MARKUS 7:14-37
MARKUS 7:14-37 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu sekali lagi Yesus memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, “Dengarlah supaya kamu mengerti! Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia. [ Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah!]” Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu mengerti? Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang dapat menajiskan dia, kerana apa yang masuk itu tidak ke dalam hati, melainkan ke dalam perut, lalu keluar lagi.” Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan bahawa semua makanan boleh dimakan. Yesus berkata lagi, “Apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia, kerana dari hatilah timbul fikiran jahat yang menyebabkan orang berbuat cabul, merompak, membunuh, berzina, tamak; melakukan segala perkara yang jahat, seperti menipu, berbuat yang tidak senonoh, cemburu, memfitnah, sombong, dan tidak berbudi pekerti. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan hal itulah yang menajiskan orang.” Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat kota Tirus. Dia masuk ke dalam sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu bahawa Dia di situ, tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Yesus. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya. Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya. Tetapi Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing.” “Tuan,” jawab wanita itu, “anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!” Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!” Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu. Kemudian Yesus meninggalkan daerah sekitar Tirus dan meneruskan perjalanan ke Tasik Galilea melalui Sidon. Dia melalui daerah Sepuluh Kota. Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada orang itu. Yesus membawa dia ke tepi, jauh dari orang ramai, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Setelah itu Yesus meludah dan menjamah lidah orang itu. Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Lalu Dia berkata kepada orang itu, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah!” Seketika itu juga telinga orang itu terbuka, lidahnya pulih, lalu dia mula bercakap dengan mudah. Selepas itu Yesus melarang mereka menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. Semua orang yang mendengar hal itu sangat hairan. Mereka berkata, “Sungguh baik perbuatannya! Dia pun dapat membuat orang tuli mendengar dan orang bisu bercakap!”
MARKUS 7:14-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Shahadan apabila dipanggil Isa akan sagala orang orang itu kapadanya, lalu katanya, Dŭngarlah ulih kamu akan daku masing masing, sŭrta mŭngarti. Suatu pun tiada yang deri luar itu kalau masok kŭdalamnya yang bulih mŭnŭjiskan dia, akan tŭtapinya pŭrkara yang kluar deripadanya, itulah dia yang mŭnŭjiskan manusia. Maka jikalau kiranya barang orang yang ada bŭrtŭlinga akan mŭnŭngar, handaklah iya mŭnŭngar. Maka apabila sudahlah Isa masok kŭdalam rumah deri pada orang orang itu, maka bŭrtanyalah murid muridnya kapadanya derihal pŭrumpamaan itu. Maka katanya kapada marika itu, Kamu pun dŭmkiankah dŭngan tiada fikiran? Tiadakah kamu mŭndapat kŭnyataannya barang suatu pŭrkara deri luar itu masok kŭdalam manusia itu, iya itu tiada bulih mŭnŭjiskan akan dia. Sŭbab iya itu tiada masok kŭdalam hati, mŭlainkan kŭdalam prot, iya itu kluar kŭdalam jamban mŭnyuchikan sagala makanannya. Maka katanya, Adapun yang kluar deripada manusia itulah akan mŭnŭjiskan manusia. Kŭrna deri dalam itu, iya itu yang kluar deri hati manusia, mŭmbawa fikiran yang jahat, pŭrsundalan, bŭrzinah, dan mŭmbunoh orang; Pŭnchuri, loba, kŭjahatan, pŭnipu, kainginan yang jahat, mata jahat, mŭnghujat, chongkak, dan kŭbodohan. Maka sagala pŭrkara jahat ini datang deri dalam, dan iya itu mŭnŭjiskan manusia. ¶ Hata maka bangunlah iya deri sana, lalu pŭrgi kŭtŭpi tanah Thor dan Sidon, masoklah iya dalam sa’buah rumah dŭngan kahandaknya jangan dikŭtahui ulih sa’orang jua pun, tŭtapi tiadalah bulih iya bŭrlindong. Kŭrna adalah sa’orang pŭrampuan punya anak pŭrampuan tŭrkŭna jin, yang tŭlah mŭnŭngar khabarnya, maka datanglah iya jatoh dikaki Isa. Adapun pŭrampuan itu sa’orang Grika, Serufinikan bangsanya, maka mŭmintalah iya kapada Isa supaya bulih dibuangkannya jin itu kluar deripada anaknya itu. Tŭtapi kata Isa kapadanya, Biarlah kanak kanak dibri makan dahulu, kŭrna tiada patut diambil roti kanak kanak itu dichampakkan dia kapada anjing. Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada Isa, Ya Tuhan, bahwa anjing dibawah meja itu pun mŭmakan remah remah kanak kanak itu. Maka kata Isa kapada pŭrampuan itu, Ulih sŭbab pŭrkataan ini pulanglah angkau, bahwa Iblis itu tŭlah kluarlah deripada anakmu itu. Maka apabila pulanglah pŭrampuan itu karumahnya, maka didapatinya Iblis itu tŭlah kluarlah, maka adalah anak pŭrampuan itu bŭrbaring diatas tŭmpat tidor. ¶ Maka bŭrjalanlah pula lagi Isa deri jajahan Thor dan Sidon, maka datanglah iya kapada tasik Galilia mŭnŭrosi tŭngah tŭngah jajahan Dikapulis. Maka dibawalah ulih marika itu kapadanya sa’orang orang pŭkak yang telor pŭrkataannya, maka dipintalah ulih marika itu kapadanya, supaya dibubohnya tangan kaatasnya. Maka diambillah ulih Isa akan dia diasingkannya deripada bŭlatantara itu, maka dibubohkannya jarinya kadalam tŭlinganya sŭrta diludahkannya, maka dijamahnya lidahnya; Lalu tŭngadahlah iya kalangit, sŭrta bŭrkŭloh sambil katanya kapadanya, Ifphatha, yaani, tŭrbukalah. Maka tiba tiba tŭrbukalah tŭlinganya, dan urat lidahnya pun tŭrluchutlah, maka bŭrtutorlah iya dŭngan trang. Maka dipinta Isa kapada marika itu supaya jangan dibri tahu kapada sa’orang pun: tŭtapi makin dipintanya kapada marika itu, makinlah tŭrlebih pula dimashorkan ulih marika itu akan dia. Maka adalah tŭrlampau bŭsar ajaib, katanya, Iya tŭlah bŭrbuat sagala pŭkŭrjaan baik: orang yang pŭkak itu tŭlah mŭnŭngar, dan yang kŭlu itu bŭrkata kata.
MARKUS 7:14-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, “Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah. Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. Jika kamu bertelinga, dengarlah!” Setelah Yesus meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.” (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.) Kata-Nya lagi: “Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.” Kemudian Yesus pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh jahat telah mendengar tentang Yesus lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya. Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Yesus menghalau roh iblis yang merasuk anaknya. Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.” “Benar, Tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.” Maka Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.” Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis. Selepas itu Yesus meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota. Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Yesus meletakkan tangan padanya. Yesus membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu. Selepas itu, Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, “Efata!” (ertinya “Terbukalah!”). Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik. Yesus melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. Mereka sungguh hairan dan berkata, “Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.”