Menemukan KedamaianSampel
5 Kepercayaan Asas untuk Hati yang Tenang
Jika anda seorang Kristian, Allah sahajalah yang berkuasa ke atas kehidupan anda. Dialah keselamatan anda. Dia tidak pernah kehilangan kawalan ke atas ciptaan-Nya walaupun untuk sesaat sejak dari awal dunia. Dia tidak kehilangan sedikit pun kuasa atau kekuatan-Nya. Dia maha berkuasa, maha mengetahui, maha wujud, dan penuh kasih sayang hari ini sebagaimana pada permulaan manusia.
Walaupun kita tidak selalu memahami tujuan-Nya, memahami cara Allah selalu membawa kepada kesedaran bahawa Dia akan bertindak dalam cara yang akan membawa berkat abadi kepada anak-Nya. Sepanjang masa, saya telah menemui lima kepercayaan asas untuk hati yang tenang. Saya mencabar anda untuk meneliti apa yang anda percaya tentang Allah. Kedamaian anda ditentukan oleh setakat mana kepercayaan tersebut ditanamkan dalam jiwa anda.
Kepercayaan 1: Allah betul-betul berdaulat.
Menyedari dan menerima kebenaran bahawa Allah adalah berdaulat ke atas segala sesuatu adalah penting untuk ketenangan dalaman anda. Ini bermakna tiada apa-apa yang berkaitan dengan anda terletak di luar pengawasan rapi-Nya dan penjagaan penyayang-Nya. (Kol. 1:17)
Kepercayaan 2: Allah adalah pembekal anda.
Dari mula hingga habis, Alkitab mempunyai mesej yang jelas bahawa Allah adalah Dia yang memenuhi semua keperluan anda. Tiada keperluan adalah terlalu besar, bermasalah, ataupun teruk untuk diberikan oleh Yesus. Alkitab memberitahu kita, "orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan" (Mzm. 34:10).
Kepercayaan 3: Allah mencipta anda yang sedia adanya untuk satu tujuan.
Terdapat banyak perkara tentang kehidupan anda yang terletak di luar kawalan anda. Terimalah perkara tersebut sebagai sebahagian daripada cara Allah telah mencipta anda. Bangsa, budaya, bahasa, kewarganegaraan, jantina, dan banyak ciri fizikal anda adalah "pilihan" Allah. Dia juga telah memberikan anda bakat, kebolehan, kecerdasan, personaliti, dan kurnia rohani yang, secara keseluruhannya, menjadikan anda seorang yang unik di dunia ini untuk menggenapi rancangan-Nya untuk anda. (Mzm. 139:13-16)
Kepercayaan 4: Allah mempunyai tempat di mana anda betul-betul tergolong.
Allah telah mencipta anda untuk persekutuan dengan Dia dan dengan orang lain. Percayalah bahawa Dia akan membantu anda memiliki ikatan yang kuat dengan-Nya dan untuk memberikan anda rasa kekitaan dengan "keluarga" orang percaya. Kemudian, sewaktu anda bertumbuh dalam-Nya, jangkaulah orang lain. (1 Ptr. 2:9).
Kepercayaan 5: Allah mempunyai rancangan untuk kepuasan anda.
Demi ketenangan dalaman yang sebenar, seseorang itu perlu mengetahui bahawa dia cekap, berupaya, berkebolehan, dan mahir melakukan sesuatu. Ketenangan yang menakjubkan melanda anda apabila anda menyedari bahawa anda berupaya memperoleh pencapaian yang baik atau melakukan sesuatu dengan baik. (Ef. 2:10)
Apabila anda menerima lima kepercayaan asas ini di lubuk hati dan mempercayai bahawa Allah sedang bekerja dalam anda dan bagi pihak anda, ketenangan dalaman betul-betul menjadi milik anda.
Perihal Pelan
Adakah anda inginkan kedamaian lagi dalam kehidupan anda? Adakah anda harap ketenangan adalah lebih daripada keinginan sahaja? Anda boleh memperoleh kedamaian sebenar tetapi hanya daripada satu sumber sahaja—Allah. Sertai Dr. Charles Stanley yang menunjukkan kepada anda jalan ke arah ketenangan fikiran yang mengubah kehidupan, memberikan anda alat untuk menyelesaikan kekesalan lalu, menghadapi kerisauan sekarang ini, dan mengurangkan kekhuatiran tentang masa depan.
More