Kedamaian yang HilangSampel
Kedamaian untuk Masa Depan
Kita kerap berasa kurang tenang apabila kita tidak mengetahui semua bahagian dalam rancangan hidup kita. Apabila kita tidak mengetahui bagaimana situasi itu akan berubah, atau apabila kita rasa kita tidak dapat mengawal hasilnya, kita risau. Namun, kita boleh menemui kedamaian dalam perspektif yang baru.
Kita mungkin tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan secara peribadi, tetapi kita tahu bagaimana masa depan bersama akan berakhir—dengan kepulangan Yesus untuk membetulkan segala sesuatu. Berikut ialah bayangan sekilas daripada Wahyu 21:
"Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.” Kemudian Dia yang duduk di atas takhta itu berkata, “Sekarang Aku menjadikan semuanya baru!” … Wahyu 21:4-5 BM
Pengetahuan itu boleh melindungi hati kita dengan kedamaian kerana walau apa pun dugaan yang melanda kita, kita sedar bahawa pada akhirnya Allah akan menang.
Yesus mengingatkan kita tentang ini dalam Yohanes 14 semasa Dia memberitahu murid-murid-Nya bahawa mereka tidak perlu bimbang tentang tempat yang akan dituju-Nya kerana Dia menyediakan tempat untuk mereka di rumah Bapa-Nya. Jadi, kita boleh berasa tenang sekarang ini kerana tempat masa depan kita.
Sekarang ini, itu tidak bermaksud kita boleh berharap akan keabadian secara pasif dan tidak melakukan apa-apa di dunia ini. Sebaliknya, kita memiliki kedamaian yang mendorong kita untuk bertindak—untuk membawa Kerajaan Allah ke dunia ini dengan menjadi pendamai, berkongsi iman kita, mengasihi orang lain, melayani satu sama lain, dan menggunakan kurnia kita untuk kemuliaan-Nya. Apabila kita berbuat demikian, kita membawa kedamaian Allah—kesempurnaan—kepada dunia yang rosak ini.
Lihatlah doa mencabar yang ditemui daripada Paulus tentang cara ia menantikan kedatangan semula Yesus:
Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 1 Tesalonika 5:23 BM
Semasa anda berfikir tentang cara untuk menemui kedamaian yang hilang dalam hidup anda, ingatlah bahawa kedamaian sebenar datang daripada Allah sahaja. Dialah satu-satunya yang boleh mengambil keremukan kita dan menghasilkan sesuatu yang baru. Walau bagaimanapun, semasa anda mencari Dia, fikirlah bagaimana anda boleh berkongsi kedamaian-Nya dengan orang di sekeliling anda.
Kedamaian tidak boleh dicuri daripada kita. Kedamaian ialah Seseorang. Nama-Nya ialah Yesus. Semasa kita meraikan kelahiran-Nya pada hari Krismas, kita diingatkan bahawa kita menantikan kepulangan-Nya. Namun, kita menunggu dengan tujuan, dan kita menunggu dengan kedamaian, mengetahui bahawa Allah kita setia. Dia baik. Dialah kedamaian jiwa kita dan dunia kita yang hilang, yang diperlukan untuk menjadi sempurna.
Doa: Allah, terima kasih kerana Engkau mengutus Yesus sebagai kedamaian kami. Penuhi saya dengan sukacita dan kedamaian-Mu semasa saya mempercayai-Mu, dan jadikan saya lebih menyerupai-Mu semasa saya menantikan kepulangan-Mu. Hari ini, saya menyerahkan semua kebimbangan saya kepada-Mu, mengetahui bahawa Engkau mengambil berat tentang semuanya, dan Engkau sahajalah yang boleh memikul semuanya. Pimpinlah saya untuk menjadi seorang pendamai, dan tunjukkan saya bagaimana untuk membawa Kerajaan-Mu ke dunia ini. Dalam nama Yesus, amin.
Perihal Pelan
Apakah mungkin untuk mengalami kedamaian semasa kehidupan itu menyakitkan? Jawapan ringkas: ya, tetapi bukan melalui kuasa diri sendiri. Pada tahun yang meninggalkan kita kewalahan, banyak antara kita berasa bingung. Dalam Pelan Alkitab 7 hari ini, berserta dengan siri mesej Pastor Craig Groeschel, kita akan membongkar cara menemui Kedamaian yang Hilang, yang sangat didahagai oleh kita.
More