia dan kerana ia memberikan maklumat yang banyak kepada saya secara peribadi. Terdapat dua haiwan yang memegang perisai—kanggaru merah dan emu. Dua haiwan ini bukan sahaja dipilih kerana kedua-duanya ialah binatang asli Australia malah kedua-duanya telah dicipta untuk mara.

Emu merupakan burung besar yang tidak dapat terbang, lebih kecil daripada saudaranya burung unta, yang terkenal kerana kelajuannya, meliputi jarak sembilan kaki dengan satu langkah ketika berlari cepat. Emu merupakan satu-satunya burung dengan otot betis—seperti manusia. Walau bagaimanapun, emu tidak dapat berjalan ke belakang. Emu hanya dapat berjalan ke depan.

Kanggaru merah—seperti semua kanggaru—bergerak dengan melompat, dan gerakan ini digelar 'saltation' dalam Bahasa Inggeris, yang secara harfiahnya bermaksud "meloncat." Kanggaru menolak dengan kedua-dua kakinya yang besar secara serentak dan menggunakan ekor untuk mengekalkan keseimbangan badan. Gabungan kaki berotot yang besar dan ekor menolong kanggaru bergerak ke depan dengan berkesan. Namun, kanggaru hanya dapat bergerak ke depan—tidak berundur.

Semasa berfikir tentang dua haiwan tersebut, dan kenyataan bahawa kedua-duanya ialah ciptaan Allah yang tidak dapat berundur, saya tidak dapat menahan diri daripada berfikir tentang manusia—kita telah dicipta menurut gambar Allah, satu lagi kekaguman terhadap ciptaan yang direka bentuk untuk bergerak dalam cara yang sama.

Saya faham bahawa kita harus menilai sejenak dari masa ke masa dan mengingati masa lalu supaya kita dapat mara, dan ada kalanya kehidupan memegunkan kita dan kita rasa seolah-olah kita telah bergerak ke belakang, tetapi Allah setia mengangkat kita serta menggerakkan kita ke depan. Kita semua sedang berjalan walau di mana pun kita berada. Pada sesetengah musim, kita mara dengan cepat, dan pada musim yang lain kita bergerak dengan lebih perlahan, tetapi secara keseluruhan, kita meneruskan perjalanan kita. Walaupun kita berhenti dan memandang masa lalu, kita tidak terperangkap dalam masa lalu, bukan? Berapa kerap kita membenarkan musim kehampaan, luka, penolakan, sakit hati, atau ketakutan menghalang kita daripada bergerak ke depan? Hari ini ialah hari yang baik untuk memegang tangan Yesus dan, seperti emu dan kanggaru merah, mengorak langkah seterusnya.

Marilah kita mengambil nasihat Paulus kepada orang Filipi, melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Kita tidak dapat mengubah masa lalu. Sedikit pun tidak. Walau bagaimanapun, kita boleh mempengaruhi masa depan kita. Kita boleh bertahan dengan beriman, berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang dirancang oleh Allah untuk kita. Kita boleh terus bergerak dalam satu-satunya arah yang ditetapkan dalam penciptaan kita.

Emu. Kanggaru merah. Dan anda. Semuanya dicipta untuk bergerak ke depan. Tidak ke belakang. Marilah kita menjadi siapa yang Allah cipta kita untuk jadi supaya kita boleh melakukan segala sesuatu yang Dia panggil kita untuk lakukan!

Doa

Bapa di syurga, terima kasih kerana Engkau memberikan kami contoh dalam alam semula jadi. Engkau memberikan kami wawasan. Tolonglah kami untuk bergerak mengikut cara Engkau telah mencipta kami untuk bergerak—ke depan, dan tidak ke belakang. Dalam nama Yesus, amin.

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

You're Not Finished Yet

Adakah anda memiliki apa yang diperlukan untuk meneruskan sehingga tamat? Berjalan menurut tujuan anda untuk perjalanan yang jauh? Semangat dan ketabahan kita sering goyah di tengah-tengah sebarang usaha—kerjaya, hubungan, pelayanan, kesihatan—kerana waktu pertengahan itulah yang kerap kucar-kacir dan susah. Dalam pelan 5 hari ini, Christine Caine mengingatkan kita bahawa kita boleh meneruskan sehingga tamat - bukan kerana kita memiliki kekuatan tetapi kerana Allah memiliki kekuatan.

More

Kami berterima kasih kepada Christine Caine - A21, Propel, CCM kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.christinecaine.com