1 MAKABE 13
13
Simon Memimpin Orang Yahudi
1Simon mendengar bahawa Trifon sudah mengumpulkan tentera yang besar dengan maksud memasuki negeri Yudea dan memusnahkannya. 2Simon tahu bahawa khabar itu membuat rakyat takut dan gentar. Maka dia pergi ke Yerusalem. Dia mengumpulkan seluruh rakyat 3dan berusaha membesarkan hati mereka dengan berkata, “Kalian tahu betapa banyaknya yang telah dilakukan oleh keluarga bapa saya, saudara-saudara saya dan saya untuk Taurat Musa dan Rumah Allah. Kalian juga tahu tentang semua peperangan dan kesusahan yang kami alami. 4Semua saudara saya telah mengorbankan nyawa mereka demi Rumah Tuhan, Taurat, dan bangsa kita. Daripada mereka hanya saya yang masih hidup. 5Tapi saya tak mahu menyelamatkan diri sendiri pada waktu bahaya apa pun. Saya tidak menganggap saya lebih baik daripada saudara-saudara saya. 6Biarpun semua bangsa yang membenci kita sudah bergabung untuk menumpas kita, saya akan berjuang untuk membela bangsa saya, Rumah Tuhan dan anak isteri kalian.”
7Apabila mendengar kata-kata itu, berkobar-kobarlah semangat rakyat, 8dan mereka menjawabnya dengan gegak gempita, “Hidup Simon, pemimpin kita yang baru, pengganti Yudas dan Yonatan! 9Pimpinlah kami dalam peperangan! Semua perintah tuan akan kami lakukan!” 10Lalu Simon mengumpulkan semua askar dan bergegas-gegas menyelesaikan tembok-tembok Yerusalem dan memperkuat semua pertahanannya. 11Dia mengirim Yonatan anak Absalom serta sepasukan tentera yang cukup besar ke kota Yope. Yonatan mengusir penduduknya, lalu dia sendiri menetap di situ.
Simon Mengusir Trifon dari Yudea
12Sementara itu Trifon dengan sepasukan tentera yang besar meninggalkan kota Ptolemais untuk menyerbu negeri Yudea. Yonatan adik Simon dibawa serta sebagai tawanan. 13Waktu itu Simon berkhemah dekat dengan kota Adida di pinggir dataran. 14Ketika Trifon mendengar bahawa Simon sudah menggantikan Yonatan adiknya, dan bahawa dia sudah siap untuk bertempur melawannya, dia mengirim pesanan ini kepada Simon, 15“Kami menahan Yonatan, adik tuan kerana sewaktu memegang jawatan, dia tidak membayar hutang-hutangnya kepada perbendaharaan kerajaan. 16Tetapi kami akan membebaskannya asalkan tuan membayar 3,000 kilogram perak kepada kami dan mengirim dua orang anak lelakinya sebagai tawanan untuk menjamin bahawa dia tidak akan memberontak terhadap kami sesudah dia dibebaskan.”
17Meskipun Simon tahu bahawa dia ditipu, dia mengirim juga wang itu dan kedua-dua orang anak lelaki Yonatan, kerana dia tidak mahu menimbulkan rasa benci daripada pihak rakyat. 18Dia takut mereka akan mengatakan bahawa Yonatan dibunuh kerana Simon tidak mahu mengirim wang dan kedua-dua orang anak itu. 19Maka diturutinya permintaan Trifon, tetapi Trifon mengingkari janjinya dan tidak melepaskan Yonatan.
20Kemudian Trifon maju melalui jalan lain ke Adora untuk menduduki dan memusnahkan negeri itu. Tetapi Simon dan tenteranya merintanginya ke mana pun Trifon pergi. 21Sementara itu tentera musuh di kubu Yerusalem mengirim utusan-utusan kepada Trifon untuk mendesaknya supaya lekas datang melalui padang gurun dan membawa perbekalan bagi mereka. 22Trifon menyiapkan seluruh pasukan berkudanya untuk pergi ke situ. Tetapi malam itu salji turun amat banyak sehingga mereka tidak dapat mara. Maka Trifon mundur dan pergi ke Gilead. 23Ketika mereka sudah mendekati kota Baskama, Trifon membunuh Yonatan, dan jenazahnya dimakamkan di situ. 24Sesudah itu Trifon berpatah balik dan pulang ke negerinya.
Yonatan Dimakamkan
25Lalu Simon menyuruh beberapa orang membawa jenazah Yonatan ke Modein, supaya dapat dimakamkan di kota nenek moyangnya. 26Seluruh bangsa Israel dengan sangat sedih meratapi Yonatan, dan mereka berkabung lama sekali. 27Kemudian di atas makam bapa dan saudara-saudaranya, Simon mendirikan sebuah tugu yang tinggi yang dapat dilihat dari jauh. Bahagian hadapan dan belakangnya dilapis dengan batu yang diasah. 28Lalu dibinanya juga tujuh buah piramid yang saling berhadapan untuk bapa dan ibunya serta keempat-empat orang saudaranya. 29Di sekeliling piramid-piramid itu didirikannya tiang-tiang besar. Di atasnya ada ukiran perlengkapan senjata dan di sampingnya ukiran kapal-kapal. Tugu itu dibuat sebagai kenangan untuk segala zaman, supaya dilihat oleh semua orang yang belayar di laut. 30Makam yang didirikan oleh Simon di kota Modein masih ada sehingga sekarang.
Raja Demetrius Bermurah Hati kepada Simon
31Sementara itu Trifon berkhianat terhadap Raja Antiokhus yang Keenam, raja yang masih muda itu, dan membunuh baginda. 32Lalu Trifon menduduki takhta kerajaan Asia Barat Daya dan mendatangkan malapetaka pada wilayah itu.
33Simon membina beberapa buah kubu di negeri Yudea dan melengkapinya dengan menara-menara yang tinggi, tembok-tembok yang kuat dan pintu gerbang dengan palang pintu. Dia juga menimbunkan persediaan makanan di dalamnya. 34Lalu dia mengirim utusan kepada Raja Demetrius yang Kedua untuk memohon supaya wilayah itu dibebaskan daripada cukai, sebab Trifon hanya merampasi mereka. 35Raja Demetrius mengirim jawapan ini:
36“Raja Demetrius kepada Imam Agung Simon, dan sahabat para raja, kepada bangsa Yahudi dan para pemimpin mereka, salam! 37Kami sudah menerima mahkota emas dan tangkai palma yang tuan kirim. Kami bersedia membuat perjanjian damai dengan tuan dan menulis kepada para pegawai cukai supaya memberi pengecualian daripada cukai. 38Semua yang kami tentukan dahulu bagi tuan tetap berlaku, dan kubu-kubu yang tuan bina menjadi milik tuan. 39Semua kekeliruan dan pelanggaran yang tuan lakukan sehingga sekarang, kami ampunkan. Tuan juga kami bebaskan daripada cukai kerajaan yang masih harus tuan bayar dan daripada cukai-cukai lainnya yang sehingga sekarang dipungut di Yerusalem. 40Semua orang Yahudi yang memenuhi syarat, boleh masuk perkhidmatan pengawal peribadi kami. Marilah kita hidup berdamai.”
41Maka dalam tahun 170 bangsa-bangsa asing berhenti menindas orang Yahudi. 42Sejak itu dalam memulai naskhah-naskhah dan surat-surat perjanjian, orang Yahudi mula mencatat kata-kata: “Dalam tahun pertama pemerintahan Simon, Imam Agung yang besar, panglima dan penguasa orang Yahudi.”
Simon Merebut Kota Gezer
43Pada waktu itu Simon dan tenteranya mengepung kota Gezer. Dibinanya sebuah alat penggempur yang dapat dipindah-pindahkan. Alat itu dirapatkannya ke tembok kota. Lalu dirempuhnya dan ditawannya salah satu menara kota itu. 44Orang yang ada di atas alat penggempur itu melompat ke dalam kota dan menimbulkan kegemparan besar. 45Penduduk kota, laki-laki, perempuan, dan anak-anak naik ke atas tembok kota dan mengoyak pakaian mereka sebagai tanda sedih. Mereka berteriak-teriak memohon Simon berdamai dengan mereka. 46Mereka berseru, “Kasihanilah kami! Jangan balas kejahatan kami!”
47Maka Simon berdamai dengan mereka dan tidak memerangi mereka. Tetapi dia mengusir penduduk kota dan membersihkan rumah-rumah mereka daripada patung-patung berhala. Kemudian dia dan anak buahnya memasuki kota sambil menyanyikan lagu pujian. 48Segala sesuatu yang mencemarkan kota dibuangnya, lalu ditempatkannya di sana orang yang taat kepada Taurat Musa. Dia juga memperkuat pertahanan kota dan mendirikan sebuah istana bagi dirinya.
Simon Merebut Kubu di Yerusalem
49Sementara itu tentera pendudukan yang menduduki kubu di Yerusalem tidak dapat keluar ke daerah atau kembali untuk berjual beli. Mereka sangat kekurangan makanan, dan cukup banyak di kalangan mereka mati kelaparan. 50Akhirnya mereka mohon berdamai dengan Simon. Dia setuju, tetapi mereka diusir dari situ, lalu kubu itu dibersihkan daripada segala pencemaran. 51Pada tarikh dua puluh tiga bulan kedua tahun 171 Simon dan anak buahnya memasuki kubu itu. Mereka membawa daun palma dan menyanyikan lagu pujian dan syukur dengan diiringi kecapi, simbal dan dandi, kerana musuh besar Israel sudah dimusnahkan. 52Simon menetapkan bahawa setiap tahun hari itu harus dirayakan dengan gembira. Kemudian diperkuatnya pertahanan bukit Rumah Allah yang menghadap ke kubu. Lalu dia dan anak buahnya menetap di situ. 53Sementara itu Yohanes anak Simon sudah dewasa, maka Simon melantiknya menjadi panglima seluruh angkatan perang. Yohanes menetap di Gezer.
Terpilih Sekarang Ini:
1 MAKABE 13: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.