Setiap Langkah Ialah Satu KetibaanSampel
Pada Suatu Masa Dahulu
"Pada Suatu Masa Dahulu" ialah permulaan bagi semua cerita yang baik. Ini jugalah cara orang Kristian menangani soalan "Adakah hidup saya ini penting?" Dalam suatu cerita, setiap watak adalah penting. Setiap orang mempunyai kepentingan. Jadi, kita mengatakan "Pada suatu masa dahulu" dan disambung dengan iman kita dan keraguan kita, ketaatan kita dan keingkaran kita, penyembahan kita dan ketakkacuhan kita. Semua itu dan lebih banyak lagi merupakan sebahagian daripada suatu cerita—satu cerita yang bermakna.
Tidak semua cerita menumpukan perhatian pada wira. Tidak semua cerita berbentuk pengembaraan epik. Kita mempunyai cerita wira—tentang Yusuf, Musa, Daud dan Paulus. Walau bagaimanapun, ada juga cerita seperti kisah Naomi, Rut dan Boas. Jalan cerita ini melibatkan kehidupan sehari-hari. Namun, kehidupan sehari-hari itu—imigrasi, kesetiaan Rut terhadap Naomi, kebaikan hati Boas terhadap Rut, ketelitian terhadap Hukum—semua perincian ini merupakan sebahagian daripada plot sampingan bagi cerita keselamatan Allah yang besar. Cerita yang bermakna—dan terpenting.
Naomi dimasukkan dalam cerita ini kerana ia merungut. Ia mengalami kehilangan, merungut tentangnya, dan kesedihannya diambil serius oleh pencerita itu lalu diungkapkan sebagai rungutan terhadap Allah. Ayat-ayat ini disusun sehinggakan ia digambarkan sebagai plaintif di hadapan Allah. Gaya rungutan ala undang-undang ini juga diucapkan oleh Yeremia, yang membuat tuntutan dan tuntutan balas antara Allah dan umat. Ia mengambil rungutan umat dan mengungkapkannya dalam bentuk tuntutan terhadap Allah; tuduhannya ialah Allah gagal bersikap adil dan saksama.
Meskipun kelihatan tidak beriman, dan kufur, untuk bercakap dengan Allah sebegini, kenyataannya ialah ia sememangnya alkitabiah. Dengan mendengar rungutan satu sama lain dan mengungkapkannya terhadap Allah, kita membantu satu sama lain untuk memasuki cerita itu. Kita tidak perlu selalu memihak kepada Allah, mempertahankan-Nya. Ada kalanya kedudukan alkitabiah kita berpihak kepada plaintif. Apabila diambil secara serius—tidak ditolak, tidak dilembutkan, tidak dirohanikan—rungutan Naomi menjadi sebahagian daripada cerita itu. Kekosongan hidupnya diselitkan ke dalam plot itu dan, dalam proses itu, ke dalam peristiwa yang menunjukkan pemeliharaan Allah.
Adakah anda teragak-agak tentang menyuarakan rungutan anda terhadap Allah? Bagaimanakah cerita Naomi dapat memimpin anda untuk bercakap dengan Allah dengan lebih terus terang?
Kitab
Perihal Pelan
Kami berharap lima renungan daripada Eugene Peterson ini akan membawa fikiran dan hati anda ke mana saja ia pergi, kerana anda tidak mungkin mengetahui apa yang akan digunakan oleh Roh untuk menggalakkan, mencabar atau menghiburkan anda. Anda mungkin memilih untuk menggunakan soalan renungan di akhir setiap renungan untuk membentuk doa harian anda—pastinya bukan sebagai titik tamat tetapi permulaan bagi ketibaan yang dinantikan.
More