Bagaimana (Tidak) Menyelamatkan Dunia: Kebenaran Tentang Mendedahkan Kasih Allah kepada Orang di Sisi AndaSampel
Bagaimana (Tidak) Menyelamatkan Dunia: Bergantung pada Kuasa Sendiri
Ibu bapa saya mengasaskan perkhidmatan bantuan kepada golongan yang hidup secara gelandangan di daerah Tenderloin, San Francisco, jadi sebahagian besar daripada zaman kanak-kanak saya dihabiskan di taman awam yang terbiar dengan kebaktian dan kajian Alkitab yang dijalankan oleh keluarga saya, mengedarkan makanan dan pakaian, bermain catur, dan menyaksikan permainan bola keranjang. Saya berumur sembilan tahun semasa saya menyaksikan pembunuhan pertama saya. Dua kumpulan yang bermusuhan berlawan dengan pisau. Kemudian, mereka bersurai dan seorang lelaki jatuh ke konkrit yang retak dengan sebilah pisau tercacak di dadanya.
Memandang kasut saya yang haus, berdiri di taman yang amat saya gemari itu, saya rasa loya. Saya sedar saya telah menyaksikan sesuatu yang tidak harus disaksikan. Saya merasakan perasaan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. Rasa bersalah. Saya rasa seolah-olahnya saya harus menyelamatkan seseorang tetapi tidak berbuat demikian. Benih rasa bersalah telah ditanam dalam hati saya. Benih ini mula bercambah seperti rumput-rampai. Saya mendaftarkan diri untuk sebanyak program bantuan komuniti yang mungkin, tetapi keperluan kawasan kejiranan saya kelihatan tidak pernah berkurang. Saya cuba melakukan lebih banyak lagi, menyelamatkan lebih banyak orang lagi, dan melakukannya dengan lebih berkesan, sebaliknya, hasil yang mengecewakan itu membuat saya rasa tidak yakin dan marah.
Walau bagaimana atau di mana pun kita membesar, banyak antara kita tahu rasa dikuasai dan tawar hati kerana keperluan yang tidak dapat diatasi di sekeliling kita. Kita sedar sangat bahawa orang yang dikasihi rasa tersinggung. Kita takut mahu menerima bahawa dunia kita amat memerlukan keselamatan. Kita ingin menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya. Saya ingin memberitahu anda satu kebenaran yang membebaskan: Yesus ialah Penyelamat. Yesus berkuasa menyelamat, dan kita tidak berkuasa berbuat demikian.
Saya tahu rasanya mempercayai bohong bahawa sebagai pengikut Yesus, memanglah kewajipan saya untuk menyelamatkan orang di sekeliling saya. Kebenaran bukanlah tugas kita untuk menyelamat memang membebaskan. Yesus ialah Penyelamat dunia. Keselamatan tugas-Nya. Kita tidak dicipta untuk bergantung pada kuasa sendiri dan memikul beban keselamatan setiap orang di bahu kita. Kita memerlukan seseorang yang lebih berkuasa daripada kita.
Walau bagaimanapun, Yesus tidak datang untuk menyelamat secara paksa. Penyelamat rela melepaskan segala-galanya, lalu "menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia," untuk melayani manusia lain (Filipi 2:7 BM). Dia datang untuk menyertai, mengasihi, dan melayani orang yang berdosa. Dalam pencarian kita untuk menjadi seperti Penyelamat, seperti Kristus, dan hidup seperti Kristus, kehambaan ialah contoh yang diberikan kepada kita. Panggilan untuk menjadi seperti Yesus bukanlah panggilan untuk menyelamat. Ini merupakan panggilan untuk melayan. Rasa bersalah kerana kegagalan menjadi Allah sudah hilang.
Yesus sahajalah yang menyelamat dan kita merupakan pencerita-Nya. Anda bebas berkongsi berita yang menakjubkan tentang apa yang telah dilakukan oleh Yesus dalam hidup anda tanpa tekanan tentang hasilnya. Jadi, kongsilah cerita anda walaupun tidak sempurna, layani orang lain yang tidak menunjukkan kesyukuran, dan berkongsi Yesus dengan orang yang mungkin tidak akan menerima-Nya.
Respons
Apakah bahayanya jika kita bergantung pada kuasa sendiri bukannya kuasa Allah?
Bagaimanakah kebenaran bahawa Yesus ialah orang yang menyelamat dan kita ialah pencerita-Nya membebaskan anda untuk berkongsi Yesus dengan orang lain?
Bagaimanakah anda mengikuti contoh kehambaan Yesus dan berkongsi kasih-Nya secara bebas dengan orang yang terdekat dengan anda hari ini?
Perihal Pelan
Adakah anda berjuang demi orang yang dikasihi dan menunjukkan kepada orang lain betapa berharganya mereka itu kepada Allah? Dalam pelan bacaan 5 hari berdasarkan buku Hosanna Wong, How (Not) to Save the World ini, ketahui bohong yang menghalang anda daripada mengasihi orang lain sebagaimana yang dipanggil oleh Allah. Luangkan masa untuk menerokai jemputan Yesus untuk mengenali Dia dan berkongsi Dia dengan orang lain melalui pengalaman tersendiri anda.
More