Berikan Makna kepada Pekerjaan AndaSampel
Allah Menggunakan Pekerjaan Kita Untuk Tujuan-Nya
Setelah menghadapi cubaan selama bertahun-tahun, mimpi Yusuf tercapai. Dia bukan sahaja diamanahkan oleh Firaun untuk menguruskan seluruh Mesir, saudara-saudaranya juga pergi kepadanya untuk mendapatkan makanan ketika dilanda kebuluran dan mereka tunduk kepada saudara mereka, walaupun mereka tidak sedar akan identitinya pada masa itu. Allah memang merancang untuk menggunakan tujuh tahun kelimpahan dan tujuh tahun kebuluran untuk memimpin umat-Nya ke Mesir di mana mereka memperoleh perlindungan. Allah telah menggunakan keadaan yang dialami Yusuf untuk menyediakannya untuk menyempurnakan rancangan-Nya.
Ketika Yakub mati, saudara-saudara Yusuf berasa bimbang bahawa Yusuf akan membalas dendam. Namun, Yusuf tetap menumpukan perhatian pada tujuan Allah dan memberikan respons, “Kamu sudah bermuafakat untuk melakukan kejahatan kepadaku, tetapi Allah mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan…” (Kejadian 50:20). Yusuf hanya melihat sebahagian kecil tentang peranannya dalam rancangan keseluruhan Allah, seperti yang kita lihat hari ini. Suatu hari nanti, Yusuf akan melihat berapa banyak orang yang telah diselamatkan melalui sumbangannya.
Yakobus 1:2-3 memberitahu kita, “Saudara-saudaraku! Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan, kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan, dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu tabah menanggung penderitaan.” Apabila kita percaya ketika mengalami kesusahan, kita membuka pintu untuk membolehkan Allah melakukan hal yang menakjubkan melalui kita. Memanglah penting untuk mempercayai bahawa Allah boleh dan akan menggunakan pekerjaan kita untuk membentuk sikap kita, menguatkan kita, dan akhirnya menghasilkan sesuatu yang tidak mungkin tercapai sebaliknya.
Apabila kita tetap menumpukan perhatian pada Kristus, kita boleh berkeyakinan bahawa Allah menggunakan pekerjaan kita dalam cara yang lebih besar dan di luar bayangan kita. Kita mungkin ternampak bagaimana Allah sedang menggunakan pekerjaan kita secara keseluruhannya sepintas lalu, seperti Yusuf. Suatu hari nanti, kita semua akan dapat melihat sumbangan kesetiaan kita dalam rancangan Allah.
Cabarlah diri anda untuk membenarkan Allah untuk memperhalus anda melalui keadaan yang susah, dan menambah makna pekerjaan anda untuk tujuan-Nya dan kemuliaan-Nya.
Doa
Allah Bapa, saya sedar bahawa Engkau sentiasa berkerja dalam dan melalui kehidupan saya. Tolonglah saya untuk mengekalkan perspektif keabadian terhadap kerja yang saya lakukan setiap hari. Teguhkanlah iman saya. Berikan saya kebijaksanaan dalam pekerjaan saya supaya semua kerja yang saya lakukan boleh digunakan untuk mencapai tujuan-Mu. Dalam nama Yesus. Amin.
Peninjauan Lanjut
Terokai renungan berkenaan tempat kerja yang lain daripada Workmatters.
Perihal Pelan
Kebanyakan daripada kita menghabiskan 50 peratus daripada masa dewasa kita untuk bekerja. Kita hendak tahu bahawa pekerjaan kita adalah bermakna – bahawa pekerjaan kita itu adalah penting. Namun, tekanan, desakan dan kesusahan membuat kita rasa bahawa kerja adalah sukar – sesuatu yang perlu ditempuhi. Pelan bacaan ini akan membantu anda menyedari kuasa yang anda perlu pilih untuk makna yang positif bagi perkerjaan anda yang berurat berakar dalam iman.
More