Pergilah Lakukan Katakan Berilah: Kebebasan Berserah Kepada YesusSampel
Tuhan Yesus, saya berserah kepada-Mu.
Penyerahan adalah perkataan yang sukar diterima. Penyerahan kedengaran seperti kekalahan, dan tiada orang yang suka rasa seperti orang yang kalah. Tidak hairanlah sukar untuk berserah kepada Allah. Naluri manusia memberitahu kita bahawa berserah kepada-Nya mungkin tidak membantu kita. Barangkali Dia marah terhadap kita, atau barangkali kita akan hilang kawalan terhadap sesuatu yang diingini. Namun, Alkitab memberitahu kita bahawa berserah kepada Yesus adalah demi kepentingan kita.
Allah telah memberikan Yesus kuasa tertinggi dan mutlak terhadap semua ciptaan. Melutut, tanda penyerahan dan kesetiaan, adalah respons yang sesuai terhadap raja alam semesta. Kita melihat ini pada hubungan antara raja atau permaisuri dan rakyat mereka. Walau bagaimanapun, dengan Yesus sebagai pemerintah kita, kita menyedari bahawa Dia akan melayan kita dengan kasih setia sempurna, dan bahawa rancangan dan tujuan-Nya untuk kehidupan kita sentiasanya baik, walaupun pada sesetengah waktu ia adalah sukar dan menyeksakan.
Allah telah mencipta kita, dan telah menyelamatkan kita daripada hukuman dan perhambaan dosa. Dia menjanjikan kehidupan yang bebas dan berbuah. Kita tiada sebab untuk meromok ketakutan tentang kesan penyerahan. Dia tidak berhajat untuk membuat kehidupan kita sengsara, tetapi inginkan kita untuk mengalami kerajaan yang dicirikan oleh kasih.
Mengikuti Yesus dengan sepenuh hati menghendaki bahawa kita berserah kepada-Nya. Kita tidak boleh mengikut agenda sendiri dan pada masa yang sama mengikut-Nya. Cuba melakukan kedua-duanya akan menambahkan ketegangan dan tekanan. Kita tidak tahu ke mana Dia akan memimpin kita, tetapi kita tahu bahawa Dia adalah baik dan boleh dipercayai. Dia telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan.
Sekarang adalah masa untuk memberikan-Nya tali kekang untuk memimpin kehidupan anda ke tempat yang terbaik, melebihi apa yang dapat anda bayangkan untuk diri sendiri.
Enam hari berikutnya memunggah setiap frasa doa penyerahan harian kepada Yesus yang akan mengubah perjalanan anda dengan-Nya secara dramatik.
Tuhan Yesus, saya berserah kepada-Mu.
Dalam kuasa Roh-Mu, saya akan…
Pergi ke mana yang Engkau ingin saya pergi,
Melakukan apa yang Engkau ingin saya lakukan,
Mengatakan apa yang Engkau ingin saya katakan, dan
Memberikan apa yang Engkau ingin saya berikan.
Demi penghormatan dan kemuliaan-Mu. Amin.
Adakah anda bersedia melutut untuk berserah kepada Yesus sebagai Penyelamat dan Tuan anda? Jika ada sesuatu yang menahan anda, beritahulah Dia dalam doa, atau tuliskan sepucuk surat untuk menjelaskan apa yang menjadikan ini sukar.
Perihal Pelan
Berserah kepada Yesus merupakan waktu yang menentukan kehidupan. Walau bagaimanapun, apakah makna keputusan ini dan bagaimanakah kita hidup dengan berserah kepada Yesus setiap hari? Adakah ini untuk keputusan kehidupan yang besar sahaja, ataupun untuk orang yang sangat rohaniah? Ketakutan, kegagalan lalu, dan salah faham boleh menahan kita. "Pergilah Lakukan Katakan Berilah" merupakan janji/doa yang memunggah cara mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan rohani anda. Alamilah kebebasan yang terhasil daripada mengikuti Yesus.
More