YouVersion Logo
Search Icon

HABAKUK 3

3
Doa Habakuk
1Inilah doa Nabi Habakuk:
2Ya TUHAN, aku telah mendengar tentang perbuatan-Mu,
rasa kagum memenuhi hatiku.
Semoga Engkau melakukan lagi
perbuatan-Mu yang ajaib pada zaman kami.
Kasihanilah kami walaupun Engkau murka.
3Engkau datang lagi dari Edom;
Engkau Allah yang suci datang dari perbukitan Paran.
Keagungan-Mu meliputi langit;
bumi penuh dengan pujian untuk-Mu.
4Engkau datang dan bersinar seperti kilat;
cahaya memancar dari tangan-Mu,
di situlah kuasa-Mu disembunyikan.
5Engkau menyuruh penyakit mendahului-Mu
dan mengarah maut menyusuli-Mu.
6Apabila Engkau berhenti, bumi bergegar;
apabila Engkau memandang, bangsa-bangsa gempar.
Gunung-gunung yang abadi hancur berkecai;
bukit-bukit yang kekal pun mendap,
bukit-bukit tempat Engkau berjalan sejak zaman purba.
7Aku nampak orang Kusyan ketakutan,
dan orang Midian gementar.
8Adakah sungai yang menyebabkan Engkau marah,
ya TUHAN?
Adakah lautan yang menyebabkan Engkau murka?
Engkau menunggangi awan
dan mengendarai awan ribut,
ketika Engkau datang untuk memberikan kemenangan kepada umat-Mu.
9Engkau bersiap untuk menggunakan busur-Mu,
bersedia untuk melepaskan anak panah-Mu.
Bumi merekah dan sungai mengalir.
10Apabila gunung-gunung nampak Engkau, semuanya bergoncang;
hujan turun mencurah dari langit.
Air di bawah bumi menderu
dan ombaknya bergelora.
11Ketika panah-Mu yang laju berkilat,
dan tombak-Mu yang bersinar berkilau-kilauan,
matahari dan bulan berhenti beredar.
12Dengan murka Engkau menjelajahi bumi;
dengan marah Engkau memijak bangsa-bangsa.
13Engkau keluar untuk menyelamatkan umat-Mu,
untuk menyelamatkan raja pilihan-Mu.
Engkau menjatuhkan pemimpin orang jahat,
dan memusnahkan semua pengikutnya.
14Anak panah-Mu menembusi panglima tenteranya,
apabila tenteranya datang seperti angin ribut
untuk menyebabkan kami lari bertempiaran.
Mereka berasa seronok seperti orang yang dengan sembunyi-sembunyi
menindas orang miskin.
15Engkau memijak-mijak lautan dengan kuda-Mu,
lalu air laut yang bergelora membuih.
16Aku mendengar semuanya itu dan aku gementar;
bibirku bergetar kerana aku ketakutan.
Tubuhku lemah tidak bermaya,
kakiku tersandung ketika berjalan.
Dengan tenang aku akan menanti waktunya
Engkau menghukum orang yang menyerang kita.
17Walaupun pokok ara tidak berbunga,
dan pokok anggur tidak berbuah,
walaupun hasil pokok zaitun menyedihkan,
dan ladang gandum mengecewakan,
walaupun domba mati semuanya,
dan kandang lembu kosong belaka,
18aku akan bersukacita dan bergembira selalu,
kerana Engkau TUHAN Allah yang menyelamatkan aku.
19 Engkaulah TUHAN Raja yang memberi aku kekuatan,
seperti kaki rusa, kakiku Engkau kukuhkan,
dan keselamatanku Engkau jaga di pergunungan.

Currently Selected:

HABAKUK 3: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for HABAKUK 3