Yesus memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, “Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah. Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. Jika kamu bertelinga, dengarlah!”
Setelah Yesus meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.” (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
Kata-Nya lagi: “Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.”
Kemudian Yesus pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh jahat telah mendengar tentang Yesus lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya. Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Yesus menghalau roh iblis yang merasuk anaknya. Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.”
“Benar, Tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.”
Maka Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.”
Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.
Selepas itu Yesus meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota. Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Yesus meletakkan tangan padanya. Yesus membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu. Selepas itu, Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, “Efata!” (ertinya “Terbukalah!”).
Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik. Yesus melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. Mereka sungguh hairan dan berkata, “Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.”