YouVersion Logo
Search Icon

ZEFANYA 1

1
1 Inilah perkhabaran TUHAN kepada Zefanya pada masa Raja Yosia putera Raja Amon memerintah Yehuda. (Bapa Zefanya ialah Kusyi, datuknya Gedalya, moyangnya Amarya, dan moyotnya Raja Hizkia.)
Hari Pengadilan TUHAN
2TUHAN berfirman, “Aku akan memusnahkan segala sesuatu di bumi: 3semua manusia dan binatang, termasuk burung dan ikan. Aku akan menumpas orang jahat. Aku akan membinasakan segenap umat manusia; tiada seorang pun akan Kubiarkan hidup. Aku, TUHAN, telah berfirman.
4Aku akan menghukum penduduk Yerusalem dan penduduk seluruh Yehuda. Aku akan melenyapkan sisa-sisa penyembahan Baal dari tempat-tempat itu. Imam-imam yang mengabdikan diri kepada Baal akan dilupakan sama sekali. 5Aku akan membinasakan sesiapa sahaja yang naik ke bumbung untuk menyembah matahari, bulan dan bintang-bintang. Aku juga akan membinasakan orang yang menyembah Aku dan bersumpah setia kepada-Ku, tetapi juga bersumpah demi nama Dewa Milkom. 6Aku akan membinasakan orang yang telah meninggalkan Aku dan tidak lagi mengikut Aku; mereka yang tidak datang kepada-Ku dan tidak minta bimbingan daripada-Ku.”
7Hari TUHAN sudah hampir. Pada hari itu Dia akan menghakimi orang; oleh itu berdiam dirilah di hadapan-Nya. TUHAN sedang bersedia untuk membantai umat-Nya seperti binatang disembelih untuk korban, dan Dia telah menjemput musuh untuk menjarah Yehuda. 8TUHAN berfirman, “Pada hari pembantaian itu, Aku akan menghukum para pembesar, putera-putera raja, dan semua orang yang mengamalkan adat resam bangsa asing. 9Aku akan menghukum semua orang yang beribadat seperti orang yang tidak mengenal Aku, dan yang mencuri serta membunuh untuk memenuhi rumah majikan mereka dengan barang-barang jarahan.”
10TUHAN berfirman, “Pada hari itu, kamu akan mendengar tangisan di Gerbang Ikan di Yerusalem. Suara ratapan akan kedengaran dari perkampungan baru di kota itu dan bunyi dentum yang kuat akan bergema dari bukit-bukit. 11Merataplah dan menangislah apabila kamu mendengar semua itu, hai penduduk kota di bahagian bawah, kerana semua pedagang telah mati.
12Pada masa itu Aku akan mengambil pelita dan menggeledah kota Yerusalem. Aku akan menghukum penduduknya yang puas dan yakin dengan diri sendiri, dan yang berkata, ‘TUHAN tidak pernah bertindak begini atau begitu.’ 13Harta mereka akan dirampas dan rumah mereka dimusnahkan. Mereka akan membangun rumah, tetapi tidak mendiaminya. Mereka akan mengusahakan ladang anggur tetapi tidak minum wain, hasil ladang itu.”
14Hari penghakiman TUHAN sudah dekat, sesungguhnya, hari itu sudah sangat hampir dan akan tiba dengan segera. Hari itu akan penuh kepedihan, sehingga askar-askar yang paling gagah pun akan meraung-raung kerana putus asa. 15Hari itu hari kemurkaan, hari kesusahan dan kegelisahan, hari kejatuhan dan kemusnahan, hari kegelapan dan kesuraman, hari yang kelam dan berkabut. 16Sepanjang hari itu akan terdengar bunyi trompet dan pekik perang daripada askar-askar yang menyerang kota-kota berkubu dan menara-menara tinggi.
17TUHAN berfirman, “Aku akan mendatangkan banyak bencana kepada manusia, sehingga setiap orang akan meraba-raba seperti orang buta. Mereka telah berdosa terhadap Aku, dan sekarang darah mereka akan tercurah seperti air, lalu mayat mereka akan membusuk di tanah.”
18Pada hari itu, TUHAN akan menunjukkan kemurkaan-Nya, maka segala emas dan perak tidak dapat menyelamatkan mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Nya. Dengan tiba-tiba, Dia akan mencabut nyawa semua orang yang tinggal di bumi.

Currently Selected:

ZEFANYA 1: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for ZEFANYA 1