LUKAS 9:1-36

LUKAS 9:1-36 BM

Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka.” Pengikut-pengikut-Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana. Ketika Herodes yang memerintah Galilea, mendengar segala perkara yang sedang berlaku itu, dia bingung kerana ada yang berkata, “Yohanes Pembaptis hidup semula!” Yang lain berkata bahawa Elia sudah kembali, sedangkan ada juga yang berkata bahawa seorang daripada nabi-nabi dahulu kala sudah hidup semula. Herodes berkata, “Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.” Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, “Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Mereka menjawab, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?” (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Pada suatu hari, ketika Yesus sedang berdoa sendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah Aku ini?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia. Tetapi yang lain berkata salah seorang nabi dahulu kala yang sudah hidup semula.” “Tetapi menurut kamu siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah.” Dengan tegas Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jangan ceritakan hal itu kepada sesiapa pun.” Dia berkata juga, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan.” Setelah itu Dia berkata kepada orang ramai, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati. Apa gunanya jika seorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati ataupun dihukum? Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, maka Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya dan dengan kemuliaan Bapa serta kemuliaan malaikat-malaikat yang suci! Ketahuilah, ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah.” Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa. Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan. Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem. Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya. Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.) Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. Dari awan itu terdengar suara berkata, “Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!” Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka.