Bagaimana Bersyukur Kerana Hidup AndaSampel
Hubungan
Berhubungan dengan orang lain ialah denyutan jantung hidup kita. Kita jarang tidak berinteraksi dengan orang lain sepanjang hari dalam pelbagai peranan kita. Kita ialah anak perempuan, anak lelaki, ibu, bapa, adik-beradik, sahabat, dan banyak lagi. Ketika kita memikirkan peranan kita yang berbeza, marilah kita fikir tentang tahap kesyukuran kita. Adakah kita bersyukur kerana orang yang Allah tempatkan dalam hidup kita? Adakah kita menunjukkan kesyukuran kita kepada (dan kerana) mereka?
Mungkin perkahwinan anda mengalami keretakan. Mungkin timbul ketegangan dengan seorang sahabat lama. Atau mungkin, anda berasa terlalu tertekan dengan anak anda. Sama ada wujudnya ketegangan atau tidak, kita mempunyai arahan yang jelas daripada Roma 12 tentang cara melayani orang lain: saling mengasihi, saling menghormati, saling membantu, dan hidup dengan rukun, sekadar menyebutkan beberapa sahaja. Sementara kita belajar cara bersyukur kerana orang dalam hidup kita, yang berikut merupakan beberapa petua tambahan untuk membantu kita:
- Gantikan rungutan dengan pujian. Mencabar, bukan? Kebanyakan daripada kita cenderung melihat perkara yang mengecewakan kita berbanding dengan perkara yang memberkati kita. Marilah kita memilih untuk melihat perkara yang baik!
- Layani seseorang. Terdapat seseorang dalam hidup anda yang memikul beban yang lebih berat daripada beban anda. Tunjukkan kesyukuran anda dengan melakukan sesuatu yang akan meringankan beban mereka.
- Tuliskan. Tuliskan sesuatu yang anda syukuri tentang orang dalam hidup anda. Tuliskannya di atas kertas dan meletakkannya di tempat yang mereka dapat lihat, atau sediakan senarai dan berikan kepada mereka apabila anda mencapai 50 atau 100 perkara. Bayangkan riak wajah mereka!
- Ucapkan "terima kasih." Apabila kita dapat melihat anugerah dan berkat dalam hidup kita, kita akan melihat lebih banyak perkara lagi yang harus disyukuri. Oleh itu, ucapkan terima kasih setiap hari kepada pasangan anda, anak anda, sahabat terdekat anda, atau orang lain untuk satu perkara.
Dikatakan kita menyerupai orang yang menghabiskan masa bersama dengan kita. Orang yang kita benarkan dalam lingkungan peribadi kita mempengaruhi tahap kesyukuran kita. Berhati-hati dengan orang yang anda habiskan masa bersama-sama. Salah satu daripada perkara yang lebih mencabar dalam hubungan kita ialah kita mungkin sanggup berubah, tetapi orang lain mungkin tidak. Ada kalanya ini bermaksud penyesuaian perhubungan adalah perlu.
Walau siapa pun yang ada dalam hidup kita, kita tidak boleh mengabaikan peranan kita dalam mengembangkan kesyukuran kita. Seperti yang dikatakan dalam Galatia 6:9 BM, “Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya.” Apabila kita menyatakan kesyukuran kita kerana—dan kepada—orang dalam hidup kita, kita akan terharu dengan cara perbuatan itu mengubah kita, dan dalam proses itu, kita akan melihat kesannya terhadap mereka.
Perihal Pelan
Sepanjang Alkitab, kita diminta untuk "bersyukur" dan "mengucap syukur." Mengapa? Kerana kita mempunyai banyak hal untuk disyukuri! Kita tidak berasa bersyukur secara kebetulan, tetapi dengan tabiat bersyukur yang disengajakan, kita akan menjadi versi diri kita yang lebih baik sementara kita mengikut Yesus.
More