Mengenali hati TuhanSampel
Tuhan Suka Mengampuni
Kamus Webster mendefinisikan perkataan rahmat sebagai bantuan ilahi yang tidak patut diberikan kepada manusia untuk pemulihan atau penyucian mereka. Frasa tidak patut diberikan (unmerited) merupakan kunci, kerana membawa maksud tidak patut (undeserved). Jadi, dalam iman Kristian, kita mengatakan rahmat ialah sesuatu yang diberikan kepada kita, sesuatu yang kita tidak patut diberi. Salah satu perkara yang paling menakjubkan yang kita terima melalui rahmat Tuhan ialah pengampunan-Nya.
Lukas 15 menceritakan perumpamaan tentang seorang anak lelaki yang tidak tahu berterima kasih yang menuntut bahagian hartanya daripada bapanya. Bapa itu memenuhi permintaan itu, dan dalam masa yang singkat anak lelaki itu pun pergi dengan semua yang diterimanya. Hidup dengan boros dan tidak berhemah, dia telah membazirkan semuanya dan akhirnya memutuskan untuk pulang ke rumah. Yang mengejutkannya, bapanya menunggunya, berlari ke arahnya, dan menyambutnya dengan kasih penuh rahmat yang tidak dijangka. Kita suka cerita ini kerana cerita ini mengisahkan cinta terhadap orang yang tidak patut dikasihi. Begitulah perasaan Tuhan terhadap kita.
Walau bagaimanapun, kita juga merasakan ketidakselesaan apabila kepulangan anak ini disambut dengan perayaan. Tiada komen “dah saya katakan” atau khutbah tentang apa yang akan dilakukan oleh bapa itu jika perkara ini berlaku lagi. Hanya terdapat kasih yang luar biasa, rahmat yang menakjubkan, dan pengampunan yang kelimpahan terhadap anak yang sangat tidak patut diampunkan itu. Indah tetapi membuat kita tidak selesa, bukan?
Demikianlah pengampunan Tuhan berfungsi dalam ekonomi Kerajaan Syurga. Tuhan mengampuni kita dengan rela kerana tindakan tidak mementingkan diri Yesus yang sempurna di salib. Kita menerima pengampunan kerana Dia memberi. Perbuatan baik kita tidak memberikan kita apa-apa; perbuatan sempurna Yesus memberi.
Kita inginkan pengampunan tetapi sejujurnya tidak tahu bagaimana untuk menerimanya. Kita tahu pengampunan ialah suatu hadiah tetapi kita ingin melakukan sesuatu untuk memperoleh sebahagiannya. Kerana menerima hadiah yang bukan sahaja tidak diperoleh atas usaha diri malah tidak mungkin dibalas adalah lebih daripada apa yang dapat difahami oleh minda kita yang terhad. Syukurlah, pengampunan Tuhan adalah untuk semua orang yang berseru kepada-Nya. Semua orang.
Disebabkan Tuhan ialah Tuhan yang mengampuni, maka adalah masuk akal bagi kita untuk menjadi saluran pengampunan yang sama terhadap orang lain. Namun, mengampuni orang lain akan mengorbankan sesuatu. Pengampunan adalah susah. Pengampunan memerlukan usaha. Pengampunan bertentangan dengan keinginan kita. Sifat berdosa kita mahu membalas dendam. Bukan itu sahaja, kita berfikir ada sejenis “sistem dosa” yang menilai dan mengkategorikan dosa. Semua dosa adalah buruk. Tetapi, tidak semua akibat dosa adalah sama. Walau betapa besarnya akibat itu, Tuhan membenci semua dosa.
Walau bagaimanapun, pujilah Tuhan, Dia tidak membenci kita! Dia menunggu kita, memandang jauh ke hadapan untuk kita pulang ke rumah. Dia bersedia untuk berlari ke arah kita dan menyambut kita dengan rahmat, penerimaan, dan pengampunan-Nya.
Perihal Pelan
Kita mudah mempercayai perkara yang tidak benar tentang Tuhan. Kadang-kadang, kita melihat perkara di media sosial atau berita yang membuat kita mempersoalkan-Nya. Jadi, apakah yang benar tentang Tuhan? Adakah Dia tahu apa yang Dia lakukan? Adakah Dia benar-benar penyayang dan baik hati, walaupun ketika keadaan kelihatannya tidak berjalan lancar? Dalam Pelan Alkitab 4 hari ini, marilah kita belajar bagaimana kita boleh mengenali hati Tuhan bersama-sama.
More