1 MAKABE 11
11
Aleksander Epifanes Dikalahkan
1Raja Ptolemeus yang Keenam, raja Mesir mengerahkan pasukan tentera yang sangat besar bilangan seperti pasir di pantai dan mengumpulkan banyak kapal perang. Dengan tipu muslihat baginda berusaha untuk mengambil kerajaan Raja Aleksander agar ditambahkan kepada wilayahnya sendiri. 2Maka baginda pergi ke Siria dengan janji-janji perdamaian. Penduduk semua kota membuka pintu gerbang bagi baginda dan menyambut baginda. Hal itu dilakukan oleh mereka dengan perintah Raja Aleksander, kerana Raja Ptolemeus bapa mentua baginda. 3Raja Ptolemeus menempatkan tentera pendudukan di setiap kota yang dimasukinya.
4Apabila tiba di Asdod, baginda ditunjukkan puing-puing kuil Dagon yang terbakar, juga reruntuhan kota dan kampung-kampung di sekitarnya dan tempat mayat-mayat berserakan. Mayat orang yang mati terbakar dalam pertempuran ditumpuk di sepanjang jalan yang harus dilalui oleh Raja Ptolemeus. 5Juga diceritakan kepadanya apa yang telah dilakukan oleh Yonatan, dengan maksud memburukkan namanya. Tetapi Raja Ptolemeus diam sahaja. 6Yonatan pergi ke Yope untuk menyambut raja dengan upacara yang meriah. Mereka bersalam-salaman lalu menginap di sana. 7Pada keesokan harinya Yonatan menghantar raja sehingga ke Sungai Eleuterus, lalu kembali ke Yerusalem.
8Demikianlah dalam perjalanan itu Raja Ptolemeus mengambil alih kuasa terhadap kota-kota di sepanjang pantai hingga ke Seleukia-Laut. Baginda membuat rancangan jahat terhadap Raja Aleksander dengan 9mengirim pesan ini kepada Raja Demetrius, “Baiklah kita membuat perjanjian. Puteri beta yang sekarang menjadi permaisuri Raja Aleksander akan beta berikan kepada tuanku, dan tuanku akan memerintah kerajaan ayahanda tuanku. 10Beta menyesal menyerahkan puteri beta itu kepada Aleksander, oleh sebab dia berusaha untuk membunuh beta.” 11Raja Ptolemeus memburuk-burukkan nama Raja Aleksander kerana baginda ingin mengambil kerajaannya. 12Baginda mengambil puteri baginda daripada Raja Aleksander dan memberikannya kepada Raja Demetrius. Raja Ptolemeus memutuskan semua hubungan dengan Raja Aleksander dan mereka bermusuhan secara terang-terangan. 13Raja Ptolemeus memasuki kota Antiokhia dan menjadikan dirinya raja Asia Barat Daya. Dengan demikian baginda menjadi raja Mesir dan Asia Barat Daya.
14Pada waktu itu Raja Aleksander berada di Kilikia kerana penduduk wilayah itu sedang memberontak. 15Tetapi ketika baginda mendengar apa yang telah dilakukan oleh Raja Ptolemeus, baginda mara untuk berperang melawannya. Raja Ptolemeus menghadapinya dengan tentera yang kuat, sehingga Raja Aleksander terpaksa lari. 16Raja Ptolemeus makin bertambah kekuasaannya. Sementara itu Raja Aleksander mencari perlindungan di Arab. 17Tetapi baginda dibunuh oleh seorang Arab bernama Zabdiel, dan kepalanya dikirim kepada Raja Ptolemeus. 18Dua hari kemudian Raja Ptolemeus sendiri mangkat. Pasukannya yang ada di kota-kota berkubu ditumpaskan oleh penduduk kota. 19Maka Demetrius yang Kedua menjadi raja dalam tahun 167.
Raja Demetrius yang Kedua Berkenan Kepada Yonatan
20Pada waktu itu Yonatan mengumpulkan orang dari Yudea untuk menyerang kubu di Yerusalem. Mereka membuat banyak alat penggempur untuk serangan itu. 21Tetapi beberapa orang Yahudi derhaka yang membenci bangsa mereka sendiri pergi menghadap Raja Demetrius yang Kedua. Mereka memberitahu baginda bahawa Yonatan sedang mengepung kubu di Yerusalem. 22Apabila mendengar hal itu Raja Demetrius menjadi murka dan segera pergi ke kota Ptolemais. Baginda mengirim sepucuk surat kepada Yonatan dengan perintah untuk menghentikan pengepungannya dan segera datang menghadap raja di Ptolemais.
23Segera sesudah menerima pesan itu, Yonatan memerintahkan supaya pengepungan diteruskan. Dia memilih beberapa orang daripada kaum tua-tua di Israel dan beberapa orang imam untuk ikut bersama-sama dia. Dengan mempertaruhkan nyawa sendiri, 24dia pergi menghadap raja di Ptolemais dengan membawa emas, perak, pakaian, dan banyak hadiah lainnya. Dia memberi kesan yang baik sehingga raja berkenan kepadanya. 25Walaupun Yonatan difitnah oleh beberapa orang derhaka daripada bangsanya sendiri, 26dia diperlakukan dengan baik oleh raja, seperti yang telah dilakukan oleh raja-raja sebelumnya. Yonatan diberi kehormatan di hadapan semua sahabat raja. 27Dia diteguhkan dalam jawatannya sebagai Imam Agung dan dalam semua jawatan kehormatan yang dipegangnya sebelum itu. Bahkan dia juga dilantik ke dalam kalangan utama sahabat raja.
28Lalu Yonatan memohon kepada raja supaya daerah Yudea dan ketiga-tiga buah daerah Samaria dibebaskan daripada cukai, dan dia berjanji akan menyerahkan 11,000 kilogram perak sebagai gantinya. 29Raja bersetuju, dan untuk meneguhkan semua hal itu, ditulisnya sepucuk surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu,
30“Raja Demetrius kepada Saudara Yonatan dan bangsa Yahudi, salam!
31Kami telah mengirim surat tentang saudara sekalian kepada Lastenes kerabat kami. Salinan surat itu kami kirim untuk maklumat saudara-saudara.
32Raja Demetrius, kepada Yang Terhormat Bapa Lastenes, salam. 33Kami telah memutuskan untuk memberi hak-hak istimewa kepada orang Yahudi sebagai balas jasa kerana mereka sahabat kami yang setia dan menepati kewajipan mereka terhadap kami. 34Kami mengesahkan hak mereka terhadap daerah Yudea dan ketiga-tiga buah daerah, iaitu kota Efraim, Lida, dan Ramataim serta daerah sekitarnya. Ketiga-tiga buah daerah Samaria itu kami tetapkan menjadi satu dengan Yudea. Hal itu akan menguntungkan orang yang membawa persembahan ke Yerusalem, oleh sebab cukai tahunan daripada hasil tanaman dan buah-buahan bukan lagi untuk raja, tetapi untuk Rumah Allah. 35Mulai hari ini kami juga membebaskan mereka daripada membayar cukai sepersepuluhan, cukai garam, dan semua cukai khas untuk raja. 36Tidak satu pun fasal yang tersebut di dalam surat ini boleh dibatalkan mulai sekarang untuk selama-lamanya.
37Sila buatkan salinan surat perintah ini untuk diberikan kepada Yonatan supaya diletakkan di Bukit Sion sehingga dapat dilihat oleh semua orang.”
Yonatan Menolong Raja Demetrius yang Kedua
38Raja Demetrius melihat bahawa negeri baginda aman dan tenteram di bawah pemerintahan baginda, dan tidak ada lagi yang memberi perlawanan terhadap baginda. Maka dibubarkannya seluruh tentera baginda. Semua askar disuruh pulang ke rumah masing-masing, kecuali pasukan tentera asing yang diupah dari kepulauan Yunani. Kerana tindakan itu, askar-askar yang bekerja sejak raja-raja yang terdahulu mula membenci Raja Demetrius. 39Antara orang yang dahulu menyokong Raja Aleksander, ada seorang yang bernama Trifon. Dia melihat bahawa semua pasukan bersungut terhadap Raja Demetrius. Oleh itu dia pergi bertemu dengan Imalkue, orang Arab yang mengasuh Antiokhus putera Raja Aleksander yang masih muda. 40Lama juga Trifon tinggal di sana. Dia mendesak Imalkue untuk menyerahkan anak itu kepadanya supaya dapat dijadikan raja bagi menggantikan ayahandanya. Dia juga memberitahu Imalkue tentang tindakan-tindakan Raja Demetrius dan kebencian para askar terhadap baginda.
41Sementara itu Yonatan mengajukan permohonan kepada Raja Demetrius supaya pasukan-pasukannya ditarik kembali dari kubu di Yerusalem dan dari kubu-kubu lainnya di Yudea, kerana mereka terus memerangi Israel. 42Raja Demetrius menjawab, “Permintaan tuan akan beta kabulkan, dan apabila ada kesempatan, tuan dan bangsa tuan akan beta beri kehormatan besar. 43Tetapi sekarang baiklah tuan mengirim orang untuk menolong beta berperang, oleh sebab semua pasukan beta sudah memberontak.”
44Maka Yonatan mengirim 3,000 orang askar yang gagah berani ke Antiokhia. Raja suka sekali dengan kedatangan mereka. 45Tetapi 120,000 orang penduduk kota telah berkumpul di pusat kota dengan maksud untuk membunuh raja. 46Apabila orang ramai itu menduduki jalan-jalan dan mula menyerang, raja melarikan diri ke dalam istana. 47Lalu raja meminta pertolongan pasukan Yahudi, dan mereka semua berkumpul di sekeliling baginda. Mereka berserakan di seluruh kota dan membunuh kira-kira 100,000 orang. 48Mereka menyelamatkan raja lalu merampas kota itu dan membakarnya sehingga musnah. 49Apabila orang ramai melihat bahawa kota mereka sudah dikuasai sepenuhnya oleh orang Yahudi, mereka berkecil hati dan berteriak-teriak meminta belas kasihan kepada raja. Kata mereka, 50“Berdamailah dengan kami! Jangan biarkan orang Yahudi terus memerangi kami dan kota ini!” 51Para pemberontak melemparkan senjata mereka dan berdamai. Maka orang Yahudi sangat dihormati oleh raja dan semua orang di dalam kerajaan. Kemudian mereka kembali ke Yerusalem dengan membawa banyak barang jarahan. 52Kedudukan Raja Demetrius sebagai raja diperkukuh dan negaranya aman dan tenteram. 53Tetapi baginda mengingkari semua janjinya dan berbalik melawan Yonatan. Baginda tidak membalas kebaikan Yonatan terhadap baginda, sebaliknya baginda sangat menyusahkan dia.
Yonatan Menyokong Raja Antiokhus yang Keenam
54Beberapa waktu kemudian Trifon kembali dengan Antiokhus yang masih sangat muda. Lalu Antiokhus dinobatkan sebagai raja. 55Semua pasukan yang sudah dibubarkan oleh Raja Demetrius sekarang bergabung dengan raja yang masih muda itu. Raja Demetrius diserang dan dikalahkan lalu baginda melarikan diri. 56Trifon menyita gajah-gajah dan merebut kota Antiokhia. 57Lalu Raja Antiokhus yang masih muda itu menulis surat kepada Yonatan. Kandungan surat itu sebagai berikut: “Beta meneguhkan tuan dalam jawatan Imam Agung dan melantik tuan menjadi penguasa bagi keempat-empat buah daerah. Tuan juga beta berikan gelaran ‘Sahabat Raja’.” 58Bersama dengan itu dikirimnya seperangkat perkakas dan perabot makan yang dibuat daripada emas. Yonatan diberi hak untuk minum dari cawan emas, memakai pakaian kerajaan dan kancing emas, yang hanya dipakai oleh kaum kerabat diraja. 59Raja juga melantik Simon abang Yonatan menjadi panglima daerah dari perbatasan Lebanon sehingga ke perbatasan Mesir.
60Kemudian Yonatan dan tenteranya mara melalui daerah Siria Besar dan kota-kotanya, dan semua pasukan Siria bergabung dengannya sebagai sekutu. Dia pergi ke Askelon dan disambut dengan meriah oleh penduduk kota. 61Dari situ dia pergi ke Gaza, tetapi penduduknya menutup pintu gerbang kota. Maka dikepungnya kota itu, dan daerah di sekitarnya dirampas dan dibakar. 62Lalu penduduk Gaza mohon damai, dan Yonatan mengadakan perjanjian dengan mereka. Tetapi anak-anak para pemimpin mereka dikirimnya sebagai tawanan ke Yerusalem. Sesudah itu dia melewati negeri itu sehingga ke Damsyik.
63Yonatan mendengar bahawa para panglima Raja Demetrius dengan tentera yang besar sudah tiba di Kades di Galilea dengan maksud untuk memecatnya. 64Maka berangkatlah dia untuk berperang melawan mereka, sedangkan Simon abangnya ditinggalkan di Yudea. 65Simon berkhemah di depan kota Bet-Zur, mengepung kota itu dan lama sekali bertempur dengan penduduknya. 66Akhirnya mereka meminta damai, dan Simon bersetuju. Tetapi dia mengusir mereka dan menduduki kota. Lalu ditempatkannya tentera pendudukan di situ.
67Sementara itu Yonatan dan pasukannya berkhemah dekat Tasik Genesaret. Pagi-pagi lagi mereka berangkat ke dataran Hazor. 68Tetapi tentera musuh menghadapi mereka di situ, setelah meninggalkan sejumlah orang di pergunungan untuk mengadang orang Yahudi. Jadi sementara tentera musuh berhadapan dengan Yonatan, 69semua orang itu keluar dari tempat persembunyian mereka lalu melancarkan serangan. 70Seluruh tentera Yonatan melarikan diri. Tidak seorang pun yang tinggal, kecuali dua orang panglima pasukan, iaitu Matatias anak Absalom, dan Yudas anak Kalfi. 71Yonatan mengoyak pakaiannya kerana berasa terpukul, dan sambil merendahkan diri dia berdoa. 72Lalu dia kembali menyerang musuh dan menghalau mereka sehingga melarikan diri. 73Apabila melihat hal itu, anak buahnya yang sedang melarikan diri kembali dan ikut mengejar musuh sehingga perkhemahan mereka di Kades, lalu berkhemah di situ. 74Hari itu lebih kurang 3,000 orang tentera musuh gugur. Lalu Yonatan kembali ke Yerusalem.
Terpilih Sekarang Ini:
1 MAKABE 11: BMDC
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.