YouVersion Logo
Search Icon

ZEFANYA 2

2
Seruan untuk Meninggalkan Dosa
1Hai bangsa yang tidak tahu malu, insaflah 2sebelum kamu diusir seperti sekam yang ditiup angin. Insaflah sebelum hari kemurkaan TUHAN tiba, dan sebelum kamu ditimpa kemarahan TUHAN yang menyala-nyala. 3Kembalilah kepada TUHAN, hai semua orang yang rendah hati di negeri ini, iaitu orang yang mentaati perintah-Nya. Lakukanlah apa yang dikehendaki TUHAN, dan rendahkanlah dirimu di hadapan-Nya. Mungkin kamu akan terlepas daripada hukuman pada hari TUHAN menunjukkan kemurkaan-Nya.
Kutukan terhadap Bangsa-Bangsa di Sekitar Israel
4Tiada sesiapa lagi yang tinggal di kota Gaza. Kota Askelon akan ditinggalkan. Penduduk Asdod akan diusir dalam setengah hari, dan penduduk Ekron akan dihalau dari kota mereka. 5Malanglah kamu, hai orang Filistin, bangsa yang tinggal di kawasan pantai. TUHAN telah menentukan hukuman bagi kamu. Dia akan membinasakan kamu, dan tiada seorang pun yang akan terselamat. 6Tanah kamu di tepi laut akan menjadi padang rumput; gubuk gembala dan kandang domba akan dibina di situ. 7 Penduduk Yehuda yang terselamat akan menduduki tanah kamu. Mereka akan menggembalakan ternakan di situ, lalu pada malam hari mereka akan tidur di rumah-rumah di kota Askelon. TUHAN, Allah mereka akan menyertai mereka dan menjadikan mereka makmur semula.
8 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku telah mendengar bangsa Moab dan Amon menghina serta mengejek umat-Ku. Mereka bercakap besar kerana mereka akan merampas tanah umat-Ku. 9 Demi Aku TUHAN yang hidup, Allah yang disembah Israel, Aku bersumpah bahawa Moab dan Amon akan dimusnahkan seperti Sodom dan Gomora. Negeri-negeri itu akan dipenuhi perigi garam dan selama-lamanya menjadi puing-puing, yang ditumbuhi semak duri. Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk negeri-negeri itu lalu merampas tanah mereka.”
10Demikianlah penduduk Moab dan Amon akan dihukum kerana kesombongan dan keangkuhan mereka, dan juga kerana penghinaan mereka terhadap umat TUHAN Yang Maha Kuasa. 11TUHAN akan menyebabkan mereka sangat ketakutan. Dia akan menghancurkan dewa-dewa di bumi. Kemudian semua bangsa akan beribadat kepada TUHAN, masing-masing di negeri sendiri.
12 TUHAN juga akan menjatuhkan hukuman mati kepada penduduk Etiopia.
13Selepas itu TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya untuk menghancurkan Asyur. Kota Niniwe akan dijadikan tempat yang sunyi sepi dan gurun yang tandus. 14Di situ ternakan dan semua jenis haiwan akan berbaring. Burung hantu akan bersarang di reruntuhan itu dan berteriak-teriak dari jendela. Burung gagak akan menggauk-gauk di ambang-ambang pintu. Kayu sedar pada bangunan-bangunan kota itu akan habis ditanggalkan. 15 Itulah yang akan terjadi pada kota yang riang gembira itu dan yang menganggap dirinya aman tenteram. Penduduknya menyangka bahawa kota mereka itulah kota yang terbesar di dunia. Betapa sepinya daerah itu, tiada penghuninya kecuali binatang hutan yang bersarang di situ! Tiap-tiap orang yang lalu di kota itu akan menghinanya dan berasa ngeri.

Currently Selected:

ZEFANYA 2: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in