Mengenali hati TuhanSampel
Kasih Tuhan Untuk Semua Orang
Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Yohanes 3:16 BM
Ayat di atas merupakan intipati Injil. Secara ringkas, Injil bermaksud berita baik, dan injil ialah rancangan Tuhan untuk menyelamatkan kita—manusia yang berdosa—daripada terpisah selama-lamanya daripada-Nya. Sebelum kita dapat benar-benar menghargai Berita Baik ini, kita perlu tahu mengapa kita memerlukannya.
Tuhan adalah sempurna. Dia tidak membiarkan dosa atau ketidaksempurnaan. Memandangkan kita ialah manusia yang berdosa dan tidak sempurna, Dia tidak dapat menjalin hubungan dengan kita. Daripada mengharapkan kita menjadi sempurna supaya kita dapat mengenali-Nya, Dia mengutus Yesus ke bumi untuk berdamai dengan kita kerana Dia tahu kita tidak boleh melakukannya sendiri. Itulah sebabnya injil disebut Berita Baik! Yang berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu diingati tentang injil Yesus Kristus:
Tuhan Mengasihi Semua Orang
Perhatikan bahawa Yohanes 3:16 tidak mengatakan bahawa Tuhan mengasihi sesetengah orang di dunia ini. Ayat ini mengatakan Dia mengasihi orang di dunia dan itu bermakna penduduknya. Hati Tuhan adalah untuk semua orang. Injil itu untuk semua orang.
Tuhan Mahu Semua Orang
2 Petrus 3:9 BM mengatakan, “Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.” Kita mungkin berfikir bahawa Tuhan lengah tetapi Dia sentiasa tepat pada waktunya. Dia amat mengasihi kita sehinggakan Dia tidak mahu sesiapa pun mati tanpa-Nya.
Tuhan Mengutus Semua Orang
Perkara terakhir yang Yesus katakan kepada pengikut-Nya sebelum Dia meninggalkan bumi ini untuk pergi ke syurga ialah pergi dan menjadikan semua bangsa murid-Nya. Kita tidak perlu pergi ke negara lain, tetapi kita dipanggil untuk taat di mana jua kita berada dengan kebenaran yang kita ketahui.
Jika Yesus ialah Juruselamat kita, maka marilah kita hidup dengan Dia sebagai Tuhan kita. Jika Dia ialah Juruselamat kita, itu bermakna Dia telah menyelamatkan kita. Jika Dia ialah Tuhan kita, itu bermakna Dia memimpin kita. Oleh itu, semasa kita menjalani setiap hari, marilah kita memuji Tuhan kerana siapa Dia itu dan berdoa agar kita menjadi tangan dan kaki-Nya di dunia ini. Marilah kita menyembah-Nya kerana kerja ajaib-Nya dan memohon kepada-Nya untuk memberikan kita mata untuk melihat betapa Dia mengasihi semua orang tanpa mengira status, tindakan, atau sistem kepercayaan mereka.
Terdapat dunia yang sesat dan sedang nazak yang memerlukan harapan yang telah diberikan kepada kita. Mereka memerlukan sukacita yang kita miliki dalam hati kita sebagai anak-anak Tuhan. Kita mempunyai jawapan bagi kesakitan dan kesedihan yang dialami oleh orang lain. Sekaranglah masa untuk memuji dan mengkhabarkan berita baik.
Itulah sebabnya kita ada di sini.
Perihal Pelan
Kita mudah mempercayai perkara yang tidak benar tentang Tuhan. Kadang-kadang, kita melihat perkara di media sosial atau berita yang membuat kita mempersoalkan-Nya. Jadi, apakah yang benar tentang Tuhan? Adakah Dia tahu apa yang Dia lakukan? Adakah Dia benar-benar penyayang dan baik hati, walaupun ketika keadaan kelihatannya tidak berjalan lancar? Dalam Pelan Alkitab 4 hari ini, marilah kita belajar bagaimana kita boleh mengenali hati Tuhan bersama-sama.
More