KehilanganSampel
FOKUS KE LUAR
Rasul Paulus amat biasa dengan kehilangan, kesakitan dan penderitaan. Sejak bertemu dengan Yesus sehingga kematiannya, hidupnya adalah amat mencabar. Namun, ketika anda membaca tulisannya (banyak kitab dalam Perjanjian Baru) dan membaca tentang kisah hidupnya, ia dipenuhi sukacita. Ia tidak pernah patah semangat, dan tidak pernah meyimpang daripada misi yang telah diberikan kepadanya oleh Allah untuk menyebarkan mesej tentang Yesus ke seluruh pelosok dunia.
Pokoknya: cerita yang akan anda baca sebentar lagi. Senarionya, Paulus dan rakannya, Silas, telah ditangkap, dipukul, seterusnya dipenjarakan. Apakah kesalahan mereka? Mereka telah membebaskan seorang hamba perempuan daripada roh jahat yang menyeksanya…memang orang yang jahat, bukan? Selepas Paulus dan Silas dipukul dengan teruknya dan dirantaikan pada dinding di dalam sebuah kurungan bawah tanah yang gelap, mereka mula berdoa dan bernyanyi kepada Allah. Saya tidak pasti tentang anda, tapi saya pasti reaksi pertama saya dalam keadaan sebegini ialah mengasihani diri dan memuncungkan bibir kerana ketidakadilan semua perkara. Walau bagaimanapun, Paulus tetap berharapan dan terus menumpukan perhatiannya pada Yesus. Kemudian, apabila Allah campur tangan dengan luar biasa untuk membebaskan semua orang tawanan (gempa bumi yang kuat telah membuka semua pintu penjara), Paulus masih mempertimbangkan keadaan orang lain. Ia tidak berganjak dari penjara itu supaya ketua penjara itu tidak disalahkan (dalam cerita itu, ketua penjara hendak membunuh diri…sebab itulah hukumannya kerana membiarkan orang tawanan melepaskan diri). Paulus mengekalkan fokusnya pada orang lain, dan saya percaya inilah salah satu rahsia keupayaannya untuk tetap bersukacita meskipun mengalami kehilangan demi kehilangan.
Bagi anda dan saya, ketika kita mengalami kehilangan, apakah yang menjadi fokus kita? Sekiranya kita jujur, kecenderungan semula jadi kita ialah memandang ke dalam. Kita akan menumpukan perhatian pada penderitaan kita, perasaan kita, bagaimana keadaan itu tidak adil terhadap kita. Sementara kita sudah berbincang bahawa memanglah baik (juga sihat) untuk berkabung dan merasa kesedihan, kita tidak harus berhenti di sana sahaja. Sesudah kita mencurahkan isi hati kita di hadapan Allah, sudah tiba masanya untuk mengalihkan semula fokus kita kepada orang lain. Siapakah antara kenalan anda yang sedang bergelut dengan kehilangan sekarang ini? Bagaimanakah Allah mungkin menggunakan anda untuk membuat perbezaan dalam hidup orang di sekeliling anda? Semasa kita mengalihkan tumpuan daripada diri sendiri, kita dapat menjalankan hidup dengan harapan yang tidak goyah dan sukacita yang kita perhatikan dalam hidup Paulus. Saya tidak tahu tentang anda, tetapi itulah kehidupan yang saya inginkan.
Perihal Pelan
Siapa-siapa pun tidak mahu mengalami kehilangan, bukan? Namun, ketika keadaan menjadi tidak terkawal dan peluang terlepas daripada tangan kita, apakah yang harus kita lakukan untuk mengatasi kehilangan yang timbul? Bagaimanakah kita menghadapinya ketika apa yang kita harapkan itu lenyap? Pelan ini akan membantu kita untuk merenungkan bagaimana Allah berjalan bersama dengan kita melalui penderitaan itu.
More