LUKAS 9:1-36

LUKAS 9:1-36 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka.” Pengikut-pengikut-Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana. Ketika Herodes yang memerintah Galilea, mendengar segala perkara yang sedang berlaku itu, dia bingung kerana ada yang berkata, “Yohanes Pembaptis hidup semula!” Yang lain berkata bahawa Elia sudah kembali, sedangkan ada juga yang berkata bahawa seorang daripada nabi-nabi dahulu kala sudah hidup semula. Herodes berkata, “Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.” Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, “Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?” (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Pada suatu hari, ketika Yesus sedang berdoa sendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia. Tetapi yang lain berkata salah seorang nabi dahulu kala yang sudah hidup semula.” “Tetapi menurut kamu siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah.” Dengan tegas Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jangan ceritakan hal itu kepada sesiapa pun.” Dia berkata juga, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan.” Setelah itu Dia berkata kepada orang ramai, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati. Apa gunanya jika seorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati ataupun dihukum? Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, maka Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya dan dengan kemuliaan Bapa serta kemuliaan malaikat-malaikat yang suci! Ketahuilah, ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah.” Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa. Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan. Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem. Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya. Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.) Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. Dari awan itu terdengar suara berkata, “Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!” Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka.

LUKAS 9:1-36 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬTLAH itu maka dipanggil ulih Isa dua blas murid muridnya bŭrsama sama, sŭrta dibrinya kwasa, dan prentah akan marika itu atas sagala hantu, dan akan mŭnyŭmbohkan sagala pŭnyakit. Maka disurohkannya akan marika itu mŭmashorkan krajaan Allah, dan mŭnyŭmbohkan orang pŭnyakit. Maka katanya kapada marika itu, Janganlah kamu mŭmbawa barang apa dalam pŭrjalananmu, baik pundi pundi, atau tongkat; baik roti, atau wang, atau bŭrbaju dua lapis. Maka barang rumah kamu masok, tingallah disana, kumdian pulanglah. Maka barang siapa yang tiada mŭnyambut akan dikau, apabila angkau kluar deripada nŭgri itu, kŭbaskanlah abok yang lŭkat dikakimu pun, kŭrna iya itu mŭnjadi saksi atas marika itu. Maka marika itu pun pŭrgilah, lalu masok kŭdalam nŭgri nŭgri mŭngajarkan Injil, dan mŭnyŭmbohkan pŭnyakit pada tiap tiap tŭmpat. ¶ Maka didŭngar ulih Herodis Titrak sagala pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa, maka iya pun tŭrbingunglah, kŭrna tŭlah dikatakan ulih sŭtŭngah orang, adapun Yahya itu tŭlah bŭrbangkit deripada mati. Maka kata sŭtŭngah orang, Bahwa Ilias tŭlah datang; dan kata yang lain, Iya itu sa’orang deri nabi yang dahulu dahulu tŭlah bŭrbangkit pula. Maka kata Herodis, Yahya itu tŭlah kupanchong kŭpalanya, tŭtapi siapakah ini aku mŭnŭngar pŭrkara pŭrkara yang dŭmkian? Maka iya handak mŭlihat akan Isa. ¶ Maka apabila bŭrbaliklah Rasol Rasol itu, dikatakannyalah kapada Isa barang yang tŭlah dipŭrbuatnya. Maka dibawanya marika itu kasŭblah suatu tŭmpat sunyi, iya itu tŭrta’lok kapada nŭgri yang bŭrnama Bethsieda. Maka apabila dikŭtahuilah ulih kaum itu, diikotnyalah akan dia; lalu ditrimalah ulih Isa akan marika itu, sŭrta bŭrkata kata iya kapada marika itu derihal krajaan Allah, lalu disŭmbohkannya akan marika itu yang patut disŭmbohkan. Maka apabila hari hampirlah malam, datanglah dua blas murid muridnya bŭrkata kapadanya, Surohkanlah bŭlatantara ini pŭrgi, supaya bulih marika itu pŭrgi kŭdalam kampong kampong, dan nŭgri nŭgri yang bŭrkuliling mŭnumpang, dan mŭndapat makanan, kŭrna adalah kita ini disini dalam tŭmpat sunyi. Tŭtapi kata Isa kapadanya, Brilah ulih kamu akan marika itu makan. Maka kata marika itu, Tiadalah kapada kami lebih deripada lima buah roti, dan dua ekor ikan, mŭlainkan kalau kami pŭrgi mŭmblikan makanan akan sagala kaum ini. Kŭrna adalah marika itu skalian kira kira lima ribu orang. Maka kata Isa kapada murid muridnya, Dudokkanlah marika itu lima lima orang sa’tompok. Maka dŭmkian didudokkannyalah marika itu skalian. Sŭtlah itu diambilnyalah lima buah roti dan dua ekor ikan, sŭrta tŭngadah kŭlangit, dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannya sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, supaya ditarohkan dihadapan bŭlatantara itn. Maka dimakanlah ulih marika itu sampie skaliannya kŭnyang; diangkatlah remah remah yang tŭrtinggalkan kapada marika itu dua blas bakol. ¶ Maka pada skali pŭrstua tŭtkala Isa sa’orang orang tŭngah mŭminta doa, adalah murid muridnya bŭrsama sama dŭngan dia; maka ditanyanya kapada marika itu, Siapakah aku ini kata sagala orang? Maka jawab marika itu, katanya, Yahya Pŭmbaptisa; tŭtapi ada yang bŭrkata Ilias; dan kata yang lain, iya itu sa’orang deripada nabi yang dahulu dahulu tŭlah bŭrbangkit pula. Maka katanya kapada marika itu, Tŭtapi siapakah kata kamu aku ini? Petros mŭnjawab katanya, Almasih yang deripada Allah. Maka dŭngan skutika itu juga diingatkannya kapada marika itu, sŭrta dipŭsannya janganlah dikatakan kapada sa’orang pun akan pŭrkara itu. Katanya, Anak manusia kŭlak dapat tiada mŭrasai banyak pŭrkara, sŭrta akan ditolakkan ulih orang tua tua, dan pŭnghulu pŭnghulu imam, dan khatib khatib, dan akan dibunoh, sŭrta dibangkitkan pula pada hari yang katiga. ¶ Maka katanya kapada marika itu skalian, Jikalau barang siapa yang handak mŭngikot aku, maka biarlah iya mŭnyangkali akan dirinya, dan mŭngangkat salibnya sa’hari hari, lalu mŭngikot aku. Kŭrna barang siapa yang mŭmliharakan jiwanya itu akan mŭnghilangkan dia; tŭtapi barang siapa yang mŭnghilangkan jiwanya ulih sŭbab aku, maka iya kŭlak akan mŭmliharakan dia. Kŭrna apakah faidahnya jikalau kiranya iya mŭndapat akan sagala dunia skali pun, tapi hilanglah dirinya atau iya dibuangkan. Kŭrna barang siapa yang ada malu akan daku, dan akan pŭrkataanku, maka kapadanyalah Anak manusia pun malu apabila iya kŭlak datang dŭngan kŭmuliannya, dan kŭmulian Ayahnya, dan mŭliekat mŭliekatnya yang suchi itu. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu dŭngan sŭbŭnarnya, adalah orang yang bŭrdiri disini yang tiada kŭlak mŭrasai mati sampie iya mŭlihat akan krajaan Allah. ¶ Maka pada skali pŭrstua adalah kira kira dŭlapan hari kumdian deripada sagala pŭrkataan itu, maka dibawalah ulih Isa Petros, dan Yahya, dan Yakob, naiklah iya ka’atas sabuah gunong akan mŭminta doa. Maka tŭngah iya mŭminta doa, maka ayer mukanya pun bŭrubahlah, dan pakieannya pun putehlah gilang gumilang. Bahwa sŭsungguhnya adalah dua orang bŭrtutor dŭngan dia, iya itu Musa dan Ilias. Maka adalah iya itu klihatan dŭngan kŭmulian, sŭrta bŭrtutor derihal kŭmatiannya yang patut digŭnapkannya diJerusalem. Tŭtapi Petros sŭrta sagala marika itu yang ada dŭngan dia pun sangatlah mŭngantok, maka apabila marika itu tŭrsŭdar, dilihatnyalah kŭmuliannya, dan dua orang bŭrdiri dŭngan dia. Maka skali pŭrstua sŭtlah kŭmbalilah marika itu deripadanya, kata Petros kapada Isa, Guru, baiklah kita diam disini, dan biarlah kami pŭrbuatkan tiga buah khemah, sa’buah bagiemu, dan sa’buah bagie Musa, dan sa’buah bagie Ilias. Tiada dikŭtahuinya apa yang dikatanya. Maka sŭmŭntara iya bŭrkata kata, datanglah suatu awan diklubunginya akan orang orang itu, maka kŭtakotanlah marika itu sa’olah olah masok kŭdalam awan itu. Maka datanglah suatu swara deripada awan itu, katanya, Inilah anakku yang kukasih, dŭngarlah akan pŭrkataannya. Maka apabila lalulah swara itu, didapati Isa ada sa’orang orang, maka disimpan ulih marika itu akan rahsia itu, kapada sa’orang pun tiada dikatakan pada masa itu barang apa deripada pŭrkara itu yang tŭlah dilihatnya.

LUKAS 9:1-36 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus memanggil murid-Nya yang dua belas itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit. Yesus berkata kepada mereka, “Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg, baik makanan, baik wang mahupun dua helai pakaian. Di rumah mana-mana pun kamu disambut, menetaplah di situ sehingga kamu beredar dari bandar itu. Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.” Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk menyampaikan Injil dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja. Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian, ada yang berkata bahawa Elia telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali. Herodes berkata, “Yohanes itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.” Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Yesus. Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Yesus segala perkara yang telah dilakukan mereka. Yesus membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Yesus menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan. Menjelang senja, dua belas murid itu datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Murid-murid itu melakukan suruhan Yesus dan semua orang pun duduk. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul. Pada suatu hari semasa Yesus berdoa bersendirian, murid-murid-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata salah seorang nabi telah hidup semula.” Yesus bertanya kepada mereka, “Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?” Petrus menjawab, “Kristus daripada Allah.” Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu hal ini kepada sesiapa pun; dan menambah, “Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan dibangkitkan semula.” Yesus berkata kepada semua, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku. Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya. Apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian? Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Anak Manusia juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah.” Kira-kira lapan hari setelah Yesus mengatakan perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yohanes dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa. Semasa Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan. Tiba-tiba dua orang, Musa dan Elia, muncul dan bercakap dengan Dia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Yesus tentang kematian-Nya yang akan ditunaikan di Yerusalem. Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Yesus serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya. Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Tuan, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah: satu untuk Engkau, satu untuk Musa dan satu lagi untuk Elia.” Dia tidak tahu apa yang dikatakannya. Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan. Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, “Inilah Anak-Ku yang Kupilih. Dengarlah kata-kata-Nya!” Setelah suara itu berhenti, Yesus kelihatan seorang sahaja. Murid-murid itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.