1 MAKABE 12

12
Yonatan Mengadakan Hubungan dengan Roma dan Sparta
1Apabila Yonatan melihat kesempatan yang baik baginya, dia memilih beberapa orang dan mengutus mereka ke Roma untuk meneguhkan dan membaharui persahabatan dengan orang Roma. 2Dia juga mengirim surat-surat dengan pesan yang sama ke Sparta dan beberapa buah tempat yang lain. 3Maka berangkatlah para utusan itu ke Roma. Mereka menghadap Dewan Negara dan melaporkan bahawa mereka diutus oleh Imam Agung Yonatan dan bangsa Yahudi untuk membaharui persahabatan dan perikatan dengan Roma. 4Lalu Dewan Negara memberi mereka surat-surat untuk para pembesar di negeri-negeri yang akan dilalui oleh mereka, dengan permintaan supaya mereka dihantar pulang ke negeri Yudea dengan selamat.
5Inilah salinan surat yang dikirim oleh Yonatan kepada orang Sparta:
6“Imam Agung Yonatan, Majlis Kaum Tua-Tua, para imam dan seluruh bangsa Yahudi, kepada saudara-saudara kami di Sparta, salam! 7Dahulu Raja Areios, raja saudara-saudara mengirim surat kepada Onias, Imam Agung kami untuk menyatakan bahawa kedua-dua bangsa kita bersaudara. Salinan surat itu kami lampirkan di sini. 8Utusan Raja Areios disambut oleh Onias dengan segala hormat, dan surat yang menyatakan perikatan dan persahabatan kita diterima olehnya. 9Sebenarnya perikatan seperti itu tidak kami perlukan, oleh sebab kami menimba kekuatan kami daripada Alkitab yang ada pada kami. 10Tetapi kami mencuba mengirim surat ini juga untuk membaharui ikatan persahabatan dan persaudaraan kami dengan saudara-saudara, oleh sebab kami tidak mahu menjadi orang asing kepada saudara-saudara. Lagi pula sudah beberapa tahun berlalu sejak surat yang pertama itu. 11Selama ini dari tahun ke tahun, kami ingat akan saudara-saudara pada setiap kesempatan, pada perayaan-perayaan kami dan hari-hari lain waktu kami mempersembahkan korban dan berdoa, seperti selayaknya dilakukan oleh orang yang bersaudara. 12Kami bergembira kerana kemasyhuran saudara-saudara. 13Memang kami telah mengalami banyak kesulitan dan peperangan kerana sering kali diserang oleh raja-raja di sekitar kami. 14Selama masa peperangan itu kami tidak mahu menyusahkan saudara-saudara atau sekutu dan sahabat-sahabat kami yang lain, 15oleh sebab kami mendapat bantuan Tuhan. Dialah yang mengalahkan musuh-musuh kami dan menyelamatkan kami daripada mereka. 16Kami telah memilih Numenius anak Antiokhus serta Antipater anak Yason dan mengutus mereka ke Roma untuk membaharui ikatan persahabatan dan perikatan kami dengan orang Roma. 17Mereka juga kami utus kepada saudara-saudara untuk menyampaikan salam kami, dan surat ini tentang pembaharuan ikatan persaudaraan kita. 18Kami mohon saudara-saudara membalasnya.”
19Inilah salinan surat yang dahulu dikirimkan oleh mereka kepada Onias:
20“Raja Areios, raja Sparta kepada Imam Agung Onias, salam! 21Kami telah menemukan sebuah dokumen tentang orang Sparta dan orang Yahudi yang menyatakan bahawa kita bersaudara, dan kedua-dua bangsa kita keturunan Abraham. 22Sejak kami mengetahui hal itu, kami ingin mendapat khabar tentang keadaan saudara-saudara. 23Kalau saudara-saudara bersedia membahagi semua harta, ternakan dan tanah saudara-saudara, maka kami menulis bahawa kami bersedia berbuat begitu juga. Kami menyuruh utusan kami memberitahu hal itu kepada saudara-saudara.”
Yonatan dan Simon Mengadakan Pertempuran Lain
24Yonatan mendengar bahawa panglima-panglima Raja Demetrius kembali dengan tentera yang lebih besar lagi untuk berperang melawan dia. 25Yonatan tidak mahu memberi kesempatan kepada mereka untuk masuk ke wilayahnya. Maka berangkatlah Yonatan dari Yerusalem dan menghadapi mereka di daerah Hamat. 26Yonatan menyuruh beberapa orang pengintip ke perkhemahan musuh. Mereka kembali dan melaporkan bahawa musuh bersiap-siap hendak menyerang orang Yahudi pada waktu malam. 27Apabila matahari terbenam, Yonatan menyuruh anak buahnya berjaga-jaga sepanjang malam dengan senjata lengkap, siap menghadapi serangan musuh setiap saat. Dia juga menempatkan penjaga-penjaga di sekeliling perkhemahan.
28Apabila tentera musuh mendengar bahawa Yonatan dan anak buahnya sudah siap untuk bertempur, mereka sangat ketakutan. Mereka menyalakan api unggun di perkhemahan mereka lalu melarikan diri. 29Yonatan dan anak buahnya melihat api unggun itu, tetapi hanya pada keesokan harinya mereka tahu akan apa yang telah terjadi. 30Lalu Yonatan mengejar mereka, tetapi tidak berjaya menangkap mereka, kerana mereka sudah menyeberang Sungai Eleuterus. 31Lalu Yonatan membelok dan menyerang orang Zabadi daripada suku bangsa Arab. Mereka dikalahkan dan milik mereka dirampas. 32Sesudah itu Yonatan berangkat lagi dan pergi ke Damsyik, lalu menjelajah seluruh negeri.
33-34Sementara itu Simon juga pergi bertempur dan sudah maju hingga ke Askelon dan kubu-kubu di sekitarnya. Dia kemudian membelok dan menuju ke Yope, sebuah kota berkubu, dan menempatkan tentera pendudukan untuk menjaganya kerana dia telah mendengar bahawa penduduk ingin menyerahkan kota berkubu itu kepada pasukan Raja Demetrius.
Yonatan Mengadakan Beberapa Perbaikan di Yerusalem
35Apabila Yonatan kembali ke Yerusalem, dia memanggil kaum tua-tua rakyat dan membuat rancangan bersama-sama mereka untuk membina kubu-kubu di Yudea, 36meninggikan tembok-tembok Yerusalem dan mendirikan tembok pemisah yang tinggi di antara kubu dan kota untuk memencilkan kubu supaya musuh tidak dapat berjual beli dengan penduduk. 37Rakyat bergotong-royong memperkuat pertahanan kota, oleh sebab sebahagian tembok sebelah timur di sepanjang Lembah Kidron sudah roboh. Tembok di bahagian Kafenata juga perlu diperbaiki. 38Simon juga membina semula kota Adida di kaki bukit. Kota itu diperkuatkannya lalu dipasangnya pintu gerbang dan palang pintu.
Yonatan Ditangkap Musuh
39Kemudian Trifon berusaha untuk menggulingkan Raja Antiokhus supaya dia sendiri dapat menjadi raja Asia Barat Daya. 40Tetapi dia khuatir Yonatan tidak akan bersetuju, dan akan memerangi dia. Oleh itu Trifon berangkat ke Bet-Sean dengan maksud menangkap dan membunuh Yonatan. 41Yonatan juga datang ke Bet-Sean untuk menghadapi Trifon dengan 40,000 orang askar yang terpilih. 42Apabila melihat Yonatan dengan tentera sebanyak itu, Trifon tidak berani menangkap dia. 43Maka diterimanya Yonatan dengan segala hormat, lalu diperkenalkannya kepada semua sahabatnya. Yonatan diberinya berbagai-bagai hadiah. Lalu semua sahabat dan pasukannya diperintahkan mentaati Yonatan seperti dirinya sendiri. 44Dia bertanya kepada Yonatan, “Mengapa tuan menyusahkan orang sebanyak itu, padahal kita tidak berperang? 45Lebih baik tuan menyuruh mereka pulang. Baiklah tuan memilih beberapa orang untuk tinggal bersama-sama tuan, dan ikutlah dengan kami ke Ptolemais. Kota itu akan saya serahkan kepada tuan, juga kubu-kubu dan pasukan-pasukan lainnya dan semua pegawainya, kerana itulah maksud kedatangan saya di sini. Sesudah itu saya akan pulang.”
46Yonatan percaya kepada Trifon dan mengikut nasihatnya. Dia menyuruh pasukan-pasukannya pulang ke Yudea. 47Hanya 3,000 orang yang dibawanya, 2,000 orang ditinggalkan di Galilea, sedangkan 1,000 orang lainnya menyertai dia. 48Tetapi apabila Yonatan memasuki kota Ptolemais, penduduknya menutup pintu gerbang. Yonatan ditangkap dan semua pengikutnya dibunuh dengan pedang.
49Lalu Trifon mengirimkan pasukan tentera berjalan kaki dan pasukan berkuda ke Galilea dan ke Lembah Yizreel untuk menumpaskan seluruh tentera Yonatan. 50Pasukan Yahudi berfikir bahawa Yonatan dan semua pengiringnya sudah ditangkap dan dibunuh. Maka mereka saling menguatkan hati dan maju dalam barisan siap bertempur. 51Ketika musuh melihat bahawa orang Yahudi siap untuk berjuang mati-matian, mereka berbalik. 52Semua orang Yahudi sampai ke Yudea dengan selamat tetapi dengan penuh perasaan takut. Seluruh rakyat Israel berkabung dengan sedih kerana menyangka Yonatan dan para pengiringnya sudah meninggal. 53Lalu bangsa-bangsa di sekitar mereka berusaha untuk membinasakan orang Yahudi. Mereka berfikir, “Orang Yahudi tidak mempunyai pemimpin atau penolong. Baiklah sekarang kita bertempur melawan mereka supaya tamatlah riwayat mereka.”

Terpilih Sekarang Ini:

1 MAKABE 12: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk