Lukas 9:1-36

Lukas 9:1-36 AVB

Yesus memanggil murid-Nya yang dua belas itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit. Yesus berkata kepada mereka, “Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg, baik makanan, baik wang mahupun dua helai pakaian. Di rumah mana-mana pun kamu disambut, menetaplah di situ sehingga kamu beredar dari bandar itu. Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.” Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk menyampaikan Injil dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja. Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian, ada yang berkata bahawa Elia telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali. Herodes berkata, “Yohanes itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.” Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Yesus. Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Yesus segala perkara yang telah dilakukan mereka. Yesus membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Yesus menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan. Menjelang senja, dua belas murid itu datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.” Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” Murid-murid itu melakukan suruhan Yesus dan semua orang pun duduk. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul. Pada suatu hari semasa Yesus berdoa bersendirian, murid-murid-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?” Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata salah seorang nabi telah hidup semula.” Yesus bertanya kepada mereka, “Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?” Petrus menjawab, “Kristus daripada Allah.” Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu hal ini kepada sesiapa pun; dan menambah, “Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan dibangkitkan semula.” Yesus berkata kepada semua, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku. Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya. Apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian? Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Anak Manusia juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah.” Kira-kira lapan hari setelah Yesus mengatakan perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yohanes dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa. Semasa Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan. Tiba-tiba dua orang, Musa dan Elia, muncul dan bercakap dengan Dia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Yesus tentang kematian-Nya yang akan ditunaikan di Yerusalem. Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Yesus serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya. Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Tuan, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah: satu untuk Engkau, satu untuk Musa dan satu lagi untuk Elia.” Dia tidak tahu apa yang dikatakannya. Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan. Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, “Inilah Anak-Ku yang Kupilih. Dengarlah kata-kata-Nya!” Setelah suara itu berhenti, Yesus kelihatan seorang sahaja. Murid-murid itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.