Markus 7
7
Adat istiadat nenek moyang
1Orang Farisi dan beberapa ahli Taurat yang datang dari Yerusalem berkumpul di keliling Yesus. 2Mereka melihat beberapa murid Yesus makan dengan tangan najis, iaitu tangan yang tidak dibasuh.
3(Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan. 4Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)
5Oleh itu, orang Farisi dan ahli Taurat di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah murid-Mu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang najis?”
6 # Yes 29:13. Yesus menjawab, “Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat:
‘Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata,
tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
7Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku;
sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.’
8Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia.”
9Yesus berkata lagi: “Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri! 10#Kel 20:12; Ul 5:16. Kel 21:17; Im 20:9.Musa menyampaikan perintah ini, ‘Hormatilah ibu bapamu’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.’ 11Tetapi kamu mengajar: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan ibu, sudah kujadikan korban’ (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah), 12maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa. 13Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.”
14Yesus memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, “Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah. 15Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya. 16Jika kamu bertelinga, dengarlah!”
17Setelah Yesus meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu. 18Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya? 19Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.” (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
20Kata-Nya lagi: “Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya 21kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh, 22berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh. 23Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.”
Iman seorang perempuan Siro-Fenisia
24Kemudian Yesus pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. 25Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh jahat telah mendengar tentang Yesus lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya. 26Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Yesus menghalau roh iblis yang merasuk anaknya. 27Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.”
28“Benar, Tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.”
29Maka Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.”
30Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.
Yesus menyembuhkan seorang bisu tuli
31Selepas itu Yesus meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota. 32Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Yesus meletakkan tangan padanya. 33Yesus membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu. 34Selepas itu, Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, “Efata!” (ertinya “Terbukalah!”).
35Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik. 36Yesus melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. 37Mereka sungguh hairan dan berkata, “Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.”
Terpilih Sekarang Ini:
Markus 7: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited