AMSAL 20
20
1Minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk.
2Takut akan raja yang murka seperti takut akan singa yang mengaum. Orang yang membangkitkan kemurkaan raja hanya membinasakan diri sendiri.
3Hanya orang bodoh suka bertengkar; sikap yang terpuji adalah menjauhi pertengkaran.
4Petani yang malas mengerjakan tanah pada musimnya tidak akan mendapat hasil pada musim menuai.
5Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.
6Banyak orang mengaku diri mereka taat setia, tetapi yang betul-betul setia, sukar ditemukan.
7Berbahagialah anak-anak yang mempunyai bapa yang jujur dan adil.
8Apabila raja mengadili orang, raja dapat melihat apa yang jahat.
9Dapatkah orang berkata dengan sungguh-sungguh bahawa hati nurani mereka bersih, dan dosa mereka sudah dihapuskan?
10TUHAN membenci orang yang menipu dengan timbangan dan ukuran yang tidak tepat.
11Perbuatan seorang anak dapat menunjukkan kelakuannya; kamu akan tahu sama ada dia baik atau jahat.
12TUHAN sudah memberi kita mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar.
13Orang yang suka tidur akan jatuh miskin. Orang yang rajin bekerja mendapat banyak makanan.
14Pembeli sentiasa bersungut bahawa harga barang mahal, tetapi setelah membeli barang itu mereka bercakap besar tentang harga murah yang dibayar mereka.
15Kata-kata bijak lebih berharga daripada emas atau batu permata.
16Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya.
17Hasil daripada penipuan mula-mula lazat rasanya, tetapi kemudian terasa seperti pasir belaka.
18Mintalah nasihat supaya berjaya. Jangan pergi berperang tanpa membuat rancangan.
19Orang yang mengumpat tidak sekali-kali dapat menyimpan rahsia. Jangan bergaul dengan orang yang suka merepek.
20Sesiapa yang mengutuk ibu bapanya, hidupnya akan lenyap seperti pelita yang padam di tempat gelap.
21Kekayaan yang mudah diperoleh, tidak membawa berkat.
22Jangan balas dendam; percayalah kepada TUHAN dan Dia akan menolong kamu.
23Neraca dan timbangan yang tidak tepat, dibenci oleh TUHAN.
24TUHAN telah menentukan jalan hidup manusia; itulah sebabnya manusia tidak dapat memahami jalan hidup mereka.
25Fikirlah baik-baik sebelum menjanjikan korban kepada Allah supaya kamu tidak menyesal.
26Raja yang bijak mengetahui siapa yang jahat; raja akan menghukum mereka tanpa belas kasihan.
27TUHAN memberi kita fikiran dan hati nurani; oleh itu kita tidak dapat berdusta kepada diri kita sendiri.
28Raja hanya dapat memerintah selama pemerintahannya jujur, tulus, dan adil.
29Orang muda dikagumi kerana kekuatan, dan orang tua dihormati kerana uban.
30Kadang kala pengalaman pahit menghapuskan kejahatan dan membersihkan hati manusia.
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.