Melepaskan Diri Daripada Iri Hati Pelan Bacaan Enam Hari Oleh Anna LightSampel

Break Free From Envy a Six-Day Reading Plan by Anna Light

HARI 2 DARIPADA 6

Hari 2—Sejarah Iri Hati

Iri hati telah lama wujud. Sebenarnya sebelum penciptaan bumi. Apabila Lucifer jatuh dari syurga, iri hatilah sebab kejatuhannya. Lucifer memandang keindahannya dan dipenuhi kebanggaan yang mementingkan diri, dan ia inginkan lebih banyak lagi—tempat yang tertinggi, tempat penghormatan dan kemuliaan yang diuntukkan bagi Allah sahaja. Anda ingat akan definisi iri hati? Perasaan tidak puas hati atau keinginan menggeramkan yang timbul kerana harta, sifat, atau nasib orang lain.

Boleh dikatakan bahawa iri hatilah yang menyebabkan Adam dan Hawa untuk berdosa di Taman Eden, didorong oleh ular yang telah jatuh itu, untuk mempercayai bahawa Allah menyembunyikan sesuatu daripada mereka. Memakan buah pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat bermaksud mereka ingin menjadi seperti Allah. Walau bagaimanapun, Allah berkata jangan makan buah itu… apakah yang disembunyikan-Nya? Mengapakah Dia menyembunyikannya? Maka, Adam dan Hawa mengambil sesuatu yang mereka rasa mereka patut terima. 

Beberapa tahun kemudian, kita melihat Kain bergelut dengan rasa iri hati yang pahit terhadap adiknya Habel. Korban yang disediakan oleh Habel lebih menyenangkan hati Allah berbanding korban Kain dan niat jahat Kain menyebabkannya untuk membunuh Habel. 

Iri hati Saul terhadap Daud menyebabkan Saul untuk mengamuk seperti orang gila. (1 Sam 18) 

Iri hati menghantar Yesus ke salib. (Mrk 15)

Iri hati bukanlah dosa yang kecil. Tersenarai antara tujuh maha dosa, iri hati bukanlah sesuatu yang harus diketepikan memikirkan ia adalah ketinggalan zaman ataupun tidak mempengaruhi kita sekarang ini. Banyak emosi negatif yang kita hadapi berakar umbi dalam iri hati. Apabila saya menyedari ini, saya lebih bersedia untuk berjuang untuk kebebasan yang saya sedar tersedia bagi saya.

Sebagai seorang penulis, memang sentiasa sukar untuk menghargai penulis lain kerana saya selalu rasa terancam oleh kehebatan mereka, seolah-olah bakat mereka mengurangkan bakat saya. Saya tidak dapat menghargai atau mengagumi bakat orang lain. Saya rasa anda pasti pernah mengalami sesuatu yang sama. Anda melihat atau mendengar orang lain mencapai atau menerima hasil yang diingini dan daripada memberikan respons yang positif atau persetujuan, reaksi awal anda ialah memaparkan kepalsuan, mengumpat, atau menuduh. Anda mungkin mahu berasa gembira kerana pencapaian mereka, tetapi daging anda ingin menebuk atau mengkritik mereka atau situasi mereka untuk menghancurkan mereka. 

Ini adalah amat menggoda jika pencapaian mereka ialah sesuatu yang anda inginkan. Apabila kita melihat orang lain memiliki apa yang kita rasa kita harus miliki, iri hati menghalang kita daripada memberikan respons persetujuan dan perayaan sebaliknya menyengat kita dengan kepahitan muram. Kita mungkin menyembunyikan perasaan kita dengan baik (atau berfikir kita menyembunyikannya dengan baik), tetapi perasaan ini masih wujud dan menyebabkan kesakitan dan kerosakan dalam diri kita. 

Iri hati merupakan salah satu taktik musuh yang paling bahaya dewasa ini kerana ia telah berurat berakar dalam fikiran kita. Kita mungkin tidak menyedari kerosakan yang disebabkan oleh iri hati kerana kita tidak mahu mengakui bahawa kita bergelut kerananya. Meskipun sekarang, anda mungkin mengelakkan gesaan Roh Kudus, cuba meyakinkan diri bahawa anda tidak bergelut dengan rasa iri hati. Kita fikir jika kita menyembunyikannya, ia akan hilang, tetapi sebenarnya, semakin kita menahan perasaan iri hati, ia semakin membarah dan bertumbuh dalam roh kita dan menghasilkan buah seperti rasa geram, kemarahan, kebanggaan, kemurungan, dan kegelisahan. 

Memanglah penting untuk memahami bagaimana iri hati menyelinap masuk ke dalam roh kita supaya kita boleh melindungi hati kita dan menemui kebebasan yang kekal. 

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

Break Free From Envy a Six-Day Reading Plan by Anna Light

Sekarang, lebih daripada sebelumnya, kita berhadapan dengan kehidupan setiap orang sebagaimana yang mereka mahu dilihat, dan perbandingan dengan kehidupan kita menimbulkan perasaan iri hati. Anda tidak mahu perasaan ini untuk membarah dalam anda, tetapi bagaimana pula dengan kerosakan yang disebabkan oleh iri hati orang lain terhadap anda? Dalam pelan bacaan ini, anda akan menemui cara mengatasi iri hati, melindungi hati anda, dan berjalan dengan bebas.

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Anna Light (LiveLaughLight) kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.livelaughlight.com