Kehidupan Baru Dalam KristusSampel

New Life In Christ

HARI 1 DARIPADA 4

Kehidupan Baru

Apabila kita memutuskan untuk mengikut Yesus, kita telah dibangkitkan kepada kehidupan baru dalam Kristus. Namun, apakah maksud yang tepat bagi pernyataan itu? Terjemahan The Passion Translation (TPT) bagi Kolose 3:1 menyatakan, “Christ's ressurection is your resurrection, too (Kebangkitan Kristus ialah kebangkitan anda juga).” Ini bermakna, disebabkan oleh kematian Yesus di salib dan kebangkitan berikutan-Nya daripada kematian, kita telah dibangkitkan kepada kehidupan baru dalam Yesus apabila kita mengatakan ya kepada-Nya. 

Ini mungkin kelihatan mengelirukan dan sukar untuk difahami, tetapi ini tidak semestinya begitu. Yesus datang dan mati untuk menutupi semua dosa setiap orang yang pernah hidup — itu termasuk kita — dan apabila kita menyerahkan hidup kita kepada-Nya dan membuat pilihan untuk mengikut-Nya, kita menerima kehidupan yang baru dalam-Nya.

Yang berikut merupakan dua fikiran untuk membantu anda mula memahami apa itu kehidupan baru dalam Kristus:

Membetulkan pandangan anda.
Apabila kita mengatakan ya kepada Yesus, kehidupan lama kita lenyap, bukan? Tidak selalunya. Biasanya kita memilih perkara yang sudah biasa dan memberikan kepuasan pada masa itu. Kasih sayang kita sering kali tertumpu pada kebahagiaan dan kesedihan sementara di dunia ini. Namun, Allah menghendaki yang lebih baik untuk kita! Kita perlu memainkan peranan kita dan menetapkan pandangan kita pada Yesus supaya beban dan kesukaran di dunia ini tidak terus merampas kehidupan baru kita.

Jadikan Dia hidup anda.
Bahagian pertama Kolose 3:4 mengatakan, “Apabila Kristus, yang adalah hidup kita...” Terlalu kerap ini bukanlah kenyataan bagi kita. Yesus mungkin menjadi sebahagian daripada hidup kita tetapi Dia bukanlah hidup kita. Pada asasnya, kita meminta Yesus untuk menjadi Penyelamat kita, yang membolehkan kita untuk menghabiskan keabadian bersama dengan-Nya, tetapi kita tidak yakin bahawa kita mahu Dia untuk menjadi Tuhan kita yang memerintah setiap aspek kehidupan kita semasa di bumi ini. 

  • Dia mendiami sebahagian daripada pemikiran kita, tetapi kita tidak membenarkan-Nya untuk menjadi Tuhan atas semua pemikiran kita. 
  • Dia mengisi sebahagian daripada hari kita, tetapi kita tidak membenarkan-Nya untuk menjadi Tuhan atas seluruh hari kita.
  • Dia dijemput untuk beberapa keputusan kita, tetapi kita tidak membenarkan-Nya untuk menjadi Tuhan atas semua keputusan kita. 

Kita sering berfikir bahawa hanya kerana kita telah menjadi orang Kristian, kita seharusnya berubah secara luar biasa. Bahawa ketika kita mengatakan ya kepada Yesus, Dia memasuki hidup kita dan kita akan berubah tanpa usaha pada pihak kita. Sementara itu boleh berlaku kerana Allah kita boleh melakukan apa sahaja, kita masih harus terlibat dalam pertempuran untuk kekudusan rohani kita. 

Semasa kita mengkaji beberapa hari yang berikutnya dalam Pelan ini, kita akan mempelajari maksud “membuang” cara hidup yang lama, demi “mengenakan” manusia baru, dan bagaimana untuk mengatakan dan melakukan segala-galanya berdasarkan apa yang telah dilakukan oleh Kristus untuk kita. 

Renungan

  • Apakah yang menjadi tumpuan pandangan anda? Apakah yang dapat anda lakukan untuk mengalihkan pandangan anda daripada perkara yang sementara? 
  • Apabila anda berfikir tentang kehidupan anda dalam Kristus, adakah anda menjemput Yesus ke dalam seluruh hidup anda atau hanya sebahagian daripadanya?
Hari 2

Perihal Pelan

New Life In Christ

Sebagai pengikut Kristus, kita memiliki kehidupan baru dalam Kristus. Namun, apakah maksudnya? Dalam Pelan Alkitab ini, anda akan mempelajari maksud kehidupan baru dalam Kristus, bagaimana menyingkirkan perkara yang tidak baik dengan menanam sifat yang menyerupai Kristus, dan bagaimana mengucapkan dan melaksanakan segala sesuatu seolah-olah kita melakukannya untuk Kristus.

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.